Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lapangan Terbang Changi ke-4 paling sibuk di dunia pada 2025

Jan 16, 2026 | 3:12 PM
Lapangan Terbang Changi, keempat paling sibuk pada 2025, data platform data perjalanan sedunia OAG,
Menurut laporan syarikat antarabangsa yang menyediakan data dan analisis industri penerbangan, OAG, Lapangan Terbang Changi mencatat 42.6 juta jumlah kapasiti tempat duduk bagi 2025, iaitu peningkatan 3 peratus berbanding 2024. - Foto ZAOBAO

Lapangan Terbang Changi merupakan lapangan terbang antarabangsa keempat paling sibuk pada 2025.

Demkian menurut laporan Lapangan Terbang Tersibuk Dunia 2025 oleh platform data perjalanan sedunia, OAG, yang dikeluarkan pada 15 Januari.

Lapangan Terbang Changi mencatat 42.6 juta jumlah kapasiti tempat duduk bagi 2025, meningkat 3 peratus berbanding 2024.

Kapasiti tempat duduk berkaitan dengan jumlah penumpang yang menggunakan atau melalui lapangan terbang.

Menurut laporan tersebut, peningkatan itu mengembalikan kapasiti Lapangan Terbang Changi ke paras sebelum Covid-19 pada 2019. 

Kedudukan tersebut berdasarkan kapasiti berjadual dan jumlah tempat duduk bagi laluan penerbangan antarabangsa.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mengekalkan kedudukan teratas pada 2025 sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia, menandakan tahun ketiga berturut-turut ia berada di tempat pertama.

Jumlah kapasiti tempat duduk lapangan terbang itu bagi 2025 meningkat 4 peratus kepada 62.4 juta, melepasi paras 2019 sebanyak 16 peratus. 

Yang ketara, ia mengatasi lapangan terbang antarabangsa kedua paling sibuk dengan jurang sebanyak 13.5 juta tempat duduk.

Di tempat kedua ialah Lapangan Terbang Heathrow di London, yang mencatat peningkatan 1 peratus kepada 49 juta tempat duduk, iaitu 4 peratus lebih tinggi berbanding paras 2019.

Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul mengekalkan kedudukan ketiga dengan 43 juta tempat duduk, naik 3 peratus berbanding 2024 dan 2 peratus berbanding 2019.

Walaupun Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang terbesar dalam kalangan 10 lapangan terbang antarabangsa paling sibuk, jumlah kapasiti tempat duduknya masih 14 peratus di bawah paras 2019. 

Kapasiti tempat duduk lapangan terbang itu meningkat 12 peratus dari tahun ke tahun kepada 38.7 juta pada 2025, meletakkannya di kedudukan kelapan.

Lapangan Terbang Istanbul, yang disenaraikan sebagai lapangan terbang antarabangsa keenam paling sibuk, mencatat pertumbuhan paling ketara berbanding paras 2019. 

Jumlah kapasiti tempat duduknya melonjak 27 peratus daripada 2019 kepada 41.2 juta pada 2025, menandakan kemunculannya sebagai hab dunia utama, ujar OAG. 

Angka itu juga merupakan peningkatan 7 peratus berbanding 2024.

Pada 2025, senarai 10 lapangan terbang antarabangsa tersibuk ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dengan 62.4 juta tempat duduk; diikuti Lapangan Terbang Heathrow di London (49 juta); Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul (43 juta); Lapangan Terbang Changi di Singapura (42.6 juta); Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam (41.3 juta); Lapangan Terbang Istanbul (41.2 juta); Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris (39.6 juta); Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (38.7 juta); Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt (36.4 juta); dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha (32.7 juta).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg