Pada usia 86 tahun, ayah saya masih giat berjalan ke masjid.

Kadangkala, rakan-rakannya akan menjemputnya menaiki kereta untuk ke masjid bersama-sama.

Selepas solat Subuh, mereka sekali sekala akan bersarapan bersama.

Seronok melihat Ayah masih aktif berinteraksi dengan rakan-rakannya yang jauh lebih muda.

Apabila Ayah dirawat di hospital beberapa tahun lalu, jemaah masjid yang kami hubungi terlebih dahulu, kerana bimbang mereka tercari-cari akan kehilangannya.

Sebagai anak, saya sangat bersyukur Ayah masih mahu berinteraksi secara sosial.

Selain masalah ingatan yang biasa dialami pada usia lanjut, keadaan kesihatan Ayah secara umumnya masih baik.

Interaksi sosial amat membantu minda dan badannya untuk kekal cerdas dan cergas.

Sering kali, warga senja yang sudah biasa bekerja mendapati kesihatan mereka semakin merosot selepas bersara akibat kurang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan.

Malah, dengan bilangan penduduk Singapura yang semakin menua, prasarana sokongan dari segi emosi, fizikal dan kesihatan amat perlu disediakan.

Bagi warga emas Islam, masjid merupakan tempat tumpuan utama untuk beribadah.

Justeru, institusi ini berpotensi besar menjadi pusat sokongan menyeluruh buat mereka.

Lantas, langkah meluaskan program Santunan Emas ke lebih banyak masjid di Singapura merupakan satu usaha yang amat dialu-alukan.

Ini diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan bahasa Melayu beliau semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 23 Ogos lalu.

Program berusia dua tahun yang diasaskan oleh Masjid Al-Muttaqin itu menyokong warga emas Melayu/Islam dan penjaga mereka menerusi bimbingan kerohanian, kegiatan penuaan aktif, serta pendidikan penjagaan.

Santunan Emas bermula sebagai usaha sama antara Masjid Al-Muttaqin, kedai buku Islam, Ma:een, dan Muhammadiyah demi menyediakan ruang bagi warga emas di Ang Mo Kio meniti usia tua dengan baik dari segi rohani, fizikal dan psikologi.

Melalui peluasan ini, Santunan Emas menyasarkan untuk mendekati 3,000 warga emas setiap minggu apabila ia merangkumi empat lagi masjid – Masjid Assyafaah di Sembawang, Masjid Darul Makmur di Yishun, Masjid An-Nur di Marsiling dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands menjelang akhir 2026.

Dengan bekerjasama dengan Pusat Penuaan Aktif (AAC), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan agensi perkhidmatan sosial tempatan, masjid terbabit dapat menyediakan sokongan bagi menangani tekanan emosi mahupun kewangan.

Sebagai contoh, Cik Ramlah Rasul mengalami tekanan kerana menjadi penjaga utama kepada suaminya yang berusia 78 tahun dan menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti gout dan artritis.

Beliau telah mendekati seorang pekerja sosial di Masjid Al-Muttaqin yang kemudian merujuknya kepada khidmat kaunseling, di samping menyalurkan maklumat mengenai skim bantuan kewangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Selain itu, program Santunan Emas menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kegiatan fizikal ringan.

Jemaah juga boleh menyertai kegiatan kemahiran seperti membuat kraf tangan.

Usaha sedemikian penting untuk merangsang minda, memupuk persahabatan dan menangani masalah pengasingan sosial terutamanya bagi warga emas yang tinggal bersendirian atau telah kehilangan pasangan hidup.

Berdasarkan kajian tempatan oleh Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penuaan (Care) Duke-NUS pada 2018, warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tinggal bersendirian adalah dua kali lebih berkemungkinan melaporkan gejala kemurungan berbanding mereka yang tinggal berteman.

Di bawah inisiatif Age Well SG, atau Sihat Menua SG, Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mempertingkatkan usaha menangani pengasingan sosial dengan menggalakkan warga emas keluar dari rumah untuk menyertai program penuaan aktif.

Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) turut menjalankan usaha pendampingan bagi mengenal pasti warga emas yang berisiko serta menghubungkan mereka dengan sumber masyarakat, seperti perkhidmatan rakan pendamping di AAC.

Apabila minda tidak diasah dan badan tidak bergerak, pelbagai masalah kesihatan akan mudah timbul.

Dalam hal ini, masjid bukan lagi sekadar tempat ibadah, malah menjadi ruang selamat dan selesa buat sesiapa sahaja untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan.

“Sering kali, warga senja yang sudah biasa bekerja mendapati kesihatan mereka semakin merosot selepas bersara akibat kurang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan. Bagi warga emas Islam, masjid merupakan tempat tumpuan utama untuk beribadah. Justeru, institusi ini berpotensi besar menjadi pusat sokongan menyeluruh buat mereka. Lantas, langkah meluaskan program Santunan Emas ke lebih banyak masjid di Singapura merupakan satu usaha yang amat dialu-alukan.”
Penulis.