Satu daya usaha yang dikendalikan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) telah berjaya menempatkan 70 pekerja tempatan dalam peranan di luar negara dalam tempoh enam bulan selepas ia dilancarkan pada November 2024 – lebih suku sasaran dua tahunnya.
Program Penyerapan Pasaran Luar Negara (Omip) yang bernilai $16 juta itu menyasarkan penempatan 250 pekerja tempatan dalam tempoh dua tahun.
Buat masa ini, peserta program terdiri daripada kakitangan daripada 60 syarikat.
“Ia telah mendapat sambutan yang baik,” kata Pengarah Perdagangan dan Gaya Hidup WSG, Encik Kenneth Wong.
“Daripada segi perkembangan, kami sedang melakukan kemajuan yang baik.”
Program itu membantu syarikat menghantar pekerja yang kurang atau tiada pengalaman langsung bekerja di luar negara untuk penempatan selama sekurang-kurangnya enam bulan, dengan pembiayaan hingga sembilan bulan.
Syarikat perlu mengemukakan pelan latihan pekerjaan luar negara yang berstruktur serta peta hala tuju pembangunan kerjaya selama 24 hingga 36 bulan bagi memastikan penempatan tersebut memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan kerjaya pekerja, lapor The Business Times (BT).
Menurut Encik Wong, profil syarikat yang menyertai program itu “agak pelbagai”, dengan peserta datang daripada sektor perdagangan borong, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkilangan serta kewangan.
Dalam kebanyakan kes, pekerja kekal bersama syarikat mereka yang berpangkalan di Singapura, yang mungkin mempunyai pejabat atau cawangan di luar negara.
Syarikat, termasuk usaha sama, layak menyertai program itu sekiranya ia mempunyai kehadiran atau rakan kongsi di luar negara.
Buat masa ini, sekitar separuh penempatan adalah di negara Asean, manakala pasaran lain termasuk China dan Switzerland.
Pekerja yang menyertai program itu terdiri daripada kumpulan karyawan yang seimbang dari segi umur – daripada mereka yang berusia lewat 20-an tahun hingga pekerja pertengahan kerjaya dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an tahun, termasuk segelintir yang berusia 50-an tahun, tambah Encik Wong.
Mengulas sebab syarikat berminat menyertai skim tersebut, Encik Wong berkata:
“Ini adalah cara yang baik bagi mereka memberikan pendedahan sejagat kepada bakat yang ingin mereka kembangkan.
“Program ini direka untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak: Syarikat dapat melaksanakan rancangan peluasan atau transformasi, sementara pekerja pula memperoleh kemahiran dan kemajuan kerjaya. Ia juga membantu mengekalkan bakat.”
Kedua-dua syarikat berbilang negara serta syarikat kecil dan sederhana (SME) telah menyertai skim itu.
Sony Electronics Singapore memanfaatkan skim Omip pada Mac untuk menempatkan pengurus, Encik Thomas Sim, 45 tahun, di cawangan syarikat itu di Sri Lanka sebagai ketua negara selama dua tahun.
Peranannya termasuk penyelidikan, perisikan pasaran dan memahami tingkah laku pengguna serta pesaing.
Tugas itu memerlukan kehadiran fizikal, menurut pengurus kanan sumber manusia (HR) Sony, Cik Shirley Chia.
Penempatan itu sebahagian daripada pelan kerjaya yang lebih luas untuk memberi Encik Sim pengalaman kepimpinan dan meningkatkan profil kerjaya bagi peluang masa depan di Singapura atau luar negara, tambah Cik Chia.
Menurut Encik Sim, selepas program penempatan itu tamat, beliau berharap dapat menyandang peranan kepimpinan serantau atau sejagat, sambil memberi inspirasi kepada pekerja lain untuk mempertimbangkan penempatan luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg