SYDNEY (Australia): Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Optus, Encik Stephen Rue, tidak berhasrat meletak jawatan susulan gangguan panggilan kecemasan yang mengorbankan nyawa pada September, sewaktu kepimpinannya dan syarikat telekomunikasi itu menjadi sasaran kritikan dalam Parlimen Australia.
“Saya yakin ini bukanlah waktu yang sesuai untuk menukar kepimpinan, kerana Optus dan para pelanggannya tidak memerlukan perubahan sedemikian pada masa ini,” kata Encik Rue dalam kenyataan pembukaannya kepada siasatan Senat mengenai kegagalan rangkaian di Canberra pada 3 November.
“Gangguan dan ketidaktentuan seperti itu boleh menjejas usaha pembaharuan Optus dan menimbulkan lebih banyak risiko,” tambahnya.
Optus, yang dimiliki sepenuhnya oleh Singtel, bergolak sejak naik taraf rangkaiannya gagal sehingga menghalang pelanggan daripada menghubungi perkhidmatan kecemasan dan menyebabkan beberapa kematian.
Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), syarikat itu yang merupakan penyedia telekomunikasi kedua terbesar di Australia, diberi amaran ia berkemungkinan berdepan penalti kewangan besar akibat kesalahan tersebut.
Nama baik syarikat telekomunikasi itu tercemar selepas kegagalan rangkaian terkini.
Belum genap dua tahun sejak kejadian dahulu menjejas jutaan pelanggan Optus, termasuk beberapa pemanggil ke talian kecemasan, peristiwa serupa kini berulang.
Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cik Kelly Bayer Rosmarin, meletakkan jawatan hanya seminggu selepas menghadiri siasatan Parlimen yang serupa, dketika beliau berulang kali ditanya sama ada beliau mempertimbangkan kedudukannya.
Encik Rue kemudian dilantik khas untuk memulihkan Optus selepas gangguan besar pada 2023.
Ketika dihujani soalan oleh para senator, beliau turut mempertahankan keputusannya untuk memaklumkan Singtel mengenai gangguan pada September sebelum memaklumkan pemerintah Australia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg