Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Analisis Berita

Anwar boleh jadi faktor kekuatan blok PH-BN: Penganalisis

Jul 29, 2023 | 05:30 AM



Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Malaysia kian terasa dengan hari penamaan calon jatuh pada Sabtu.

Satu faktor yang menjadi perbincangan adalah sama ada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mampu menjadi sumber kekuatan kepada blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang bakal menentang blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Pengamat politik menyatakan sejauh ini Datuk Anwar dilihat mampu memberi kekuatan kepada blok kerajaan kerana setakat ini beliau dapat mengawal keadaan dengan baik walaupun sering menjadi sasaran serangan PN yang cuba menjejas kewibawaannya.

Namun, satu perkara penting adalah Perdana Menteri ke-10 Malaysia itu perlu terus menunjukkan bahawa beliau dapat ‘mengawal’ kededua parti utama Umno dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam blok Kerajaan Perpaduan.

Ini demi mencegah perpecahan perpaduan khususnya dalam kalangan penyokong dan anggota akar umbi dua parti yang pernah bermusuhan itu.

Namun sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022, dua parti itu telah dapat bekerjasama dalam membentuk dan mendokong Kerajaan Perpaduan bersama-sama parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Memberitahu Berita Harian (BH), Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan, melihat strategi PN adalah untuk terus menjadikan Datuk Anwar sasaran utama mereka memandangkan kaitan beliau, dari segi sejarah, dengan Umno dan juga hubungan rapatnya dengan DAP.


“Namun, saya melihat serangan ini sebenarnya memberi kelebihan kepada PH dan Anwar sendiri. Ini kerana dengan serangan itu, beliau dapat menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang mampu mengawal kededua Umno dan juga DAP, walaupun kerusi DAP di Parlimen adalah tertinggi dalam PH, berbanding PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Amanah (Parti Amanah Negara).

“Tanggapan bahawa Anwar mampu mengawal DAP ini penting kepada penyokong Umno, bahawa walaupun Umno tidak dapat mengawal DAP, Anwar boleh melakukannya,” kata beliau.

Menjelaskan, Profesor Azmi berkata sokongan penyokong Umno, jika calon Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah daripada DAP, amat diperlukan untuk membolehkan calon DAP (PH) mengalahkan calon PN.

Begitu juga bagi calon BN yang memerlukan sokongan penyokong DAP (PH) jika mahu mengalahkan calon PN.

Dalam hal itu juga, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Datuk Anwar boleh dilihat sebagai sumber kekuatan PH-BN memandangkan ramai rakyat Malaysia melihat beliau sebagai pemimpin politik yang mampu melakukan perubahan besar, termasuk dalam isu salah guna kuasa.

“Sebilangan ahli politik sebenarnya bimbang dengan kepimpinan Anwar yang boleh menjejas kepentingan mereka termasuk kepentingan politik, ekonomi dan juga berkaitan isu-isu lama yang mereka lakukan yang tidak disukai Anwar seperti projek besar yang melibatkan unsur salah guna kuasa.

“Anwar juga dilihat sebagai mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara progresif, masyarakat yang sederhana, pemulihan ekonomi serta pembangunan pesat, yang kesemuanya boleh membawa kepada kesejahteraan hidup yang lebih baik, sistematik dan lebih bertanggungjawab bagi rakyat Malaysia,” katanya kepada BH.

TOKOH PEMBANGKANG

Ditanya mengenai tokoh pembangkang yang mampu memberi cabaran kepada blok PH/BN, Profesor Azmi berpendapat individu itu adalah Menteri Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor. Pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu, yang juga Pengarah PRN PN, dilihat mempunyai sokongan besar.

“Namun, dengan tindak-tanduk beliau yang agak semberono, beliau juga dilihat sebagai sasaran sesuai bagi pihak PH-BN dan kini beliau telah pun dikenakan tuduhan mahkamah berkaitan akta hasutan.

“Namun, walaupun sudah didakwa, sokongan kepadanya tidak menurun, malah dilihat bertambah kuat. Cuma ini mungkin satu tanggapan kerana diketahui kebanyakan sokongan itu datang daripada penyokong tegar PAS sendiri. PN sendiri menyokong kuat Sanusi yang dlihat amat popular sekarang ini dalam kalangan penyokong PAS,” ujar beliau.

Bagi Profesor Awang Azman, beliau belum melihat sebarang tokoh pembangkang yang benar-benar menonjol yang setara Datuk Anwar.

“Pemimpin PN dilihat bergerak secara kumpulan dan mereka sering menimbulkan isu kepimpinan Melayu dan Islam dan memberikan naratif yang menimbulkan kebimbangan dan kerisauan berkaitan hal itu. Sebilangan pengundi juga terpengaruh akan naratif itu.

“Namun mengenai tokoh pembangkang yang mempunyai aura besar dan tarikan hebat, saya belum melihat sesiapa yang sedemikian,” katanya.

Umumnya, Datuk Anwar dillihat menjadi peneraju utama kempen PH-BN dalam PRN kali ini dengan ramai orang juga seringkali mahu melihatnya dan mendengar ceramahnya.

Namun, sama ada pengaruh beliau dapat bertukar menjadi undi menyokong kepada PH-BN dan menguasai lebih banyak negeri dalam PRN kali ini akan hanya terjawab pada 12 Ogos nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >