MANILA: Perjanjian perdagangan dua hala antara Kesatuan Eropah (EU) dengan negara Asia Tenggara boleh membuka jalan kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) Asean-EU, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong pada 22 September.

EU dan Filipina mengumumkan bahawa mereka telah memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas mereka pada hari sama, menambah rangkaian perjanjian dua hala EU dengan negara Asean.

“Perjanjian-perjanjian ini saling melengkapi. Rundingan dua hala antara EU dengan setiap negara juga akan membuka jalan kepada kesepaduan yang lebih kukuh di peringkat Asean,” kata Encik Gan.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Singapura, berkata demikian di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Manila.

EU mempunyai FTA dengan Singapura dan Vietnam, manakala perjanjian dengan Indonesia dimuktamadkan pada 2025. Rundingan dengan Thailand dan Malaysia sedang berlangsung.

Encik Gan berkata rundingan dua hala membantu Asean dan EU memahami keperluan dan cabaran masing-masing sebelum mencapai perjanjian serantau.

“FTA mungkin matlamat jangka panjang, tetapi kita boleh menggunakan pendekatan berperingkat,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak boleh mengutamakan bidang yang mampu mencapai kemajuan lebih cepat.

Perniagaan Eropah turut menggesa Asean dan EU mewujudkan rangka kerja ekonomi antara rantau pada 2027, sempena 50 tahun hubungan kedua-duanya.

Majlis Perniagaan EU-Asean mencadangkan rangka kerja berperingkat bagi mempererat hubungan ekonomi tanpa perlu menunggu keseluruhan FTA dimuktamadkan.

Tinjauannya mendapati 74 peratus perniagaan Eropah percaya FTA seluruh Asean lebih bermanfaat berbanding perjanjian dua hala, manakala 49 peratus mahu rundingannya dilancarkan pada 2027.

“Perjanjian dua hala bukanlah titik terakhir, tetapi asas kepada matlamat jangka panjang untuk mewujudkan FTA antara kedua-dua rantau,” kata Pengerusi Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Encik Jens Ruebbert.

Majlis itu mencadangkan perjanjian perdagangan digital sebagai keutamaan, diikuti perlindungan pelaburan dan perjanjian sektor lain.

Encik Gan turut menyifatkan ekonomi digital sebagai bidang yang membolehkan ASEAN dan EU bergerak lebih pantas.

Kedua-dua pihak sedang membincangkan prinsip perdagangan digital dan berharap dapat menyelesaikan rundingan pada 2027 sebelum meneroka kerjasama selanjutnya, kata Encik Gan.

Antara kemungkinannya ialah pembayaran digital lebih lancar menerusi sistem pelbagai hala yang menghubungkan negara kepada rangkaian lebih luas.

Asean turut memperkukuh kesepaduan ekonomi serantau ketika ekonomi dunia menghadapi cabaran akibat krisis Timur Tengah.

Encik Gan berkata keputusan menteri ekonomi mempercepat pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean mencerminkan keperluan mendesak dalam kalangan negara anggota.

Perjanjian yang dipertingkat itu bertujuan mengurangkan halangan dan memudahkan perdagangan dalam Asean. Pelaksanaannya, yang dijadualkan pada 2027, kini mahu dipercepatkan oleh menteri ekonomi kepada penghujung 2026.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan Asean mampu terus memperkukuh kesepaduannya meskipun dunia semakin tidak menentu dan berpecah-belah.

Beliau menambah bahawa pelaksanaan lebih awal itu mencerminkan kesepakatan negara anggota untuk memastikan perjanjian perdagangan tersebut memberi manfaat kepada perniagaan secepat mungkin.

Asean juga bersedia melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa), yang dijangka ditandatangani pemimpin Asean pada November.

Encik Gan mahu DEFA kekal sebagai “dokumen bernyawa” yang terus berkembang seiring perubahan pesat teknologi.

Beliau menambah bahawa projek itu mungkin meliputi pembayaran digital rentas negara, penambahbaikan wadah dalam talian Asean Single Window untuk memudahkan urusan dokumen perdagangan serta sistem pendaftaran berpusat bagi mengenal pasti setiap perniagaan di seluruh Asean.

Encik Gan berkata Asean juga sedang merintis rangka kerja ekonomi hijau dan Singapura berharap rundingannya dapat dimulakan pada 2027 apabila negara itu mengambil alih jawatan pengerusi Asean daripada Filipina.

Rangka kerja itu boleh meliputi tenaga boleh diperbaharui, pasaran karbon serta produk dan proses pengeluaran lebih mesra alam, katanya.

“Kami berharap dapat meneruskan pencapaian Filipina tahun ini dan terus melakar kemajuan,” kata Encik Gan.