WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memuji Amerika sempena ulang tahunnya yang ke-250 pada 4 Julai.

Dalam ucapan yang tertangguh beberapa jam selepas ribut memaksa pemindahan sementara orang ramai di Washington, Encik Trump mendakwa bahawa di bawah kepimpinannya, rakyat Amerika Syarikat kini “lebih berbangga daripada sebelumnya”.

Encik Trump sebelum ini menjanjikan perhimpunan politik besar-besaran bagi menyerlahkan identitinya dalam sambutan kebangsaan itu. Namun ahli Parti Republikan berusia 80 tahun itu berpegang pada skrip patriotik yang lebih tradisional.

“Selama dua setengah abad, republik Amerika kita kekal sebagai pencapaian kemuncak dalam sejarah manusia,” kata Encik Trump kepada puluhan ribu hadirin di National Mall.

Di pentas itu, beliau turut memberi penghormatan kepada veteran Perang Dunia Kedua, Perang Korea dan Perang Vietnam.

Namun, beliau kemudian memuji dua peperangan terakhir itu sebagai contoh perjuangan menentang “Komunis”, mengulangi mesej yang disampaikannya dalam ucapan pada malam 3 Julai di monumen ikonik Mount Rushmore.

“Para pejuang kita tidak berperang menentang Komunisme di medan perang di seluruh dunia hanya untuk menyaksikan ancaman itu muncul semula di Amerika. Kita tidak akan membiarkannya berlaku,” katanya.

Encik Trump sejak kebelakangan ini berulang kali menekankan tema itu menjelang pilihan raya separuh penggal Amerika pada November, selepas golongan kiri yang mencabar pihak berkuasa dalam Parti Demokrat memenangi beberapa pilihan raya awal.

Merujuk kepada sayap kiri Parti Demokrat, beliau berkata, "Ia seperti barah, ia mesti dibuang."

Pemimpin Amerika itu turut menggunakan ucapannya untuk memuji kempen ketenteraan terbaru terhadap Iran dan Venezuela, sambil mendakwa Washington telah “memusnahkan” kekuatan tentera Teheran.

Namun, ucapan itu singkat - sekitar 45 minit - dibandingkan dengna kebiasaan Encik Trump.

“Kami sayang Trump, kami suka ucapannya,” kata Encik Richard Sullivan, 70 tahun, dari Virginia, yang hadir bersama isterinya, Nancy, yang berbaju-T Freedom 250.

“Beliau mengimbas sejarah agung negara kita dan memberikan penghormatan kepada para veteran yang hadir di sini. Beliau membuatkan kami bangga menjadi rakyat Amerika.”

Pertunjukan bunga api besar-besaran bermula selepas ucapan itu. Encik Trump berkata pertunjukan tersebut akan dirakamkan sebagai yang terbesar di dunia.

Rakyat Amerika mengharungi gelombang haba di bandar di seluruh timur negara itu untuk meraikan ulang tahun Perisytiharan Kemerdekaan daripada Britain pada 1776.

Suhu di ibu negara meningkat ke paras rekod 39.4 darjah Celsius, suhu tertinggi pernah tercatat pada 4 Julai, dengan 160 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran cuaca melampau, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika (NWS).

Sementara itu, cuaca buruk menyebabkan pertunjukan bunga api di New York diawalkan serta orang ramai dipindahkan dari sebuah konsert di Philadelphia dan sambutan di Sungai Charles di Boston.