Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemberhentian kerja naik, pertumbuhan pekerjaan kekal kukuh
Pemberhentian kerja naik, pertumbuhan pekerjaan kekal kukuh
Laporan MOM: Pemberhentian kerja cecah 3,830 kes, pekerjaan penduduk tambah kepada 5,400
Pemberhentian kerja naik, pertumbuhan pekerjaan kekal kukuh
Jumlah pemberhentian kerja mencatatkan sedikit peningkatan pada suku pertama 2026.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan kekal kukuh dalam tempoh yang sama.
Statistik menunjukkan 3,830 pekerja diberhentikan dalam tiga bulan pertama tahun ini, berbanding 3,690 pada suku sebelumnya.
Namun, pertumbuhan pekerjaan dalam kalangan warga Singapura dan Penduduk Tetap terus kukuh, melonjak kepada 5,400 orang, berbanding 3,100 pada suku keempat 2025.
Dapatan ini terkandung dalam Laporan Pasaran Pekerja Suku Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 15 Jun.
Sementara itu, bilangan kekosongan jawatan pula menyusut daripada 77,700 pada Disember 2025 kepada 73,300 pada Mac 2026.
Angka ini juga menunjukkan penurunan berbanding 80,100 kekosongan jawatan yang direkodkan pada Mac 2025.
Menurut MOM, pemberhentian kerja yang berlaku sebahagian besarnya berpunca daripada langkah penyusunan semula syarikat.
“Peningkatan pemberhentian kerja ini kebanyakannya berlaku dalam sektor berorientasikan luar seperti pembuatan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan profesional,” ujar kementerian tersebut dalam satu kenyataan media pada 15 Jun.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menyifatkan paras pemberhentian kerja ketika ini masih dalam lingkungan normal dan tidak menunjukkan tanda-tanda kemelesetan ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke syarikat Star Furniture di Sungei Kadut pada 15 Jun.
“Walaupun beberapa sektor yang berorientasikan pasaran luar, seperti pembuatan dan khidmat kewangan, telah menyaksikan sedikit peningkatan dalam pemberhentian kerja, jumlah keseluruhannya masih berada pada paras biasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda kemelesetan ekonomi,” ujar beliau, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi.
Dr Tan mengakui bahawa kebimbangan rakyat mengenai ketidaktentuan ekonomi global dan kesan kecerdasan buatan (AI) adalah “sesuatu yang nyata”.
“Kami memahami cabaran yang dihadapi ramai pekerja dan lulusan baharu, tetapi saya ingin memberi jaminan kepada semua bahawa meskipun berdepan ketidaktentuan ini, terdapat beberapa perkembangan yang memberangsangkan dalam pasaran buruh.
“Pemberhentian kerja bukanlah sesuatu yang mudah, namun apa yang memberi saya galakan ialah semakin ramai pekerja yang diberhentikan berjaya mendapatkan pekerjaan semula dengan lebih cepat,” katanya.
Kadar pekerja yang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan, meningkat daripada 57.4 peratus dalam suku keempat 2025 kepada 60.7 peratus pada suku pertama 2026, menurut laporan MOM.
“Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) telah bertindak pantas untuk menyokong pekerja yang terjejas dalam keadaan sedemikian, dengan menawarkan sokongan peralihan kerjaya serta khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya,” jelas Dr Tan.
Mengenai isu AI, Dr Tan menekankan bahawa teknologi tersebut kini lebih berperanan membentuk semula ruang kerja berbanding menggantikan tenaga manusia.
Berdasarkan laporan MOM, syarikat didapati tiga kali lebih cenderung untuk mengubah suai proses kerja berbanding mengurangkan jumlah kakitangan disebabkan penggunaan AI.
Semasa lawatan di Star Furniture, beliau melihat sendiri bagaimana kenderaan berpandu automatik (AGV) meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi gudang.
Encik Goh Wee Nam, 58, adalah contoh kejayaan peralihan kerjaya ini.
Beliau kini memegang jawatan Penolong Sokongan IT Kanan setelah menyertai Program Penukaran Kerjaya anjuran WSG pada 2023.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Goh berkongsi bahawa peranan utamanya kini adalah memastikan kelancaran sistem automasi di syarikat tersebut.
“Jika mesin tersekat atau berlaku masalah, campur tangan manusia diperlukan untuk memastikan ia kembali berfungsi,” jelasnya, yang telah berkhidmat di syarikat itu selama tiga tahun.
