KUALA LUMPUR: Sunway Group akan mengambil peranan lebih aktif dalam pasaran hartanah Singapura selepas pengambilalihan MCL Land milik Hongkong Land, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di republik ini.
Timbalan Pengerusi Eksekutif, Cik Sarena Cheah, berkata konglomerat itu sebelum ini mengambil pendekatan lebih pasif dengan bekerjasama bersama pemaju tempatan seperti Hoi Hup dan Sing Holdings.
“Selepas pengambilalihan ini, kami akan terus mengemukakan tawaran tender tanah – sama seperti sebelum ini.
“Perbezaan kali ini adalah kami akan lebih aktif dan menerajui pasaran,” katanya kepada The Business Times (BT).
Cik Cheah menjelaskan kebanyakan pembangunan di Singapura dilaksanakan melalui usaha sama kerana skala projek yang besar, dan pendekatan itu akan diteruskan.
“Kerjasama ini menguntungkan kerana kami dapat saling belajar dan mengambil lebih banyak projek,” tambahnya.
Kumpulan itu kini giat membida tanah baru di Singapura.
Pada Julai lalu, Sunway Developments dan Sing Holdings mengemukakan bidaan tertinggi sebanyak $703.6 juta atau $1,376 setiap kaki persegi bagi setiap nisbah plot (psf ppr) bagi tapak di Chuan Grove, diikuti satu lagi plot berdekatan pada September bernilai $623.91 juta atau $1,331 psf ppr.
Kedua-dua tapak akan digabungkan untuk membangunkan projek 1,055 unit dalam lima blok setinggi 27 tingkat.
Sunway dan Hoi Hup turut mengemukakan tawaran tertinggi $668.3 juta pada bulan yang sama untuk tapak pembangunan bercampur di Tampines Street 94.
Langkah itu melengkapkan pembelian MCL Land bernilai $738.7 juta, menjadikan jumlah pelaburan lebih $1.2 bilion sejak Julai 2025.
Selepas urus janji selesai, operasi di Singapura akan dikenali sebagai Sunway MCL.
Kumpulan Malaysia itu kini memiliki semua anak syarikat dan projek MCL, termasuk tanah pembangunan di Wangsa Maju dan Forest Heights di Seremban, serta Wangsa Walk Mall.
Menurut kenyataan rasmi pada 31 Oktober, Sunway MCL mempunyai sembilan projek yang sedang dijalankan dengan kira-kira 4,937 unit kediaman dan nilai pembangunan kasar sebanyak $4.5 bilion.
Ia berkata Sunway MCL akan terus memasarkan dan menyiapkan semua pembangunan sedia ada di Singapura, termasuk Elta, Nava Grove, Tembusu Grand dan The Continuum, di bawah nama Sunway MCL.
Langkah itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran perumahan negara itu.
Mengenai hala tuju masa depan, Cik Cheah berkata Sunway akan menumpukan pada projek kediaman tetapi terbuka kepada pembangunan baru seperti kediaman warga emas, dengan memanfaatkan kepakaran mereka sebagai “pemaju masyarakat utama”.
Beliau menegaskan kumpulan itu akan kekal fleksibel dan membida projek yang sejajar dengan matlamat strategik serta kewangan.
Pasaran perumahan Singapura kekal kukuh, dengan 7,924 unit baru terjual dalam sembilan bulan pertama 2025.
Jumlah itu melebihi 6,626 unit yang dijual sepanjang 2024.
Jumlah jualan sembilan bulan itu juga mengatasi jualan sepanjang 2022 (7,099 unit) dan 2023 (6,421 unit).
Permintaan pembelian rumah di Singapura telah meningkat dengan kukuh, disokong oleh kadar faedah rendah dan ekonomi yang berdaya tahan, walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan dan ketegangan geopolitik yang berterusan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg