Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

M’sia peruntuk belanjawan tertinggi RM393.8b bagi 2024

Oct 13, 2023 | 07:47 PM



Kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion ($113.9 bilion) untuk Belanjawan 2024, iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belanjawan bertemakan ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ menyediakan RM303.8 bilion bagi Belanja Mengurus, RM90 bilion bagi Belanja Pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.

“Penambahan ini menunjukkan Kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang walaupun pada masa sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di Kuala Lumpur, pada Jumaat petang.

Ia adalah belanjawan kedua dibentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar.

Datuk Anwar berkata bagi 2024, Kerajaan menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) antara empat dengan lima peratus.

Katanya, sekalipun diakui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus, dengan pembaharuan Ekonomi Madani yang bakal dilaksanakan, Kerajaan yakin dapat mencapai pertumbuhan menghampiri lima peratus.

“Kutipan hasil Kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion pada 2022 kepada RM307.6 bilion pada 2024.

“Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang (berbanding) sasaran lima peratus tahun ini dan 5.6 peratus pada tahun 2022.

“Dalam jangka sederhana, kita akan mencapai defisit fiskal 3 peratus atau lebih rendah kepada GDP sepertimana penanda aras ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Selaras usaha kerajaan meningkatkan pendapatan negara yang boleh memanfaatkan rakyat, pelaksanaan subsidi bersasar dan perluasan kutipan cukai antara yang diberi keutamaan dalam Belanjawan 2024.

Datuk Anwar berkata Belanjawan 2023 memperuntukkan RM64 bilion untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan, tetapi keperluan 2023 dijangka mencecah RM81 bilion.

Maka, mulai tahun depan, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa.

“Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing.

“Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion,” katanya.

Menurut Datuk Anwar, Malaysia antara negara yang merekodkan kutipan cukai terendah di Asean, yakni hanya 11.8 peratus kepada GDP, berbanding Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Justeru, sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil.

Oleh itu katanya, mulai tahun depan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

“Pertama, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus ketimbang enam peratus dan kedua, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

“Kerajaan juga akan menggubal perundangan baru bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >