Pakaian Raya lelaki jenama S’pura titik berat keselesaan
Pakaian Raya lelaki jenama S’pura titik berat keselesaan
Minimalist Studio SG, Kurta Boys sesuaikan potongan baju dengan gaya hidup moden, cuaca panas
Menyambut Lebaran dengan gaya tersendiri sambil memakai busana yang menarik dan eksklusif bukan hanya buat kaum Hawa sahaja.
Kaum Adam turut mahu tampil segak dan tampan menggayakan pakaian pilihan pada pagi Aidilfitri.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa pilihan dan variasi pakaian Raya lelaki tidak sebanyak berbanding wanita, fesyen kaum Adam melalui evolusi tersendiri seiring dengan peredaran zaman.
Terdapat beberapa jenama tempatan yang memberi tumpuan pada menjual pakaian lelaki sambil menghasilkan koleksi unik demi memenuhi cita rasa pelanggan.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), pemilik Minimalist Studio SG, Encik Hairul Nizam Ramle, berkata rekaannya pada 2026 menitikberatkan aspek keselesaan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelanggan.
“Ramai pelanggan lelaki kami mahu potongan baju Melayu yang selesa untuk dipakai sepanjang hari memandangkan cuaca di Singapura agak panas.
“Selain maklum balas daripada pelanggan, saya turut melihat ramai saudara lelaki saya kurang selesa memakai baju Melayu dengan leher cekak musang yang mempunyai kolar berbutang agak tinggi.
“Mereka sering berpeluh di bahagian leher dan kadangkala sewaktu bergambar, ada yang terlupa untuk membutang semula baju mereka,” kongsinya yang mempunyai reruai di Bazar Geylang Serai pada Ramadan ini.
Justeru, Encik Hairul telah menghasilkan koleksi baju Melayu yang dinamakan Angkasa 2026 ($80) dengan leher ‘potongan V’ yang tidak mempunyai kolar atau butang.
Ia diperbuat daripada fabrik campuran poliester dan kapas yang tidak mudah ronyok dan sesuai dipakai bagi cuaca di Singapura.
Walaupun rekaan itu sesuatu yang baru dan berbeza, beliau berharap ia dapat menyelesaikan isu yang dihadapi segelintir pemakai.
“Saya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk bekerjasama dengan pembekal di Jakarta, Indonesia demi memastikan baju itu bermutu tinggi dan pelanggan tidak mudah berpeluh apabila memakainya,” jelasnya yang turut mengetengahkan rekaan serupa bagi kanak-kanak lelaki.
Koleksi yang menampilkan rekaan moden itu tersedia dalam lima warna berbeza dan mempunyai hingga saiz 3XL.
Turut bersetuju mengenai aspek keselesaan ialah pengurus besar Kurta Boys, Sheikh Omar Saleh.
“Kami melihat ramai pelanggan memilih potongan baju lebih longgar berbanding potongan baju slim fit (potongan ikut bentuk badan) disebabkan cuaca Singapura yang panas,” jelasnya.
Kurta Boys kini menawarkan koleksi Oversize Sets (daripada $84.90) yang menampilkan potongan lebih longgar dan besar.
Ia seiring dengan trend fesyen anak muda masa kini yang menggemarkan gaya oversize.
Menurut Sheikh Omar, memastikan adanya kepelbagaian turut menjadi aspek penting bagi jenamanya untuk menarik minat pelanggan.
“Bermula dengan hanya menjual kurta yang diberi nama, Kurta Komando pada 2017, kami telah berkembang dengan menawarkan pelbagai siluet berbeza.
“Kini kami mempunyai baju batik, baju kemeja, baju Melayu tradisional, set baju monokromatik, kurta dengan lengan tiga suku dan kain samping,” ceritanya.
Koleksi lelakinya pada 2026 diberi nama,10 Tahun Bersama, dan meraikan tema persahabatan atau brotherhood.
Jenama itu turut mula menawarkan koleksi sedondon bagi seisi keluarga dengan rekaan bagi kaum Hawa dan kanak-kanak.
Bagi 2026, ia menghasilkan koleksi dengan tema, Sedondon Bersama, yang mempunyai 12 corak berbeza.
Menurut Encik Hairul, pelanggan lelaki turut memikirkan jika sesuatu pakaian yang dibeli boleh dipakai semula selepas Raya.
“Mereka sering memilih rekaan yang boleh dipakai ke masjid untuk solat Jumaat atau untuk menghadiri acara lain seperti kenduri.
“Koleksi Samudera Raya yang dihasilkan tahun lepas (2025) dan Kurta Kemeja saya masih mendapat sambutan memberangsangkan pada 2026 kerana corak batik yang digunakan tidak lapuk dek zaman.
“Potongan bajunya juga moden dan boleh dipakai sebagai pakaian harian,” tambah Encik Hairul yang memulakan perniagaannya pada 2018 dengan menjual seluar batik.
Kededua Encik Hairul dan Sheikh Omar berpendapat kaum Adam kini lebih berani untuk meluahkan diri melalui fesyen tidak kira jika mereka memilih siluet yang tradisional atau moden.

