Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenahanan semula suspek pengganas cabar keberkesanan program pemulihan di Indonesia
Pakar keselamatan: Penyertaan program sukarela di penjara, kurang sumber, penerimaan masyarakat terhadap bekas banduan, antara rintangan utama
Penahanan semula suspek pengganas cabar keberkesanan program pemulihan di Indonesia
Penahanan bekas banduan kes pengganasan menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan program pemulihan fahaman radikal tajaan pemerintah dalam mengubah fahaman pelampau secara berkekalan.
Pasukan antipengganasan Indonesia, Densus 88 menahan 15 suspek, termasuk bekas banduan, dalam serbuan di seluruh negara yang menyasarkan rangkaian militan berkaitan kumpulan ISIS dalam operasi yang dijalankan dari 13 hingga 18 November.
Jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, mengesahkan penahanan bekas banduan itu tetapi tidak menyatakan jumlahnya.
Serbuan tersebut menyusuli penahanan 11 suspek pada Oktober di Jawa Barat, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Riau dan Maluku Utara.
Pakar risikan dan keselamatan, Universiti Indonesia, Dr Stanislaus Riyanta, berkata penahanan itu menunjukkan perubahan operasi ekstremis daripada kumpulan terancang kepada sel kecil yang menyasarkan individu terdekat, termasuk keluarga, atau bergerak bersendirian.
“Kumpulan besar dan terancang lebih mudah dikesan,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut Stanislaus, penahanan pesalah berulang menunjukkan kemunduran besar dalam usaha pemulihan, meskipun Indonesia di antara negara yang mencatat kadar pemulihan ekstremis tertinggi.
Ramai banduan menyertai program itu semata-mata untuk mendapat pembebasan bersyarat.
Pemulauan masyarakat serta kekurangan kakitangan dan dana agensi kebajikan sosial turut menyukarkan penyepaduan semula mereka kepada masyarakat.
Dr Stanislaus berkata penyertaan program ketika dipenjara adalah secara sukarela kerana tiada peraturan mewajibkannya.
“Program ini amat sukar dilaksanakan. Mereka yang berpegang teguh pada fahaman sendiri sanggup menjalani hukuman penuh dan berbangga menolak program tajaan pemerintah yang dianggap kafir,” katanya.
Densus 88 pada 18 November berkata 15 suspek, kebanyakannya berusia 40-an dan 50-an tahun, termasuk seorang berusia 66 tahun, ditahan di Aceh, Sumatera Barat, Riau, Jawa Barat, Jawa Tengah dan Nusa Tenggara Barat.
Mereka disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan dan gerakan Negara Islam Indonesia (NII), Jamaah Ansharut Daulah (JAD) serta Anshor Daulah (AD) yang berkaitan dengan ISIS.
Encik Mayndra berkata suspek berperanan menyebarkan propaganda melampau, menarik anggota baharu, mengumpul dana dan menganjurkan latihan yang boleh membawa kepada kegiatan pengganasan.
Kebanyakan penahanan berlaku di Jawa Tengah, membabitkan empat suspek di Sukoharjo pada 17 November dan Kabupaten Pekalongan pada 18 November.
Menurut Encik Mayndra, keempat-empatnya mempunyai kaitan dengan rangkaian Anshor Daulah di Surakarta.
Pada 17 November, Densus 88 menahan tiga suspek di Kabupaten Bireuen, Aceh Besar dan ibu kota wilayah itu, Banda Aceh.
Ini termasuk suspek tertua berusia 66 tahun daripada keseluruhan 15 suspek yang diberkas, manakala dua lagi berusia 50-an tahun
Densus 88 turut menahan tiga suspek masing-masing di dua tempat di Riau pada 13 November dan tiga lokasi di Jawa Barat pada 17 November, termasuk suspek termuda berusia 24 tahun di Jawa Barat.
Seorang suspek ditahan di Padang, ibu kota Sumatera Barat, pada 13 November, manakala seorang lagi di Bima, Nusa Tenggara Barat, pada 17 November.
Encik Mayndra berkata fahaman radikal dan propaganda kumpulan pengganas dipercayai tersebar melalui saluran digital, khususnya media sosial, dengan menyasarkan golongan mudah terpengaruh seperti kanak-kanak dan remaja.
“
“Program ini amat sukar dilaksanakan. Mereka yang berpegang teguh pada fahaman sendiri sanggup menjalani hukuman penuh dan berbangga menolak program (pemulihan) tajaan pemerintah yang dianggap kafir.”