MEDAN: Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan maut dalam keadaan tragis selepas menjadi mangsa kemarahan ibunya di perumahan PT Hexasetia, Desa Portibi Jae, Kecamatan Portibi, Kabupaten Padang Lawas Utara, Sumatera Utara, hujung minggu lalu.
Ketua Polis Resor (Kapolres) Tapanuli Selatan, AKBP Yasir Ahmadi berkata bayi malang berkenaan, ZAP, telah dihempas ke lantai sebanyak 10 kali oleh ibunya, Depri Dayanti Telaumbanua, 22 tahun.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. Siasatan awal mendapati Depri bertindak demikian kerana berang dengan suaminya yang kerap menghabiskan wang untuk berjudi.
“Ibu muda itu juga sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan dipercayai melampiaskan kemarahan terhadap anak bongsunya ketika mereka tinggal berdua di rumah, manakala dua anaknya yang lain mengikut nenek mereka ke gereja,” katanya.
Jiran tetangga yang menyedari kejadian itu segera membawa ZAP ke pusat rawatan, namun kecederaan parah yang dialaminya menyebabkan bayi tersebut meninggal dunia.
Menurut pihak berkuasa, jika disabit kesalahan, Depri berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun, selain tambahan satu pertiga daripada tempoh hukuman asal kerana melibatkan mangsa di bawah umur. – Agensi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg