Pengeluaran kilang Dis naik 8.3%, pertumbuhan bulan keempat berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengeluaran kilang Dis naik 8.3%, pertumbuhan bulan keempat berturut-turut

Jan 26, 2026 | 6:27 PM

Pengeluaran kilang Dis naik 8.3%, pertumbuhan bulan keempat berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengeluaran kilang, Sektor elektronik, EDB
Sektor elektronik utama yang merangkumi lebih satu pertiga pengeluaran kilang Singapura mencatat lonjakan sebanyak 30.8 peratus. - Foto ST

Pengeluaran kilang Singapura pada Disember menutup tahun 2025 dengan mencatat pertumbuhan buat bulan keempat berturut-turut, dipacu oleh sektor elektronik dan kejuruteraan pengangkutan.

Jumlah pengeluaran kilang meningkat 8.3 peratus berbanding bulan yang sama pada 2024, lebih rendah berbanding 14.3 peratus pada November, menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) yang dikeluarkan pada 26 Januari.

Angka itu bagaimanapun masih melebihi unjuran 7.5 peratus oleh penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.

Pengeluaran kilang meningkat 16 peratus jika pengeluaran daripada sektor bioperubatan yang tidak menentu dikecualikan.

Sektor elektronik utama, yang menyumbang lebih satu pertiga daripada pengeluaran kilang Singapura, mencatat lonjakan pengeluaran sebanyak 30.8 peratus.

Pertumbuhan itu diterajui oleh segmen semikonduktor yang berkembang 32.4 peratus, disokong oleh permintaan berterusan dan kukuh terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Segmen modul dan komponen elektronik lain, serta segmen infokomunikasi dan elektronik pengguna, masing-masing mencatat pertumbuhan 25.5 peratus dan 20.5 peratus.

Sebaliknya, segmen alat pelengkap komputer dan penyimpanan data menguncup 5.4 peratus.

Secara keseluruhan, sektor elektronik berkembang 12.7 peratus pada 2025 berbanding 2024.

Pengeluaran sektor kejuruteraan pengangkutan meningkat 19.9 peratus, dengan peningkatan pengeluaran alat ganti pesawat serta kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) daripada syarikat penerbangan komersial mendorong pertumbuhan segmen aeroangkasa sebanyak 35.9 peratus.

Segmen marin dan luar pesisir turut berkembang 8.5 peratus berikutan peningkatan kerja pada pelantar minyak dan platform luar pesisir.

Bagi keseluruhan 2025, sektor ini berkembang 18.7 peratus.

Sektor kejuruteraan jitu mencatat peningkatan pengeluaran sebanyak 3.4 peratus.

Segmen modul dan komponen ketepatan berkembang 15.4 peratus berikutan pengeluaran yang lebih tinggi bagi penyambung elektronik, peralatan optik, komponen plastik berketepatan tinggi, serta kabel dan wayar kuasa elektrik yang lebih tinggi.

Walaupun terdapat peningkatan pengeluaran bagi beberapa unsur tertentu, pengeluaran sektor pembuatan am kekal tidak berubah pada Disember.

Segmen makanan, minuman dan tembakau berkembang 6.3 peratus, berikutan peningkatan pengeluaran pekatan minuman dan susu tepung.

Sebaliknya, segmen percetakan serta industri pelbagai mencatat penurunan masing-masing sebanyak 2.5 peratus dan 7.5 peratus. Secara keseluruhan, sektor ini menguncup 7.8 peratus pada 2025.

Sektor kimia pula mencatat penurunan pengeluaran sebanyak 1.6 peratus, disebabkan penguncupan 23.2 peratus dalam segmen petrokimia akibat permintaan lemah dan penutupan loji bagi penyelenggaraan.

Namun, segmen bahan kimia khas dan petroleum masing-masing berkembang 3.9 peratus dan 2.5 peratus. Bagi keseluruhan tahun 2025, sektor kimia berkembang 0.2 peratus.

Pengeluaran kilang bioperubatan merosot 38.8 peratus, sebahagian besarnya disebabkan penguncupan 69.7 peratus dalam segmen farmaseutikal akibat perbezaan campuran bahan farmaseutikal aktif yang dihasilkan.

Sebaliknya, permintaan kukuh terhadap peranti perubatan mendorong pertumbuhan 4.4 peratus dalam segmen teknologi perubatan.

Secara keseluruhan, sektor ini berkembang 16.3 peratus pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg