Ribuan himpun di Minneapolis dan seluruh AS untuk bantah Kastam AS
Ribuan himpun di Minneapolis dan seluruh AS untuk bantah Kastam AS
MINNEAPOLIS: Ribuan penunjuk perasaan, termasuk pelajar dan pekerja, berhimpun di beberapa tempat di Amerika Syarikat sejak 30 Januari bagi menuntut pengunduran pegawai Kastam Amerika Syarikat (Ice).
Ketegangan semakin memuncak kebelakangan ini susulan kes tembakan maut melibatkan dua warga Amerika, dikaitkan dengan dasar pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Pelajar dan guru meninggalkan kelas dari California hingga New York sempena bantahan peringkat negara itu, ketika pentadbiran Encik Trump menyampaikan mesej bercampur-baur mengenai kemungkinan pengurangan Operasi Metro Surge.
Operasi Metro Surge, iaitu operasi penguatkuasaan imigresen berskala besar di bandar-bandar utama Amerika Syarikat, melibatkan penambahan kehadiran pegawai persekutuan di kawasan Minneapolis.
Di bawah tindakan keras imigresen peringkat negara, pentadbiran Encik Trump menghantar 3,000 pegawai persekutuan ke Minneapolis, dengan kehadiran berkelengkapan taktikal yang dianggarkan lima kali ganda kekuatan Jabatan Polis Minneapolis.
Membantah peningkatan operasi itu serta taktik yang digunakan Ice, ribuan orang termasuk keluarga dengan anak kecil, pasangan warga emas dan aktivis muda berhimpun di pusat bandar Minneapolis dalam suhu bawah sifar.
Kira-kira 50 guru dan kakitangan sekolah tempatan menyertai perarakan di Minneapolis, berhampiran tempat Alex Pretti dan Renee Good ditembak mati oleh Ice.
Penyanyi rok, Bruce Springsteen, turut menyuarakan sokongan dengan membuat penampilan di majlis kutipan dana untuk Good dan Pretti di pusat bandar Minneapolis.
Dengan gitar bertera slogan “Arrest the President”, beliau mempersembahkan lagu baru, “Streets of Minneapolis”, yang ditulis sebagai reaksi terhadap kematian itu.
‘Tiada kerja. Tiada sekolah. Tiada membeli-belah. Hentikan pembiayaan ICE’, demikian slogan di laman web penganjur, nationalshutdown.org, yang menyenaraikan 250 kawasan bantahan pada 30 Januari di 46 negeri serta di bandar utama seperti New York, Los Angeles, Chicago dan Washington.
Di Aurora, Colorado, sekolah awam ditutup pada Jumaat kerana ramai guru dan pelajar dijangka tidak hadir.
Pinggir bandar Denver itu menyaksikan peningkatan tahap serbuan imigresen tahun lalu (2025) susulan dakwaan Encik Trump kawasan berkenaan sebagai “zon perang” yang dikuasai geng Venezuela.
Di Tucson, Arizona, sekurang-kurangnya 20 sekolah membatalkan kelas susulan jangkaan ketiadaan ramai pelajar dan kakitangan, manakala mogok dirancang di 90 sekolah menengah di Georgia.
Di kampus Universiti DePaul di Chicago, penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan mesej seperti “kampus perlindungan” dan “fasis tidak dialu-alukan di sini”.
Pelajar sekolah menengah, membawa sepanduk anti-Ice, turut mengadakan mogok di Long Beach, California.
Di New York, perarakan panjang pelajar sekolah menengah menuju pusat bandar Brooklyn sambil memegang sepanduk bertema anti-Ice.
Sementara itu, tindak balas terhadap dasar imigresen pentadbiran berkenaan mengancam mencetuskan penutupan sebahagian pemerintah Amerika Syarikat apabila Demokrat di Kongres menentang pembiayaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang menyelia Ice.
Demokrat di Senat dan Encik Trump mencapai persetujuan pada 29 Januari untuk meluluskan pakej perbelanjaan lebih luas, sementara rundingan mengenai had tindakan keras imigresen diteruskan.
Namun, perjanjian itu dijangka gagal pada 30 Januari susulan bantahan sebahagian ahli Kongres terhadap butiran yang dipersetujui.- REUTERS

