Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: MAS diramal kekalkan dasar dolar S’pura

Oct 13, 2025 | 5:44 PM
MAS, dolar S’pura, inflasi
Bank pusat Singapura sedang menilai inflasi yang perlahan dan ancaman berterusan daripada langkah perdagangan Amerika Syarikat, di sebalik prospek pertumbuhan dalam negara yang kukuh. - Foto ST

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dijangka mengekalkan dasar dolar Singapura pada minggu ini, sedang ia mempertimbangkan keadaan inflasi yang suram dan ancaman berterusan langkah perdagangan Amerika Syarikat terhadap prospek pertumbuhan domestik yang berdaya tahan.

Dalam satu tinjauan ramalan Bloomberg yang melibatkan 20 pakar ekonomi dan menggunakan pertukaran asing berbanding kadar faedah, 16 daripada mereka meramalkan MAS akan mengekalkan dasar ketetapannya pada 14 Oktober.

Empat responden, termasuk DBS Group Holdings dan TD Securities, pula meramalkan pelonggaran semula selepas dasar tersebut dikekalkan pada semakan Julai lalu.

MAS, yang menyemak dasar empat kali setahun, telah melonggarkan ketetapannya pada Januari dan April untuk menyokong pertumbuhan.

Berbeza daripada bank pusat lain yang menggunakan kadar faedah, MAS mengurus kadar tukaran dolar Singapura dalam julat sasaran bagi mengekalkan kestabilan harga jangka sederhana.

Keputusan dasar itu dibuat dalam suasana ekonomi sejagat yang tidak menentu.

Indonesia dan New Zealand menurunkan kadar faedah untuk merangsang pertumbuhan, manakala Thailand, Malaysia dan Australia memilih untuk menunggu kesannya.

Pada September, Rizab Persekutuan Amerika menurunkan kadar pinjaman buat kali pertama sejak Disember.

Pakar strategi MUFG Bank, Encik Lloyd Chan, berkata MAS mungkin menunggu petanda yang lebih jelas tentang kelembapan ekonomi sebelum melonggarkan lagi dasarnya.

Ketegangan perdagangan Amerika-China meningkat semula sejak beberapa hari ini, selepas Beijing menyekat eksport nadir bumi, manakala Amerika pula mengenakan tarif baru, lantas menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan perniagaan sejagat.

Data awal Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada suku ketiga yang akan diumumkan pada 14 Oktober dijangka menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan selepas suku kedua yang kukuh.

Pada masa yang sama, inflasi teras terus mereda.

Walaupun demikian, ekonomi domestik kekal berdaya tahan.

Perbelanjaan pengguna dan kegiatan pengilangan meningkat kukuh pada Ogos dan September, sementara harga rumah persendirian melonjak selepas jualan pangsapuri baru pulih.

Disokong keperluan pasaran serantau sebagai “tempat pelindung mata wang” atau safe haven mendorong nilai dolar Singapura meningkat lebih 5 peratus berbanding dolar Amerika.

Namun, ia kekal stabil sejak Julai lalu.

Inflasi teras juga mereda bagi bulan kedua berturut-turut pada Ogos, dengan MAS menjangkakan purata antara 0.5 dengan 1.5 peratus bagi 2025.

Antara ketidaktentuan yang dihadapi adalah tarif Amerika termasuk levi sektoral dalam bidang farmaseutikal.

Namun, kesannya dijangka dilindungi oleh kebangkitan industri semikonduktor sejagat yang disokong pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Singapura menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran cip dunia dan 20 peratus daripada pengeluaran peralatan semikonduktor sejagat.

Menurut pakar ekonomi ANZ Banking Group, Encik Khoon Goh, secara keseluruhan, sektor ini merangkumi sekitar 6 peratus daripada GDP.

Beliau meramalkan pemerintah akan memperkenalkan pakej fiskal menyeluruh dalam Belanjawan 2026 termasuk bantuan tunai dan sokongan pekerjaan.

Menurut Encik Goh, dasar kewangan tidak perlu diubah buat masa kini dan hanya akan dipertimbangkan semula jika keadaan memerlukan pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg