Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS serang Venezuela, Trump umum Maduro ditangkap

Amerika kenakan dakwaan berkaitan dengan dadah, pengganasan terhadap Presiden Maduro
Jan 3, 2026 | 7:38 PM
Kebakaran tercetus di Fuerte Tiuna, kompleks ketenteraan terbesar Venezuela, susulan beberapa letupan di Caracas pada 3 Januari.
Kebakaran tercetus di Fuerte Tiuna, kompleks ketenteraan terbesar Venezuela, susulan beberapa letupan di Caracas pada 3 Januari. - Foto AFP

CARACAS (Venezuela): Amerika Syarikat (AS) telah menyerang Venezuela dan menahan Presidennya, Encik Nicolas Maduro, yang kemudian dibawa keluar dari negara itu, kata Presiden Encik Donald Trump pada 3 Januari.

Amerika tidak pernah melakukan campur tangan secara langsung sedemikian di Amerika Latin sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera, Manuel Noriega, berhubung dakwaan serupa.

Amerika telah mengumumkan tuduhan dadah dan keganasan terhadap Presiden Venezuela yang paling lama berkhidmat itu.

Peguam Negara Amerika, Cik Pam Bondi, berkata Encik Maduro dan isterinya telah didakwa di Distrik Selatan di New York.

Cik Bondi berkata Encik Maduro didakwa dengan “konspirasi narko-keganasan, konspirasi pengimportan kokain, pemilikan mesingan dan alat pemusnah, serta konspirasi untuk memiliki mesingan dan alat pemusnah terhadap Amerika Syarikat”.

Awal dari ini, Presiden Donald Trump menulis dalam satu hantaran di Truth Social: “Amerika telah berjaya melaksanakan satu serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Encik Nicolas Maduro, yang bersama isterinya, telah ditahan dan diterbangkan keluar dari negara itu.”

Amerika menuduh Encik Maduro mentadbir sebuah “negara narkotik” dan mencatur pilihan raya 2024, yang menurut pembangkang dimenanginya dengan majoriti besar.

Pemimpin Venezuela itu, yang menggantikan Encik Hugo Chavez untuk mengambil alih kuasa pada 2013, berkata Washington mahu menguasai simpanan minyak Venezuela, yang terbesar di dunia.

Encik Trump berkata operasi tersebut dijalankan “dengan kerjasama penguat kuasa undang-undang Amerika” dan berjanji akan memberikan maklumat lanjut dalam satu sidang media pada jam 11 pagi waktu tempatan di resort Mar-a-Lago miliknya di Florida.

Encik Maduro ditahan oleh pasukan khas elit, kata seorang pegawai AS kepada Reuters.

Tiada pengesahan segera daripada pemerintah Venezuela mengenai penahanan atau pemergian Encik Maduro, namun Menteri Pertahanan, Encik Vladimir Padrino tampil dengan pendirian tegas.

“Venezuela yang bebas, merdeka dan berdaulat menolak dengan segenap kekuatan sejarah pembebasannya, kehadiran pasukan asing ini yang hanya meninggalkan kematian, penderitaan dan kemusnahan,” kata Encik Padrino dalam satu video yang disiarkan di media milik negara pada waktu yang hampir sama Encik Trump memuat naik mesejnya.

“Hari ini, kita bersatu mempertahankan apa yang menjadi milik kita. Marilah kita bersatu, kerana dalam kesatuan rakyat kita akan bertemu kekuatan untuk melawan dan mencapai kemenangan.”

Walaupun pelbagai pemerintah Amerika Latin menentang Encik Maduro dan mendakwa beliau mengatur pilihan raya 2024, tindakan langsung Amerika Syarikat menghidupkan kembali kenangan pahit campur tangan pada masa lalu dan secara umum ditentang keras oleh pemerintah serta penduduk di rantau tersebut.

Pembangkang Venezuela, yang diketuai pemenang Hadiah Keamanan Nobel baru-baru ini, Cik Maria Corina Machado, berkata dalam satu kenyataan di X mereka tidak mempunyai sebarang komen rasmi mengenai peristiwa itu.

Pada awal pagi 3 Januari, beberapa letupan menggegarkan ibu negara Venezuela, Caracas, dan kawasan lain, mendorong pemerintah Encik Maduro mengisytiharkan darurat nasional serta menggerakkan pasukan tentera.

Letupan, pesawat dan asap hitam kelihatan di seluruh Caracas bermula sekitar jam 2 pagi selama kira-kira 90 minit, menurut saksi Reuters dan imej yang tersebar di media sosial.

Di seluruh bandar, rakyat Venezuela meluahkan rasa terkejut dan takut sambil merakam video kepulan asap tebal serta kilatan cahaya jingga terang di langit.

“Sayangku, lihat itu!” kata seorang wanita dalam satu video, tercungap-cungap melihat letupan dari jauh.

Gangguan bekalan elektrik menjejaskan kawasan selatan bandar itu, berhampiran sebuah pangkalan tentera utama, kata para saksi.

Encik Trump sebelum ini berulang kali berjanji akan melancarkan operasi darat di negara pengeluar minyak Amerika Selatan itu, yang dipimpin Encik Maduro sejak 2013.

Amerika, pembangkang Venezuela dan beberapa negara lain mendakwa Encik Maduro mengatur pilihan raya 2024 untuk terus kekal berkuasa.

Encik Trump tidak memberikan perincian secara terbuka matlamatnya, namun secara tertutup telah memberi tekanan agar Encik Maduro melarikan diri dari negara itu, lapor Reuters.

Pada 29 Disember, Encik Trump berkata adalah “bijak” bagi Encik Maduro untuk berundur daripada kuasa.

Pentagon merujuk pertanyaan kepada Rumah Putih, yang enggan mengulas.

Dalam kenyataannya, pemerintah Venezuela berkata matlamat serangan itu adalah untuk Amerika mengambil alih kepemilikan minyak dan sumber mineral negara tersebut.

Ia menambah Amerika “tidak akan berjaya” merampas sumber-sumber berkenaan.

Amerika telah meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau itu, termasuk menempatkan sebuah kapal pengangkut pesawat, kapal-kapal perang serta jet pejuang canggih di Caribbean.

Encik Trump turut berusaha melaksanakan “sekatan” terhadap minyak Venezuela, memperluaskan sekatan ke atas pemerintah Maduro, dan melancarkan lebih dari 24 serangan ke atas kapal-kapal yang didakwa Amerika terlibat dalam penyeludupan dadah di Lautan Pasifik dan Laut Caribbean.

Minggu lalu, Encik Trump berkata Amerika telah menyerang satu kawasan di Venezuela tempat bot-bot dimuatkan dengan dadah, menandakan kali pertama Washington diketahui melaksanakan operasi darat di Venezuela sejak kempen tekanan itu bermula.

Beliau tidak menyatakan sama ada serangan tersebut dilaksanakan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) atau sebaliknya.

Media lain melaporkan agensi perisikan itu berada di sebalik serangan berkenaan.

Encik Trump menuduh Venezuela membanjiri Amerika dengan dadah, dan pentadbirannya sejak beberapa bulan lalu telah mengebom bot-bot yang berasal dari Amerika Selatan yang didakwa membawa dadah.

Banyak negara mengecam serangan tersebut sebagai pembunuhan di luar proses perundangan, manakala pemerintah Encik Maduro sentiasa menafikan sebarang penglibatan dalam kegiatan pengedaran dadah. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg