JAKARTA: Kementerian Ehwal Luar mengesahkan dalam satu kenyataan pada 11 April bahawa pemerintah Indonesia tidak bercadang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Kenyataan itu menyusuli laporan media Israel bahawa Indonesia telah bersetuju memulihkan hubungan sebagai pertukaran untuk mendapatkan persetujuan Israel bagi keahliannya dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Menurut laman web berita Ynet, Israel dan Indonesia dikatakan mengadakan perbincangan mengenai pemulihan hubungan antara dua negara itu sejak tiga bulan lalu.
Dalam laporan yang tidak memetik sembarang sumber, Ynet melaporkan Israel akan berhenti menghalang usaha Indonesia menyertai OECD – pertubuhan yang sering disifatkan sebagai ‘kelab negara kaya’ – sebagai pertukaran bagi hubungan rasmi antara dua negara tersebut.
OECD memerlukan persetujuan sebulat suara semua negara anggotanya untuk menerima anggota baru.
Israel sebelum ini dilaporkan menyekat keanggotaan Indonesia atas alasan tiada hubungan diplomatik.
Laporan itu mendakwa OECD turut terlibat dalam perbincangan pemulihan hubungan dua negara itu.
The Times of Israel melaporkan bahawa seorang pegawai Israel kemudian mengesahkan laporan itu kepada mereka.
Memberikan respons, jurucakap Kementerian Luar, Encik Lalu Muhammad Iqbal, berkata proses Indonesia untuk menyertai OECD “akan mengambil masa agak lama”.
Beliau berkata pelan hala tuju ke arah keanggotaan Indonesia akan diterima pakai pada Mei, dan “banyak” persiapan perlu dilakukan oleh Indonesia.
Encik Lalu berkata setiap negara memerlukan masa yang berbeza untuk menyelesaikan proses keanggotaan OECD.
“Semuanya bergantung pada kesediaan negara. Sesetengah negara mengambil masa tiga tahun, manakala yang lain mengambil masa lebih lima tahun,” katanya kepada pemberita.
“Mengenai isu pemulihan hubungan diplomatik dengan Israel, saya menegaskan bahawa pada masa ini tidak ada rancangan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, terutama di tengah-tengah kekejaman Israel di Gaza pada masa ini,” kata beliau, lapor Tempo.Co.
Beliau menambah bahawa pendirian Indonesia “tetap teguh menyokong kemerdekaan Palestin” dalam kerangka huraian dua negara, dan ia akan sentiasa konsisten dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg