SAN FRANCISCO: Syarikat Nvidia telah mengarahkan rakan pengilangannya supaya menghentikan penghantaran pelayan (server) yang mengandungi cip keluarannya ke negara Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, lapor Financial Times (FT) pada 26 November.

Langkah itu menyusuli sekatan baharu Amerika Syarikat yang berkuat kuasa minggu lalu, mewajibkan lesen eksport bagi penghantaran cip canggih ke beberapa negara Asia Tenggara – sebahagian usaha Washington menutup laluan yang dipercayai digunakan syarikat China untuk mendapatkan cip kecerdasan buatan (AI) canggih.

Menurut FT, rakan pengilangan seperti Dell dan Supermicro, yang memasang cip Nvidia ke dalam pelayan, memberitahu pembeli di empat negara Asia Tenggara tersebut bahawa Nvidia tidak akan membenarkan tempahan mereka dihantar.

Belum jelas sama ada penghentian penghantaran itu hanya sementara sedang Nvidia dan rakan pengilangannya berusaha mematuhi peraturan kawalan eksport baru Amerika, lapor FT, yang turut memetik tiga individu yang mengetahui perkara itu.

Nvidia, Dell dan Supermicro tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan di luar waktu pejabat biasa.

Jabatan Perdagangan Amerika mengumumkan peraturan baharu itu beberapa hari selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, meletak jawatan menyusuli laporan mengenai hubungan sulitnya dengan seorang yang disyaki perisik China, yang pernah bekerja di Megaspeed, syarikat pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura.

Lembaga pengarah Nvidia kemudian melantik semula Encik Huang sebagai CEO pada 23 November.

Megaspeed, rakan kongsi Nvidia yang menyewakan kuasa pengkomputeran di pusat datanya, kini menjadi perhatian berhubung kemungkinan penyaluran cip AI canggih secara haram ke China. – Agensi berita

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.