Topik diikuti
Pergi ke BHkuBBC dijangka kurangkan ratusan pekerjaan bahagian berita
BBC dijangka kurangkan ratusan pekerjaan bahagian berita
Sehingga 2,000 jawatan bakal dipotong
BBC dijangka kurangkan ratusan pekerjaan bahagian berita
LONDON: Syarikat media Britain, BBC, dijangka mengurangkan ratusan pekerjaan dalam bahagian berita utamanya minggu depan sebagai fasa pertama langkah pengecilan operasinya, lapor Financial Times (FT) pada 15 Jun, memetik sumber yang arif tentang perkembangan tersebut.
Jabatan di seluruh pertubuhan itu diarah mengurangkan kira-kira 10 peratus kos masing-masing di bawah pelan lebih luas yang dijangka menyebabkan sekitar 2,000 pekerjaan hilang bagi menjimatkan ratusan juta pound sterling, lapor FT.
Bahagian berita BBC dijangka menjadi yang pertama mengumumkan rancangannya minggu depan.
Agensi berita, Reuters, tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera.
BBC pada 15 April berkata pihaknya dijangka mengurangkan sehingga 2,000 pekerjaan berikutan keadaan industri media yang semakin mencabar.
Ketua Pengarah sementara BBC, Encik Rhodri Talfan Davies, berkata dalam satu kenyataan kepada kakitangan bahawa jumlah pekerjaan dijangka berkurangan antara 1,800 dengan 2,000.
Syarikat itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengurangan itu melibatkan “hampir satu daripada setiap 10” pekerjaan daripada sekitar 21,500 kakitangannya.
BBC dalam satu laporan pada Mac lalu berkata, pendapatan daripada bayaran lesen merosot 24 peratus dari segi nilai sebenar sejak 2017.
Pengurangan pekerjaan itu berlaku ketika BBC berdepan cabaran dalam industri media akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan perubahan tabiat pengguna. – Agensi berita.
