Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertumbuhan eksport utama S’pura dijangka susut ke 0%–2% pada 2026 akibat tarif AS

Nov 21, 2025 | 4:36 PM
Eksport domestik bukan minyak (Nodx) dijangka berkembang sekitar 2.5 peratus pada 2025, turun daripada ramalan sebelumnya iaitu 1 hingga 3 peratus.
Eksport domestik bukan minyak (Nodx) dijangka berkembang sekitar 2.5 peratus pada 2025, turun daripada ramalan sebelumnya iaitu 1 hingga 3 peratus. - Foto ST

Pertumbuhan eksport utama Singapura dijangka susut kepada 0 hingga 2 peratus pada 2026 apabila kesan tarif mula dirasai dan aktiviti pembelian awal atau ‘front-loading’ berkurangan, menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 21 November.

Menurut The Straits Times (ST), agensi perdagangan itu turut menurunkan ramalan 2025 bagi pertumbuhan eksport domestik bukan minyak (Nodx) kepada sekitar 2.5 peratus, berbanding ramalan sebelumnya iaitu 1 hingga 3 peratus.

Dalam semakan suku tahunannya terhadap prestasi perdagangan, EnterpriseSG menyatakan bahawa Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) menjangkakan pertumbuhan perdagangan sedunia susut kepada 0.5 peratus pada 2026, berbanding 2.4 peratus pada 2025.

“Kelembapan ini mencerminkan kesan tarif yang mula terserlah serta pengurangan dalam aktiviti pembelian awal.

“Risiko kemerosotan termasuk kemungkinan peningkatan semula tindakan tarif serta tarif khusus sektor yang boleh meningkatkan ketidaktentuan ekonomi sedunia dan menekan permintaan,” tambahnya.

Pada suku ketiga, eksport utama Singapura susut 3.3 peratus berbanding setahun lalu, selepas mencatat peningkatan 7 peratus pada suku kedua.

Penghantaran bukan elektronik menguncup manakala elektronik berkembang pada kadar yang lebih perlahan.

Eksport produk elektronik meningkat 7.1 peratus berbanding tahun lalu.

Komputer peribadi melonjak 69.5 peratus, litar bersepadu meningkat 9.2 peratus manakala pemacu cakera naik 16.5 peratus.

Penghantaran bukan elektronik pula merosot 6.5 peratus pada suku ketiga, diseret oleh penyediaan makanan (-39.4 peratus), petrokimia (-21.2 peratus) dan farmaseutikal (-9.3 peratus).

Eksport utama ke Amerika Syarikat merosot 30.7 peratus, manakala eksport ke Indonesia jatuh 29.3 peratus. Nodx ke China susut 8.3 peratus.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengumumkan pada 21 November ramalan pertumbuhan hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura bagi 2025 telah dinaikkan daripada “1.5 peratus hingga 2.5 peratus” kepada “sekitar 4.0 peratus”.

Kenaikan ini kebanyakannya didorong oleh prestasi ekonomi Singapura pada suku ketiga 2025 yang lebih baik daripada jangkaan. Namun, pertumbuhan dijangka perlahan kepada antara 1 peratus hingga 3 peratus pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg