WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pada 20 Oktober beliau akan memberi ganjaran kepada pemberi maklumat yang membongkar penipuan dalam program pemerintah Amerika.

Beliau melancarkan inisiatif itu dengan mengumumkan hadiah wang tunai kepada seorang pempengaruh dalam talian berhaluan konservatif.

Bercakap di Pejabat Oval, Rumah Putih, Encik Trump berkata Program Insentif Pemberi Maklumat Penipuan yang baharu itu akan menawarkan komisen 1 peratus tanpa had kepada individu yang melaporkan kes penipuan.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman memberikan penjelasan berbeza, dengan menyatakan bahawa ganjaran antara AS$10,000 ($12,800) dengan AS$30,000 akan diberikan bagi maklumat yang membawa kepada pertuduhan jenayah.

Jabatan itu berkata Jabatan Perbendaharaan memperuntukkan AS$25 juta bagi program tersebut, manakala Jabatan Kehakiman akan memberikan ganjaran mengikut “budi bicara mutlaknya”.

Penerima pertama ialah Encik Nick Shirley.

Pegawai kanan pentadbiran Encik Trump menyebarkan video tular ‘YouTuber’ berusia 24 tahun itu.

Ia sekali gus menjadikan dakwaan penipuan di beberapa pusat jagaan kanak-kanak Minnesota sebagai asas rancangan memotong sebahagian dana persekutuan kepada negeri berkenaan.

Jabatan Kanak-Kanak, Belia dan Keluarga Minnesota mempertikaikan beberapa dakwaan itu sebagai mengelirukan dan diperbesar-besarkan.

Namun, seorang wanita di Minneapolis yang pusat jagaan kanak-kanaknya dipaparkan dalam video Encik Shirley kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan.

“Sebelum ini, tiada insentif untuk sesiapa pun mendedahkan penipuan,” kata Encik Shirley di Rumah Putih. “Dengan mendedahkan insiden ini, anda membantu menyelamatkan Amerika.”

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, yang mengetuai pasukan petugas antipenipuan Presiden, berkata Encik Shirley telah “melakukan lebih banyak usaha untuk membongkar penipuan berbanding mana-mana wartawan warga (citizen journalist) yang saya temui baru-baru ini” dan “Nick akan menerima ganjaran kewangan atas usahanya itu”.

Wartawan warga ialah individu yang melaporkan berita tanpa menjadi wartawan profesional.

Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu beberapa saluran media bahawa Encik Shirley akan menerima AS$10,000.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana Encik Shirley dipilih untuk menerima ganjaran tersebut.

Rumah Putih, Jabatan Kehakiman dan Jabatan Perbendaharaan tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenainya melalui e-mel, manakala Encik Shirley juga gagal dihubungi.

“Saya akan membuat keputusan mengenai siapakah yang menerima bayaran di bawah program ini,” kata Encik Trump. “Saya akan bermurah hati, percayalah. Kami tidak berniat berjimat cermat dalam hal ini.”

Presiden Amerika daripada Parti Republikan itu menjadikan dakwaan penipuan di negeri-negeri pimpinan Parti Demokrat sebagai tumpuan pentadbirannya dan berikrar membanteras rasuah.

Beliau khususnya menyasarkan pendatang Somalia di Minnesota yang pernah digelarnya sebagai “sampah”. – Agensi berita.