Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eksport S’pura naik 4.8% pada 2025 berlatar tarif AS

Namun kadar pertumbuhan Dis perlahan
Jan 16, 2026 | 1:46 PM
Walaupun berdepan tarif Amerika Syarikat, pertumbuhan eksport utama pada 2025 mengatasi anggaran rasmi sekitar 2.5 peratus.
Walaupun berdepan tarif Amerika Syarikat, pertumbuhan eksport utama pada 2025 mengatasi anggaran rasmi sekitar 2.5 peratus. - Foto ST

Meskipun berhadapan dengan tarif Amerika Syarikat, eksport utama Singapura berkembang lebih pantas daripada jangkaan rasmi pada 2025.

Bagaimanapun, kadar pertumbuhan menjadi perlahan pada Disember 2025.

Eksport domestik bukan minyak (Nodx) meningkat 4.8 peratus pada 2025, mengatasi ramalan rasmi sekitar 2.5 peratus.

Demikian menurut angka yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 16 Januari.

Agensi perdagangan itu sebelum ini meramalkan pada November pertumbuhan eksport utama akan merosot kepada 0 hingga 2 peratus pada 2026, apabila kesan tarif mula dirasai dan kegiatan pesanan atau pembelian awal iaitu front-loading semakin berkurangan.

Ia merujuk pada kegiatan apabila syarikat mempercepat import atau eksport sebelum tarif atau sekatan baru dikuatkuasakan.

Pada Disember 2025, Nodx meningkat 6.1 peratus, lebih rendah daripada ramalan 10.1 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.

Kadar itu juga lebih rendah berbanding kenaikan 11.5 peratus pada November dan lonjakan 21.1 peratus pada Oktober.

Nodx elektronik berkembang 24.9 peratus pada Disember 2025 berbanding setahun sebelumnya, meneruskan kenaikan 12.9 peratus pada November tahun itu.

Eksport litar bersepadu meningkat 32.1 peratus; produk media cakera naik 53.5 peratus; manakala peralatan telekomunikasi melonjak 81.4 peratus; menjadikannya penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport elektronik.

Nodx bukan elektronik meningkat 0.8 peratus pada Disember, selepas berkembang 11.1 peratus pada November.

Pertumbuhan itu dipacu oleh emas bukan kewangan, iaitu emas yang diperdagangkan sebagai komoditi dan bukan simpanan bank pusat, yang melonjak 73.3 peratus.

Jentera khusus naik 5.4 peratus manakala peralatan pengendalian mekanikal meningkat 415.8 peratus.

Dari segi destinasi, Nodx ke China, Taiwan dan Malaysia mencatat pertumbuhan pada Disember, manakala penghantaran ke Amerika, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Eropah turun.

Penghantaran ke China meningkat 17.9 peratus pada Disember, dipacu oleh eksport lebih tinggi bagi jentera khusus, peralatan pengukuran dan peralatan mesin mengeluarkan logam.

Penghantaran ke Amerika pula susut 36.3 peratus, berbalik daripada kenaikan 106 peratus pada November.

Ketua Pakar Ekonomi Asean di syarikat khidmat kewangan, Nomura, Encik Euben Paracuelles, berkata pertumbuhan eksport pada Disember 2025 mereda menyusuli pengeluaran farmaseutikal yang kembali normal selepas lonjakan pada November, manakala eksport elektronik kekal kukuh.

Menurutnya, keadaan itu menyokong ramalan ekonomi Singapura akan berkembang 3.7 peratus pada 2026, melebihi julat ramalan Singapura iaitu 1 hingga 3 peratus serta purata ramalan penganalisis 2.5 peratus.

Pertumbuhan dijangka dipacu oleh sektor perkilangan berteras eksport, yang terus meraih manfaat daripada pemulihan sektor teknologi dan peluasan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut menjangkakan khidmat pemunggahan barangan dan penukaran haluan kekal kukuh, memandangkan Singapura berdepan tarif Amerika yang lebih rendah berbanding kebanyakan negara serantau.

Akibatnya, ekonomi Singapura mungkin berkembang melebihi tahap potensinya, kata beliau, sekali gus meningkatkan tekanan harga asas dan mengekalkan kewaspadaan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) terhadap risiko inflasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg