Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Meski tiada inti, epok-epok ‘oksigen’ peniaga di Selangor laris

Sep 29, 2023 | 05:00 AM



Jika lazimnya kita mendengar rungutan pelanggan yang tidak puas hati dengan isi inti yang sedikit atau hampir tiada dalam epok-epok (dipanggil karipap di Malaysia) terutama yang sering terjadi di Bazar Ramadan, lain pula kisah Cik Norhayu Mohd Noor yang epok-epok kosongnya tular dan menjadi rebutan ramai.

Siapa sangka, dengan menjual epok-epok tanpa inti yang diberi nama ‘karipap inti oksigen’ membuatkan pemunya kedai berusia 39 tahun ini, tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.







Selepas epok-epok inti oksigen jualannya tular hingga ke Singapura, Cik Norhayu terpaksa meningkatkan jumlah pengeluaran kuih kegemaran ramai itu yang terus melonjak permintaannya.

Lebih tidak disangka, sepantas itu perniagaannya berkembang selepas hanya enam bulan mula berniaga di kedai di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, sementelah sebelum itu beliau menjalankan perniagaan ‘home-based’ di kediaman yang terletak berhampiran.







“Saya menjual karipap pelbagai inti iaitu daging, ayam dan sardin, tetapi tidak sangka pula karipap inti oksigen berharga 30 sen ($0.08 sen) sebiji yang mula dijual sejak Ogos lalu paling laris.

“Alhamdulillah, sejak perniagaan dikenali ramai, saya menghabiskan sehingga lebih lima kilogram tepung sehari untuk menghasilkan karipap inti oksigen dan berinti yang lain.

“Tak sangka ramai juga peminat karipap tanpa inti hingga berebut datang membeli dan habis setiap hari,” katanya semasa ditemui Berita Harian (BH), dan turut menjual cucur udang sebagai antara ‘killer menu’, selain laksa dan manisan lain hasil air tangan beberapa suri rumah yang diletakkan di kedainya.







Menurutnya, epok-epok inti oksigen itu diisi inti gula, bagi memberi rasa lemak dan manis pada epok-epok yang kemudian akan digoreng garing serta rangup apabila digigit.

“Sebenarnya proses menggoreng karipap (epok-epok) inti oksigen ini lebih rumit dan ‘manja’ kerana ia ringan disebabkan tiada inti. Jadi kita perlu berdiri di hadapan kuali untuk pastikan ia masak sekata,” katanya ketika ditemui BH.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata pada mulanya idea untuk menjual epok-epok inti oksigen itu mendapat tentangan anak perempuannya, yang menyifatkan ia idea ‘gila’ yang hanya akan mengundang kecaman ramai.

Namun kongsinya, respons dan sambutan diterima amat luar biasa sehingga kedainya mula tular dan dikunjungi ramai pelanggan termasuk media dan pempengaruh media sosial yang mahu mencuba epok-epok inti oksigen.







“Ada satu hari inti karipap (epok-epok) habis dan saya gantikan dengan gula untuk penuhi permintaan anak yang tidak gemar karipap (epok-epok) berinti. Kemudian timbul idea untuk menjualnya.


“Mulanya anak hanya gelakkan saya kerana mahu jual karipap (epok-epok) inti oksigen, tetapi selepas dia lihat ramai yang beli dan borong, dia pun terkejut,” katanya sambil ketawa.







Cik Norhayu berkata apa yang lebih menggembirakan, epok-epok inti oksigen yang dicetuskannya turut membuka peluang perniagaan untuk orang lain, terutama suri rumah yang mahu mencari pendapatan sampingan.

“Saya gembira kerana dapat beri idea kepada orang lain untuk berniaga. Saya ikhlaskan untuk orang lain turut mencari rezeki dengan karipap inti oksigen kerana saya yakin rezeki setiap orang sudah ditentukan Allah.

“Paling tidak sangka, kakak saya adalah peniaga karipap berjaya, CikZai Karipap Panas di Kampung Bujang, Sungai Petani, Kedah. Mulanya suami beliau larang menjual karipap (epok-epok) inti oksigen ini, tetapi apabila melihat saya berjaya, suaminya beri izin dan Alhamdulillah jualannya turut meletup,” katanya.


Menurut Cik Norhayu yang berkelulusan Diploma Teknologi Maklumat, beliau memulakan perniagaan itu dengan wang simpanan yang ada tanpa membuat sebarang pinjaman bank.

“Saya mula berniaga karipap (epok-epok) selepas berhenti kerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Mulanya hasrat saya ini tidak mendapat sokongan keluarga kerana mereka bimbang masa depan saya.

“Namun saya bersyukur hari ini telah dapat buktikan pada mereka yang saya mampu berjaya walaupun bermula secara kecil-kecilan,” kongsinya.







Seorang pelanggan tetap, Cik Norazila Yahya, 35 tahun, berkata walaupun beliau ada membeli epok-epok berinti oksigen, beliau lebih menggemari epok-epok ayam dan sardin air tangan Cik Norhayu dan sudah menjadi pelanggan tetap sejak perniagaannya bermula di rumah.

“Saya selalu beli karipap sardin dan ayam selain cucur udang di sini kerana sangat sedap. Saya ini sudah jadi pelanggan tetap. Cuma saya jarang membeli yang tiada inti, lebih suka yang berinti,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >