Seorang pengurus kanan jawatankuasa di bawah bidang kuasa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membuat pengakuan palsu kepada seorang penjawat awam, menafikan dia mempunyai kepentingan kewangan dalam sebuah firma walaupun telah menerima bayaran untuk perkhidmatannya.
Mohd Zairil Ismail, 54 tahun, yang ketika itu bertugas di Perkhidmatan Bersama Masjid-Madrasah-Wakaf (MMWSS), turut serta dalam perbincangan mengenai penubuhan firma perkhidmatan perisian Qirom Consulting.
Namun, namanya sengaja tidak dimasukkan dalam dokumen penubuhan demi mengelak konflik kepentingan.
Qirom kemudian menyediakan khidmat perisian kepada pelbagai masjid, madrasah dan badan-badan masyarakat Islam yang lain.
Zairil dijatuhi hukuman penjara seminggu pada 20 November, setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan memberikan maklumat palsu kepada seorang pegawai Muis, lapor The Straits Times.
Zairil merupakan pengurus kanan di MMWSS dan bukan kakitangan badan berkanun itu dari 2021 hingga 2023.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Matthew Choo memberitahu mahkamah MMWSS menyediakan fungsi pentadbiran dan tadbir urus untuk masjid, madrasah dan wakaf.
Ini merangkumi perakaunan dan pengurusan kewangan.
Pada 2015, Zairil membuka akaun bank bersama dengan Encik Mohamad Daud A Rahim, 60 tahun, salah seorang pengarah Qirom.
Zairil memberikan bantuan perakaunan kepada Qirom, termasuk perkhidmatan kepada syarikat dan pelanggannya..
Dokumen mahkamah mendedahkan beliau menerima yuran perundingan antara $2,000 dengan $3,000 sebulan dari 2015 hingga 2022 kerana menyediakan khidmat perakaunan kepada sebuah badan sosial bukan mencari untung.
Zairil turut membantu dalam pemfailan cukai pendapatan korporat Qirom kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dan mencadangkan perkhidmatan perisian perakaunan Qirom kepada sebilangan masjid yang berurusan dengannya.
Pada September 2022, Muis menerima aduan mengenai kepentingan Zairil dalam firma tersebut.
DPP Choo berkata, pada November 2022, tertuduh dan Encik Daud memutuskan untuk menutup akaun bank tersebut.
“Tertuduh kemudian menerima sejumlah $20,000 dalam bentuk cek tunai daripada Daud, yang telah dikeluarkan daripada akaun tersebut,” tambahnya.
Kededuanya sedar wang itu adalah untuk bantuan yang Zairil berikan, kata DPP Choo.
Semasa temu bual dengan seorang timbalan pengarah Muis pada 16 Jun 2023, Zairil tetap menafikan dia mempunyai kepentingan kewangan dalam Qirom.
DPP Choo berkata dia telah memberi maklumat palsu kerana takut kehilangan pekerjaannya.
Pada September 2023, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerima aduan yang sama terhadapnya.
Zairil, Encik Daud dan dua lelaki lain – Encik Mohd Nasral Awang, 45 tahun tahun, dan Mohd Nasir Mohd Sairi, 60 tahun – telah didakwa di mahkamah pada 2024.
Namun, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menarik balik semua tuduhan terhadap Encik Daud, Encik Mohd Nasral dan Encik Mohd Nasir yang berkaitan dakwaan sebut harga palsu yang melibatkan sebuah projek masjid.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg