Topik diikuti
Pergi ke BHkuVance: Dakwa hampir capai perjanjian lanjut gencatan senjata
Vance: Dakwa hampir capai perjanjian lanjut gencatan senjata
Vance: Dakwa hampir capai perjanjian lanjut gencatan senjata
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik J.D. Vance, pada 28 Mei berkata Washington masih belum mencapai persetujuan dengan Iran mengenai gencatan senjata selama 60 hari dan menarik balik sekatan perkapalan di Selat Hormuz, tetapi kedua-dua pihak semakin hampir mencapainya.
Beliau menegaskan Amerika mempunyai keupayaan untuk memberi kesan ketara terhadap program nuklear Teheran.
Namun masih terdapat beberapa isu tertonggak berkaitan stok uranium diperkaya dan pengayaan uranium.
“Sukar untuk dipastikan bila atau sama ada Presiden akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) itu kerana masih terdapat beberapa isu berkaitan bahasa yang sedang dibincangkan,” katanya.
Walaupun tidak dapat menjamin kejayaan, beliau menyatakan keyakinan bahawa perjanjian boleh dicapai.
Sumber agensi berita, Reuters, berkata Amerika dan Iran telah bersetuju secara prinsip untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari dan menarik balik sekatan perkapalan di Selat Hormuz, tertakluk kepada kelulusan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Menurut empat sumber, perjanjian itu akan melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari lagi dan membenarkan laluan Selat Hormuz sementara perunding menangani isu sukar seperti program nuklear Iran.
Jika diluluskan oleh pemimpin Washington dan Teheran, perjanjian itu akan menjadi langkah terbesar ke arah keamanan sejak konflik bermula pada 28 Februari.
Berita mengenai kemungkinan perjanjian itu muncul selepas serangan balas-membalas terkini antara kedua-dua negara sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada awal April.
Namun, agensi berita, Tasnim, melaporkan teks perjanjian itu masih belum dimuktamadkan atau disahkan.
Walaupun pentadbiran Encik Trump beberapa kali mendakwa perjanjian hampir dicapai, Iran sering mempertikaikan atau memperkecilkan dakwaan tersebut.
Perjanjian itu diramal membuka laluan perkapalan bebas melalui Selat Hormuz, sekali gus memansuhkan sekatan Amerika ke atas pelabuhan dan melonggarkan sekatan terhadap eksport minyak Iran.
Berita itu segera membawa penurunan harga minyak dunia, didorong harapan pembukaan semula saluran penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan tenaga sejagat.
Namun, ketegangan berterusan. Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) berkata pasukannya menembak jatuh lima dron Iran dan menyerang sebuah stesen kawalan di bandar pelabuhan Bandar Abbas.
Kuwait pula memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arahnya.
Seorang pegawai Amerika berkata tiada pesawat Amerika ditembak jatuh berhampiran Bushehr, menyangkal laporan televisyen pemerintah Iran yang mendakwa sebaliknya.
Kejadian itu, walaupun terhad, menyerlahkan kerapuhan rundingan untuk mengubah gencatan senjata kepada perjanjian berkekalan bagi menamatkan perang tiga bulan yang telah meragut ribuan nyawa dan menggugat pasaran tenaga sedunia.
Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata serangan itu bertujuan mempertahankan diri dan mengekalkan gencatan senjata.
Pasukan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata ia menyasarkan pangkalan Amerika yang bertanggungjawab atas serangan di Bandar Abbas dan memberi amaran sebarang pengulangan akan menerima “tindak balas yang lebih tegas”, lapor Tasnim.
Kuwait mengecam serangan itu dan menuntut Iran menghentikan segera apa yang disifatkannya sebagai peningkatan ketegangan serius.
Kejadian itu, letusan konflik kedua minggu ini, berlaku ketika sambutan Aidiladha di seluruh rantau yang turut melibatkan beberapa negara.
Pakistan, yang menjadi pengantara, berkata Menteri Luar, Encik Ishaq Dar akan bertemu Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, di Washington pada 29 Mei.
Encik Trump berulang kali berkata sejak pertengahan Mac perang itu hampir berakhir, walaupun kedua-dua pihak menunjukkan sedikit kemajuan ke arah mencapai persetujuan
Iran terus menuntut penarikan sekatan, pembebasan aset luar negara dan pengunduran tentera Amerika, manakala Washington menuntut pembongkaran program nuklear Iran.
Iran juga mahu serangan Israel di Lubnan dihentikan, namun konflik itu berterusan.
Israel berkata ia menyasarkan prasarana Hezbollah yang disokong Iran di bandar selatan Tyre dan melancarkan serangan di Beirut.
Kemaraan Israel ke dalam Lebanon telah menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala tentera Lebanon berkata seorang anggotanya terbunuh dalam satu serangan.
Amerika turut memberi amaran kepada Oman agar tidak bekerjasama dengan Iran untuk mengenakan tol di Selat Hormuz.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Duta Oman memaklumkan tiada rancangan untuk mengenakan tol tersebut.
Oman tidak menyebut sebarang cadangan kawalan bersama Selat Hormuz dengan Iran dan menegaskan perbincangan mereka hanya berkaitan kebebasan pelayaran, manakala Teheran menyatakan sokongan kepada Oman berikutan apa yang disifatkannya sebagai “ugutan pegawai Amerika”. – Agensi berita.
