Mulai 2 Julai 2026, Oman Air akan mengendalikan penerbangan langsung dari Singapura ke Muscat, ibu kota Oman, sebanyak empat kali seminggu, dari Khamis hingga Ahad.
Perjalanan ini mengambil masa kurang lapan jam, dengan tiket ulang alik bagi jadual perjalanan seminggu bermula $650 pada kadar ekonomi ‘super saver’ yang paling menjimatkan, berdasarkan maklumat di laman web syarikat penerbangan itu.
Tiket boleh didapatkan melalui laman web dan aplikasi Oman Air, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Laluan ini akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737 Max, yang mempunyai 12 tempat duduk kelas perniagaan atau kelas pertama, serta 150 tempat duduk kelas ekonomi, menurut laman tersebut.
Sebelum ini, tiada penerbangan langsung dari Lapangan Terbang Changi ke lapangan terbang antarabangsa Muscat atau Lapangan Terbang Antarabangsa Salalah, yang merupakan lapangan terbang antarabangsa kedua Oman.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Oman Air, Encik Con Korfiatis, berkata laluan baru ini dibina atas rangkaian syarikat penerbangan itu yang semakin berkembang, sambil memperkukuh hubungan antara kededua negara.
Perkhidmatan ini, tambah beliau, meluaskan pilihan bagi pengembara santai dan perniagaan, sejajar dengan lonjakan permintaan untuk penginapan istimewa dan pengalaman kembara berkualiti tinggi.
Berbeza dengan negara jiran Teluk lain yang padat dengan bangunan pencakar langit, Oman mengutamakan seni bina bangunan rendah demi memelihara identiti budayanya.
Bangunan tertinggi di negara itu ialah Hotel Sheraton Oman di Muscat – setinggi 53 meter.
Sebagai perbandingan, bangunan tertinggi di Singapura, Guoco Tower, adalah setinggi 64 tingkat, iaitu lebih lima kali ganda lebih tinggi.
Selain seni bina dan pasar tradisional (souq), Oman menawarkan kepelbagaian landskap, daripada padang pasir yang luas hingga pergunungan yang menjulang serta kawasan persisiran pantai yang indah.
Aktiviti menyelam skuba berhampiran Muscat juga amat digemari di kalangan pelancong.
Naib presiden eksekutif pembangunan hab udara dan kargo di Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), Encik Lim Ching Kiat, berkata perkhidmatan ini akan memperkenalkan satu “hubungan bandar yang menarik” kepada rangkaian keterhubungan CAG.
Ketika ini, sekitar 100 syarikat penerbangan mengendalikan 7,000 penerbangan berjadual setiap minggu dari Changi, menghubungkan Singapura ke lebih 160 bandar sedunia.
CAG menyasarkan untuk menyediakan laluan kepada lebih 200 bandar menjelang pertengahan 2030-an apabila Terminal 5 siap nanti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg