Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perginya ‘bapa rahmah’ Malaysia

Jul 24, 2023 | 05:07 PM



Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61 tahun, akan sentiasa dikenang sebagai pencetus idea dan inisiatif murni membantu rakyat menangani isu kenaikan kos sara hidup menerusi pakej ‘Payung Rahmah’. 

Pelantikan beliau menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memberi fokus usaha menangani kos sara hidup rakyat ketika situasi inflasi dunia yang tinggi, nilai mata wang tidak stabil serta ekonomi dunia meruncing adalah satu tanggungjawab besar dan amanah berat buat beliau.

Tugas ini menuntut Datuk Salahuddin berusaha keras membasmi sebarang manipulasi harga dan kestabilan bekalan barang keperluan. 

Pengenalan pelbagai inisiatif termasuklah Menu Rahmah, Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Pakej Rahmah dan Kereta Rahmah di bawah pakej Payung Rahmah sedikit sebanyak membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Impak inisiatif rahmah ini bukan sahaja dinikmati komuniti pengguna, tetapi juga peniaga kecil, malah turut mendapat sokongan pemain industri makro seperti pengendali pasar raya Hypermarket Mydin, Giants, Aeon dan Lotus’s.

Menu Rahmah antara yang paling popular. Ia bukan sahaja dijayakan oleh peniaga kecil, malah turut mendapat sokongan industri makanan seperti restoran segera Burger King, McDonald’s; Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut untuk menyediakan makanan mampu milik buat rakyat terbanyak.

Semua pemain industri makanan ini bersama-sama menjayakan agenda kerajaan yang diperkenalkan Datuk Salahuddin walaupun pada peringkat awalnya diperlekehkan pihak tertentu.

Jualan Rahmah pula berjaya membantu golongan sasar meringankan beban belanja dapur, manakala Bakul Rahmah mensasarkan bantuan barang keperluan buat keluarga kurang berkemampuan.

Kafe Rahmah pastinya memberi kelegaan kepada anak muda baru bekerja dan pelajar universiti untuk mengurangkan kos belanja harian, manakala keluarga kurang berkemampuan pula, yang selama ini hanya bergantung kepada motosikal, kini mampu memiliki kenderaan Perodua Axia yang lebih selamat dan mampu milik menerusi inisiatif Kereta Rahmah.

Begitulah bagaimana bermulanya Datuk Salahuddin diberi jolokan ‘bapa rahmah’ Malaysia.

Dilahirkan pada 1 Disember 1961, di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor, tidak ramai tahu Datuk Salahuddin berketurunan peranakan Melayu-Cina. 

Isterinya, Datin Seri Fatimah Taha, dinikahi pada 1985 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan enam cahaya mata.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Pontian termasuk mengikuti pendidikan agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor sebelum mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (kini dikenali sebagai Universiti Tunku Abdul Rahman) dan meneruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia  di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Datuk Salahuddin mula menceburi bidang politik pada 1983 dengan menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebelum keluar dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) di Markas Pas Bakri dan Delegasi di Hotel Trader Muar pada 2015.

Komitmen tinggi dalam parti membolehkan beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden Amanah dan Naib Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, anak jati Tanjung Piai itu diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian selepas PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan.

Selepas PRU15 pada 2023, Datuk Salahuddin dilantik sebagai Menteri KPDN.

Selaras dengan pakej inisiatif Payung Rahmah, Datuk Salahuddin menunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah, turun padang saban hari ke seluruh pelosok negara untuk mendapatkan gambaran sebenar di lapangan, demi memastikan kesejahteraan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan terbela dengan inisiatif yang dilaksanakan.

Di kalangan sahabat, rakan setugas dalam parti mahupun kementerian dan masyarakat umum, beliau amat dikenali sebagai insan yang berjiwa murni, sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan amat peramah serta mudah didekati.

Ternyata, rahmah tidak hanya pada inisiatif membantu rakyat yang diperkenalkan beliau, tetapi juga tertanam dalam jiwa dan hatinya yang tulus bekerja untuk rakyat.

Sebagaimana yang diimpikan ketika hayatnya mahu meninggalkan dunia ketika bekerja, pada Ahad 9.23 malam, Datuk Salahuddin menghembuskan nafas terakhir di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, selepas menjalani pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak. 

Beliau berada di negeri utara menghadiri beberapa program kementerian di sana.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri anak perempuannya melalui media sosial sebelum disahkan KPDN menerusi kenyataan rasmi.

Jenazah Datuk Salahuddin dibawa pulang ke kampung halamannya di Pontian, Johor, dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) pada awal Isnin pagi.

Beliau kemudian dibawa pulang ke kediaman ibunya di Serkat, Pontian, Johor, untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, sahabat handai, masyarakat setempat dan kenalan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat, Pontian.

Pemergian Allahyarham diratapi kawan dan lawan, membuktikan ketulusan dan keikhlasan hati beliau dalam menabur khidmat bakti kepada rakyat dan negara.

Semoga roh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah swt, diterima pengakhirannya sebagai Husnul Khatimah, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >