Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Pemberdayaan warisan dalam mendepani cabaran leka budaya

Peranan Yayasan Warisan Melayu semakin penting dalam menjadi institusi utama yang cergaskan budaya, warisan intelektual Melayu melalui inisiatif bersepadu
Jan 15, 2024 | 01:38 PM



Dr Pitchay Gani Aziz

Warisan sering diterima sebagai artifak dan perlakuan budaya yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Ia dianggap sebagai mutiara yang perlu ada bagi setiap bangsa sebagai lambang kewujudannya dan lowongan keindahan dalam pelbagai medium.

Ini bermakna warisan melampaui monumen bersejarah yang masih tersergam di kota-kota mahupun alam semula jadi yang terbentuk berkurun lamanya sehingga meninggalkan rasa takjub dan kepuasan dalam diri setiap bangsa yang memilikinya.

Warisan sebenarnya adalah sumber tenaga yang berkuasa dari segi simbol dan estetik yang menyumbang kepada kesejahteraan kerohanian manusia kerana ia melahirkan pelbagai manfaat apabila manusia diberikan akses kepada warisannya dan peluang berkongsi manfaat daripadanya.

Keadaan ini mengukuhkan lagi rasa kekitaan dan penerimaan, sikap saling menghormati dan kehadiran yang lebih bermakna. Ia sekali gus berkemampuan untuk menyumbang kepada kepuasan individu, kesatuan sebuah masyarakat dan kebebasan kolektif dalam membuat pilihan dan tindakan.

Bahkan penerima Hadiah Nobel bagi ekonomi Amartya Sen menganggap keupayaan individu untuk hidup dan kebebasan untuk merealisasikan keinginannya adalah komponen penting dalam pembangunan manusia. Seyogia penting warisan disuburkan dan dikembangkan demi memenuhi kemaslahatan insan.

Dalam hal ini, usaha proaktif Yayasan Warisan Melayu (YWM) sejak zaman pra-Covid-19 ternyata bergerak ke arah memenuhi peranan sebenar warisan yang dijelaskan.

Peranan YWM semakin penting dalam menjadi institusi utama yang mencergaskan budaya dan warisan intelektual Melayu melalui inisiatif bersepadu dalam bentuk dokumentasi, wacana intelektual dan merangsang potensi dalam golongan muda serta mengiktiraf sumbangan para tokoh dalam bidang keilmuan Melayu.

Ini merupakan satu anjakan besar dalam menyokong kewujudan Taman Warisan Melayu yang lebih fokus pada mengembangkan seni dan warisan melalui pameran dan kegiatan seni. Usaha ini bertepatan dengan hasrat membangunkan Singapura sebagai sebuah bandar Madani, atau Renaissance city.

Anjakan ini sangat bertepatan dengan masanya kerana tamadun dunia terbina atas khazanah intelektual yang diwariskan kepada generasi selanjutnya.

Tanpa khazanah tersebut sesuatu bangsa itu umpama tidak pernah wujud atau kalau wujud sekalipun ia ibarat bagai melukut di tepi gantang kerana kewujudannya tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada tamadun dunia.

Demikian pentingnya khazanah bangsa dikekalkan dan dikembangbiakkan agar kehadiran bangsa itu tampak ketara dan bermakna.

Ini bererti bahawa pameran artifak-artifak Melayu di muzium tidak akan bermakna jika ia tidak dihidupkan dengan pembicaraan mengenainya seperti yang banyak dilakukan di muzium-muzium antarabangsa yang sarat dengan kegiatan wacana akademik mahupun bicara santai dalam membincangkan artifak dalam muzium dan ilmu bangsa itu sendiri dalam konteks yang lebih luas.

Wacana yang diadakan itu melampaui artifak di dalam muzium kerana ini melahirkan semacam suasana yang membugar pemikiran, perasaan, dan hala tuju bangsa.

Satu inisiatif terpuji YWM bermula beberapa tahun yang lalu ialah kembali kepada akar yakni menggalakkan anak watan untuk mengkaji persoalan bahasa, sastera, budaya dan seni bangsanya sendiri.

Kajian tersebut kemudiannya dibukukan dan disebarkan melalui wacana intelektual yang dirancangkan. Pendekatan ini sangat bermakna kerana ia merupakan satu usaha membina prestij intelektual tempatan dengan mengalihkan pandangan ke timur dan tidak lagi berkiblatkan ketokohan barat.

Jauhari juga yang mengenal manikam. Maka anak watan jugalah yang memahami hati budi dan cita rasa tempatan dan pastinya dalam menghasilkan bahan kajian yang lebih bermakna dan tepat dari segi tafsirannya, kerana dunia timur ini telah berdarah daging di dalam dirinya melalui proses pembudayaan ketimuran.

Ini bukan bermakna kita mengetepikan langsung bahan-bahan yang dihasilkan oleh para intelektual barat. Sebaliknya, banyak pendekatan dan teori masih perlu digunakan untuk menerangkan fenomena yang dikaji di alam Melayu.

Cuma tafsiran dan sentuhan itulah yang masih memerlukan nilai dan hati budi orang Melayu itu sendiri. Barulah sempurna dokumentasi yang dilakukan.

Inisiatif ini sangat bertepatan dengan masanya dengan lebih banyak sarjana Melayu Singapura yang lahir dengan kesarjanaan dalam pelbagai bidang.

Antara hasil kajian yang didokumenkan termasuk buku-buku dokumentasi sastera, budaya, agama dan kesenian Melayu Singapura yang sangat berharga dan belum pernah dihasilkan sebelum ini. Bahan-bahan tersebut menyumbang kepada usaha melestarikan khazanah bangsa khususnya masyarakat Melayu di Singapura.

Usaha ini bertali arus dengan usaha YWM memakmurkan wacana lisan warisan dalam bentuk siri-siri Cendekiawan Lestari, Sembang Ilmu, dan Wacana Warisan yang semuanya mengangkat topik warisan budaya dalam pelbagai bidang ilmu yang sekali gus memasyarakatkan warisan kepada khalayak masyarakat berbilang kaum.

Bahan-bahan ini pula dirakamkan dan didokumenkan sebagai arkib yang bernilai dan mudah dicapai oleh masyarakat di tapak web YWM. Usaha ini sangat penting kerana ia bukan hanya memberi akses kepada masyarakat untuk memahami kepentingan warisan mereka tetapi juga mencergaskan perbincangan mengenainya dan menimbulkan kesedaran mengenai dengan kewujudannya dan kedudukannya dari segi keberdayaan atau vitaliti.

Malah, ia juga menjadi platform untuk para ilmuwan mewarnakan dunia warisan Melayu Singapura dengan kajian dan pemerhatian yang dilakukan. Dari segi manfaat jangka panjang pula ia membantu para penggubal dasar untuk lebih memahami kedudukan, keperluan, dan potensi warisan untuk setiap bangsa dan kepentingan negara.

Namun demikian, yang lebih penting lagi ialah inisiatif wacana lisan warisan ini berjaya mengatasi kekurangan yang ada jika dibandingkan dengan bandar-bandar budaya besar seperti Britain dan Eropah.

Mereka berjaya mengekalkan warisan bangsa masing-masing dengan memelihara dan memulihara bangunan-bangunan dan tapak-tapak sejarah, tokoh-tokoh, hasil ketukangan, dan makanan yang mewakili bangsa tersebut sehingga melahirkan landskap warisan yang begitu kukuh dan memuaskan setiap pengunjung kerana dapat benar-benar merasakan keistimewaan.

Landskap sedemikian mungkin tidak wujud di sini namun wacana lisan warisan sekurang-kurangnya mampu menghidupkan landskap tersebut melalui perkongsian pelbagai aspek sosiobudaya dan infrastruktur dalam bentuk kata-kata yang mampu membina imaginasi setiap yang mengikutinya kerana setiap wacana akan memungkinkan kembali sejarah yang pernah wujud dalam konteks ia disampaikan.

Rangkuman kepada inisiatif dokumentasi dan siri wacana lisan dilengkapi dengan pengiktirafan kepada warisan dan pengamalnya.

YMW telah melancarkan Hari Warisan serta dua anugerah, yakni Hadiah Warisan dan Tunas Warisan, yang merupakan inisiatif yang memantul ke hadapan kerana lambang kecergasan warisan dalam bentuk perayaan sangat penting dalam menyedarkan masyarakat tentang kewujudan warisan yang masih segar dan mekar di kota ini.

Pengenalan anugerah pula merupakan usaha memakmurkan bakat sedia ada dan merangsang bakat-bakat baru agar meneruskan usaha murni dalam mengembangkan mana-mana bakat dalam bidang warisan. Selain itu pengenalan pelantikan Teman Warisan kepada para pengamal budaya yang muda merupakan langkah proaktif dalam memupuk sifat perjuangan warisan yang sangat diperlukan dalam kalangan generasi hari ini dan hari muka.

Malah, mantan Presiden Halimah Yacob mengakui bahawa pengamal kebudayaan dan kesenian memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesatuan sosial dan daya bingkas masyarakat berbilang kaum di Singapura. Dalam pada itu, usaha ini selaras dengan hasrat Majlis Seni Kebangsaan melalui Perancangan Kesenian Singapura atau SG Plan.

Ternyata, segala perancangan yang teliti dan strategik YWM berjaya meletakkannya sebagai nadi pemerkasaan keberdayaan warisan Melayu di Singapura. Namun demikian, usaha-usaha yang dibincangkan wajar dipantau, ditingkatkan dan digilap kerana ia harus berkembang sesuai dengan keperluan zaman dan masa depan. Jika segala usaha ini kekal statik, ia akan membawa kepada gejala leka warisan.

Akhirnya, bangsa itu akan menjadi artifak di dalam muzium bak boneka dalam balang kaca. Hanya dengan usaha-usaha yang dibincangkan inilah bangsa itu mampu terus bernafas dan bergerak bebas di luar balang kaca kerana ia dipelajari, didokumenkan, diperkatakan, dan diraikan melewati pelbagai platform termasuk media cetak dan media elektronik serta media sosial.

Leka warisan akan berlaku apabila kita berada dalam suasana mesra warisan yang kita andaikan memastikan keberdayaan budaya itu akan berterusan.

Keadaan ini boleh berlaku apabila terdapat suasana yang melahirkan gambaran sokongan padu dari semua pihak dalam mengembangkan bahasa, budaya dan persuratan.

Sokongan padu agensi pemerintah dan gerakan wewenang serta pelbagai inisiatif institusi pendidikan akan melahirkan rasa kepuasan dalam diri masyarakat bahawa bahasa, budaya dan persuratan mereka terjamin.

Namun demikian, fenomena pasca-Covid-19 membuktikan cabaran terhadap kedudukan sedemikian semakin jelas khususnya dalam industri bahasa, budaya dan persuratan dengan lebih banyak tekanan sosioekonomi dek gejolak sosiopolitik dunia yang semakin tidak menentu dan perubahan hala tuju syarikat swasta.

Suasana sedemikian memerlukan pemerhatian rapi terhadap lanskap kebudayaan Melayu di Singapura agar ia kekal bermakna, bermanfaat dan terselamat daripada jerangkap leka budaya.

Keadaan ini semakin genting dengan berpulangnya para ilmuwan perintis dan tokoh pejuang serta golongan pengganti yang masih samar. Kekurangan atau ketiadaan pengganti akan membawa kesan yang membimbangkan terhadap masa depan, mutu, dan keaslian ilmuwan yang sangat-sangat diperlukan dalam mengekalkan dan mengembangkan tamadun bangsa.

Pencapaian akademik dan sosioekonomi semata tidak menjanjikan pengekalan sesuatu tamadun jika ia tidak didukung oleh kebudayaan yang sentiasa mekar. Hari ini teknologi semakin mempengaruhi manusia sehingga tidak dapat dibezakan antara yang asli dan ciplak ataupun palsu.

Tanpa ilmuwan yang berwibawa dan masyarakat yang celik warisan, sesuatu bangsa itu akan mudah terjerumus ke dalam penerimaan budaya palsu yang dicipta oleh mesin atau golongan yang cetek ilmunya ataupun mereka yang mempunyai niat serong kerana tiada siapa yang mampu membezakannya.

Akhirnya budaya sedemikian menjadi ikutan sehinggakan ia diterima sebagai sesuatu yang benar dan mutlak. Ini membawa kepada hilangnya identiti dan nilai bangsa tersebut, yang boleh membawa kepada fenomena simbolisme etnik, yakni bangsa itu hanyalah satu simbol ikatan bukan yang dibudayakan dengan erti yang sebenar.

Penulis pengkaji keberdayaan bahasa dan bangsa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >