Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenaikan tuntutan perubatan dijangka desak majikan kurangi perlindungan

Oct 22, 2025 | 2:22 PM
Kajian Mercer Marsh Benefits (MMB) mendapati tekanan kewangan terhadap pelan kesihatan tajaan majikan semakin meningkat akibat inflasi dan rawatan yang kian mahal.
Kajian Mercer Marsh Benefits (MMB) mendapati tekanan kewangan terhadap pelan kesihatan tajaan majikan semakin meningkat akibat inflasi dan rawatan yang kian mahal. - Foto BT

Kenaikan dua angka dalam kadar trend perubatan dijangka menimbulkan tekanan ke atas majikan agar mengurangkan perlindungan insurans pekerja buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, menurut kajian global oleh Mercer Marsh Benefits (MMB).

Kadar trend perubatan menunjukkan peningkatan tahunan dalam kos tuntutan faedah kesihatan setiap individu.

Laporan Trend Kesihatan 2026 yang dikeluarkan MMB mendapati kadar trend melebihi 10 peratus di kebanyakan rantau buat tahun keenam berturut-turut, didorong oleh inflasi, peningkatan penggunaan perkhidmatan dan perubahan dalam campuran rawatan.

Kajian itu, melibatkan 268 syarikat insurans di 67 pasaran, dijalankan pada Jun dan Julai.

Secara global, kadar trend perubatan dijangka meningkat purata 11.1 peratus pada 2026, manakala di Asia ia lebih tinggi pada 12.5 peratus.

Di Singapura, kadar itu dijangka kekal 14 peratus, sama seperti 2025, lapor The Business Times (BT).

Ketua global MMB dan Presiden Kesihatan Mercer, Encik Herve Balzano, berkata syarikat insurans kini menjangka majikan mula mengurangkan perlindungan bagi mengurus kos.

“Langkah ini mungkin meringankan belanjawan jangka pendek majikan, tetapi boleh menjejas keselamatan kewangan pekerja dan keupayaan syarikat menarik serta mengekalkan bakat,” jelasnya.

Ketua penasihat global MMB, Cik Amy Laverock, menambah bahawa dengan dua pertiga pasaran berdepan kadar dua angka bagi trend perubatan, pertubuhan perlu mengimbang antara pengurusan kos dengan kesejahteraan pekerja.

Pelaburan dalam penjagaan pencegahan dan rawatan bermutu boleh membantu mengawal kos.

Tekanan kewangan terhadap pelan kesihatan tajaan majikan semakin meningkat akibat inflasi dan kos rawatan yang semakin mahal.

Barah, penyakit sistem peredaran darah, dan masalah sistem rangka otot kekal sebagai punca utama tuntutan berdasarkan jumlah perbelanjaan.

Tinjauan itu mendapati, pertubuhan khuatir tentang daya tahan jangka panjang pelan insurans mereka, dengan ramai terpaksa membuat pemotongan faedah yang akhirnya memindahkan kos kepada pekerja.

Ia juga mendapati semakin ramai pekerja mencapai had seumur hidup pelan kesihatan mereka.

Sebanyak 39 peratus syarikat insurans global melaporkan peningkatan ahli yang mencapai had tuntutan maksimum dalam tempoh lima tahun terakhir, berbanding 37 peratus di Asia.

MMB melaporkan bahawa pengecualian khas bagi individu tertentu boleh menimbulkan risiko kewangan tidak seimbang dan menetapkan amalan yang sukar dikekalkan.

Di Asia, kebimbangan utama firma insurans termasuk penuntut kos tinggi (87 peratus), ketidakcekapan dan pembaziran (85 peratus), serta penuaan penduduk (77 peratus).

Lebih dua pertiga syarikat insurans merancang melaksanakan program bagi membantu ahli mengurus penyakit kronik sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan proaktif.

Sementara itu, Laporan Kadar Trend Perubatan Global 2026 di bawah firma penasihat insurans Aon menjangka kos pelan perubatan pekerja meningkat 11.3 peratus di Asia-Pasifik, dengan kadar purata global dijangka berada pada 9.8 peratus.

Di Singapura, kadar itu dijangka menjadi sederhana pada 13 peratus pada 2026, berbanding dengan 14 peratus pada 2025.

Menurut Ketua Modal Insan Aon bagi Asia-Pasifik, Encik Tim Dwyer, kadar trend perubatan dua angka di rantau ini mencerminkan ketahanan permintaan terhadap penjagaan kesihatan serta keperluan syarikat insurans untuk kembali mencatat keuntungan bagi mengekalkan perlindungan mampan.

Beliau menambah bahawa cabaran dan peluang bagi majikan terletak pada peralihan daripada kawalan kos bersifat reaktif kepada strategi kesihatan proaktif.

“Sedang majikan di seluruh rantau ini mengharungi transformasi tenaga kerja, membina program faedah pekerja yang berdaya tahan dan mampan akan menjadi sangat penting dalam mengurus kesejahteraan tenaga kerja mereka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg