Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebanon-Israel sambung runding di Rome, tumpu undur tentera, rintis zon selamat
Lebanon-Israel sambung runding di Rome, tumpu undur tentera, rintis zon selamat
Lebanon-Israel sambung runding di Rome, tumpu undur tentera, rintis zon selamat
BEIRUT: Lebanon dan Israel dijadual memulakan pusingan keenam rundingan secara langsung di Rome, Italy, pada 14 Julai dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata dan melaksanakan perjanjian rangka kerja yang dimeterai Jun lalu.
Langkah itu akan diadakan walaupun kedua-dua pihak masih berbeza pendapat mengenai kadar pengunduran tentera Israel dari selatan Lebanon.
Rundingan selama dua hari itu diadakan dengan pengantaraan Amerika Syarikat dan disifatkan sebagai langkah penting bagi mengurangkan ketegangan di sempadan selepas konflik yang berlarutan sejak 2025.
Delegasi Lebanon akan diketuai Duta Besarnya ke Washington, Cik Nada Moawad, bersama mantan duta Encik Simon Karam, dan Brigedier Jeneral Ziad Haykal, yang bertindak sebagai penasihat kepada Presiden Joseph Aoun.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan, delegasi Lebanon tidak membawa syarat baharu ke Rome, sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.
“Keutamaan kami ialah mengukuhkan gencatan senjata dan memastikan perjanjian yang telah dipersetujui dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata isu teknikal berkaitan pelaksanaan kawasan ujian zon selamat pertama akan dibincangkan di Beirut kerana tiada wakil tentera Lebanon menyertai rundingan di Rome.
Di bawah perjanjian rangka kerja yang dimeterai di Washington pada 26 Jun, tentera Israel akan berundur secara berperingkat dari satu zon perintis di selatan Lebanon sebelum Tentera Lebanon mengambil alih kawalan kawasan itu menerusi mekanisme pemantauan diketuai Amerika.
Sebagai balasan, Tentera Lebanon akan mengerahkan anggotanya ke kawasan berkenaan bagi memastikan ia bebas daripada senjata Hezbollah.
Maklumat rasmi menyatakan delegasi Lebanon akan menuntut tiga perkara utama dalam rundingan itu.
Ia termasuk pengunduran tentera Israel, penempatan penuh Tentera Lebanon di selatan negara itu dan permulaan usaha pembinaan semula kawasan yang musnah akibat peperangan.
Sementara itu di Beirut, sumber tentera memaklumkan kepimpinan Tentera Lebanon mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan dengan delegasi tentera Amerika yang tiba di ibu negara itu selepas mengadakan pertemuan berasingan dengan pegawai tentera Israel.
Perbincangan berkenaan tertumpu kepada langkah praktikal bagi melaksanakan zon selamat pertama seperti yang dipersetujui kedua-dua negara.
Menurut sumber itu, pihak Amerika memahami pendirian Lebanon dan sedang memberi tekanan kepada Israel supaya memenuhi komitmennya.
“Washington mempunyai kepentingan untuk memastikan perjanjian ini berjaya dilaksanakan, justeru mereka mendesak Israel menghormati komitmen yang telah dipersetujui,” ujar beliau.
Bagaimanapun, pegawai kanan Israel memberi isyarat bahawa rundingan di Rome dijangka menyaksikan perbezaan pendapat berhubung syarat bagi melaksanakan pengunduran tenteranya.
Menurut laporan media Israel, Tel Aviv mahu melihat keberkesanan zon selamat pertama terlebih dahulu sebelum bersetuju memperluaskan pengunduran tenteranya ke kawasan lain.
“Selagi zon perintis pertama belum membuktikan keberkesanannya, tidak akan ada pengunduran tambahan,” kata pegawai kanan Israel itu.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga masih belum mencapai persetujuan mengenai penanda aras yang akan menentukan sama ada Tentera Lebanon benar-benar berjaya membersihkan kawasan berkenaan daripada senjata Hezbollah.
Rundingan kali ini merupakan kesinambungan kepada siri pertemuan yang bermula pada April lalu selepas Hezbollah meningkatkan serangan terhadap Israel sebagai tanda sokongan kepada Iran, sekali gus memperluaskan konflik serantau.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada 2024, Israel masih melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas beberapa kawasan di Lebanon manakala Hezbollah terus menolak sebarang usaha melucutkan senjatanya.
Perjanjian rangka kerja yang dicapai Jun lalu turut menggariskan pelucutan senjata Hezbollah sebagai salah satu syarat utama bagi membolehkan tentera Israel berundur secara berperingkat dari wilayah Lebanon yang didudukinya.
Namun, perjanjian itu tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi pengunduran penuh Israel.
Malah, pegawai Israel sebelum ini menegaskan tenteranya akan terus berada di zon keselamatan sedalam kira-kira 10 kilometer di sepanjang sempadan selagi Hezbollah masih memiliki senjata.
Penganalisis melihat kejayaan rundingan di Rome amat penting kerana ia bakal menentukan sama ada kedua-dua negara mampu melaksanakan perjanjian yang dipersetujui atau terus berdepan kebuntuan yang boleh mencetuskan semula ketegangan di sempadan Lebanon-Israel.
Sekiranya rundingan berdepan jalan buntu, sumber diplomatik memaklumkan Jabatan Negara Amerika bersedia memindahkan semula lokasi rundingan ke Washington bagi memudahkan proses pengantaraan dan mempercepat penyelesaian terhadap isu yang masih dipertikaikan. – Agensi berita.
