Topik diikuti
Pergi ke BHkuYe Kung: Tangani kegusaran rakyat bagi pulihkan keyakinan terhadap globalisasi
Ye Kung: Tangani kegusaran rakyat bagi pulihkan keyakinan terhadap globalisasi
Ye Kung: Tangani kegusaran rakyat bagi pulihkan keyakinan terhadap globalisasi
TOKYO: Ketidakpuasan yang semakin meningkat terhadap globalisasi hanya dapat diredakan jika pemerintah menangani keperluan asas harian rakyat, kata Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, pada 11 Jun.
Berucap pada Forum Nikkei tentang Masa Depan Asia ke-31 di Tokyo, Encik Ong menolak tanggapan bahawa globalisasi sedang berundur.
Walaupun tarif meningkat, seruan untuk memisahkan ekonomi semakin kuat, dan politik nasionalis semakin berkembang, beliau berkata dunia kini memasuki “era baru saling kebergantungan” yang dicirikan oleh rantaian bekalan yang saling berkait, pergerakan manusia yang semakin meningkat, serta cabaran bersama seperti perubahan iklim dan penuaan penduduk.
Ketika semakin ramai melihat globalisasi sebagai tidak adil dan mengancam, pemerintah perlu mendengar serta menangani kegusaran rakyat, kata Encik Ong kepada wakil diplomatik, ahli akademik dan pemimpin perniagaan pada persidangan bertemakan ‘Bersama Membina Asia yang Lebih Berdaya Tahan dan Makmur’ (Working Together For A More Resilient And Prosperous Asia).
“Globalisasi memerlukan penyesuaian semula kerana walaupun semakin penting, semakin ramai yang tidak berpuas hati dengannya. Inilah cabaran utama hari ini,” katanya.
Beliau berkata globalisasi tidak lagi harus dibincangkan dari sudut perjanjian perdagangan dan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada kegusaran harian rakyat agar mereka tidak berasa terpinggir.
Beliau menggariskan tiga tonggak bagi memastikan “tadbir urus yang aktif, terancang dan diselaraskan dari dalam”.
Tonggak pertama ialah pengurusan kewangan negara yang kukuh.
Dengan kos penjagaan kesihatan dan pencen yang meningkat dalam masyarakat yang semakin menua, Encik Ong memberi amaran bahawa negara perlu mengelakkan hutang berlebihan yang boleh menjejaskan pelaburan bagi generasi akan datang.
Walaupun Jepun, Jerman dan Britain masing-masing membelanjakan lebih 10 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) untuk penjagaan kesihatan hari ini, berbanding 6 peratus pada 2000, Singapura hanya membelanjakan kira-kira 5 peratus, yang menurut Encik Ong antara yang terendah di dunia, namun masih menghasilkan keputusan yang baik.
Beliau berkata walaupun setiap masyarakat berbeza, sistem kewangan yang sihat membolehkan pelaburan dalam pendidikan, perumahan dan prasarana sambil mengimbangi sokongan sosial dengan kemampanan kewangan.
Berdasarkan asas kewangan ini, tonggak kedua menekankan pembangunan model ekonomi yang menjana pertumbuhan, peluang dan harapan.
Encik Ong berkata negara perlu menerima perubahan teknologi dan bukannya menentang inovasi.
Di Singapura, pemerintah melaksanakan dasar untuk memastikan teknologi memberi manfaat, sambil meningkatkan kemahiran pekerja, menarik pelaburan, mengembangkan industri dan meninjau pendidikan anak muda.
Tonggak ketiga memberi tumpuan kepada perpaduan sosial, khususnya keprihatinan terhadap isu imigresen yang semakin meningkat di dunia.
“Apabila sempadan negara semakin terbuka, sikap penerimaan awal boleh berubah menjadi perasaan terpinggir, ditolak dan tidak puas hati,” kata Encik Ong, sambil memberi amaran bahawa imigresen boleh menjadi “garis pemisah utama” dan punca perpecahan politik jika tidak diuruskan dengan baik.
Menurut beliau, kebanyakan rakyat boleh menerima kehadiran warga asing selagi mereka melengkapi tenaga kerja tempatan dan menyumbang kepada ekonomi.
Namun, warga asing sering dipersalahkan atas kehilangan pekerjaan atau kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata Singapura mengamalkan “pendekatan terbuka yang dikawal dengan teliti dan penyatuan yang dirancang” melalui pemantauan jumlah pendatang, pencegahan pembentukan kelompok terasing, serta penyediaan ruang untuk pergaulan sosial.
“Matlamatnya bukan sekadar membawa masuk pendatang, tetapi membantu semua pihak hidup bersama, saling memahami dan mengekalkan perpaduan masyarakat.”
Selain isu dalam negara, Encik Ong menekankan peranan Jepun sebagai rakan penting Asia, khususnya dalam perdagangan bebas dan budaya.
Beliau turut merujuk kepada pengalaman Jepun dalam pengurusan bencana dan daya tahan sosial, serta konsep ibasho (tempat di mana seseorang boleh menjadi diri sendiri) yang mengilhamkan program ‘Age Well SG’, atau Sihat Menua SG, dan rangkaian pusat penuaan aktif di Singapura.
Menyentuh kepada politik sejagat yang luas, Encik Ong mencadangkan bahawa harapan dan kebimbangan rakyat biasa akhirnya boleh membentuk hala tuju hubungan diplomatik sedunia.
Encik Ong berkata persaingan antara Amerika Syarikat dan China mencerminkan kekuatan masing-masing dengan Amerika mendahului dalam inovasi teknologi, manakala China menguasai perkilangan besar-besaran.
Namun, walaupun mereka saling melengkapi dari segi ekonomi, keadaan itu turut meningkatkan rasa tidak selamat dan persaingan.
Namun, jika kedua-duanya dapat menangani kebimbangan rakyat, mereka akan mempunyai ruang politik untuk mengurus perbezaan dan memperluas kerjasama.
Ketika usul globalisasi itu sendiri semakin diserang dan dipersoalkan, penyelesaiannya terletak sepenuhnya pada usaha memupuk kepercayaan awam.
“Rakyat perlu melihat pemerintah melindungi mata pencarian, maruah dan cara hidup mereka.
“Hanya dengan itu keyakinan terhadap globalisasi dapat dipulihkan.
“Ini seterusnya memberi pemerintah sokongan politik untuk bekerjasama,” katanya.
