Trend baju sedondon pikat hati seisi keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend baju sedondon pikat hati seisi keluarga

Koleksi sempena perayaan boleh digayakan sepanjang tahun 
Feb 3, 2026 | 5:30 AM

Trend baju sedondon pikat hati seisi keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Desleen Yeo, YeoMama Batik, pakaian sendondon, family matching sets
Cik Desleen Yeo (barisan belakang, lima dari kiri) bersama anggota keluarganya memakai koleksi pakaian sedondon rekaan YeoMama Batik. - Foto YEOMAMA BATIK

Kalau bercakap mengenai pakaian sedondon, ramai orang akan memikirkan tentang Hari Raya apabila kebanyakan keluarga yang menyambutnya memilih untuk memakai baju kurung dengan warna atau corak yang sama.

Namun, trend pakaian sedondon telah berkembang dengan banyak jenama fesyen menghasilkan pakaian sedondon untuk seisi keluarga yang sesuai dipakai tidak kira bagi menghadiri majlis formal atau dalam suasana santai.

Selain popular dalam masyarakat Melayu sewaktu Hari Raya, pakaian sedondon kini turut mendapat sambutan meluas dalam masyarakat Cina dengan adanya koleksi khas untuk sambutan Tahun Baru Cina. 

Menurut pemilik YeoMama Batik, Cik Desleen Yeo, 35 tahun, koleksi yang dikeluarkan semasa Tahun Baru Cina mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada para pelanggannya. 

“Tahun Baru Cina merupakan masa di mana seluruh keluarga mahu memakai busana istimewa untuk kelihatan cantik dan bergaya. 

“Dengan menawarkan pelbagai siluet berbeza untuk kaum wanita, lelaki, kanak-kanak dan juga warga emas, kami dapat menyatukan rasa keakraban keluarga semasa musim perayaan dengan pakaian sedondon,” kongsinya dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom.

Beliau memulakan perniagaan itu pada 2018 selepas mendapat dorongan keluarga dan kini mempunyai dua cawangan di Oxley Bizhub dan Raffles City. 

Kemeja lengan pendek dengan kolar Mandarin ($128) bagi kaum Adam dan ‘Cheongsam Jumpsuit’ ($268) bagi kaum Hawa dalam corak batik ‘Rainbow Wings’ oleh YeoMama Batik.
Kemeja lengan pendek dengan kolar Mandarin ($128) bagi kaum Adam dan ‘Cheongsam Jumpsuit’ ($268) bagi kaum Hawa dalam corak batik ‘Rainbow Wings’ oleh YeoMama Batik. - Foto YEOMAMA BATIK

Walaupun ramai keluarga datang untuk mencari pakaian khas sempena Tahun Baru Cina, Cik Yeo berkata beliau cuba menawarkan pelbagai siluet berbeza supaya pakaian sedondon itu masih boleh dipakai untuk ke pejabat, bersantai dengan keluarga atau menghadiri acara lain.

“Bagi 2026, saya menghasilkan lebih banyak pilihan set baju dan skirt atau seluar untuk kaum wanita supaya ia boleh dipadankan dengan pakaian harian lain.

“Kami turut menawarkan lebih pilihan bagi kanak-kanak daripada bayi hingga usia 10 tahun,” ceritanya. 

Ditanya mengenai pemilihan motif batik yang sesuai untuk seisi keluarga, Cik Yeo berkata ramai keluarga kini terbuka untuk mengayakan warna terang dengan corak unik. 

“Pada mulanya, saya memikirkan kaum lelaki tidak mahu memakai warna terang dan akan memilih sesuatu lebih tradisional.

“Ternyata saya silap kerana mereka tertarik kepada warna seperti merah jambu, jingga dan kuning cerah.  

“Saya rasa semua warna dan motif batik boleh dipakai oleh setiap anggota keluarga tidak mengira usia atau jantina,” ujar Cik Yeo, yang ibunya berketurunan Cina Indonesia.

Jenamanya menawarkan saiz sehingga UK20 bagi kaum Hawa dan 5XL bagi kaum Adam dengan rekaan dengan motif burung phoenix sering laris terjual.

Selain YeoMama Batik, jenama tempatan lain yang dikenali dengan pakaian sedondon untuk seisi keluarga ialah Anglia yang terletak di Joo Chiat Complex. 

Rekaan ‘Marine’ dengan corak berwarna biru gelap dan putih antara koleksi Raya yang ditawarkan Anglia bagi Aidilfitri 2026.
Rekaan ‘Marine’ dengan corak berwarna biru gelap dan putih antara koleksi Raya yang ditawarkan Anglia bagi Aidilfitri 2026. - Foto INSTAGRAM ANGLIA

Jenama yang dimulakan pada 1990-an itu tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu. 

Anglia masih menghasilkan rekaan baru yang menepati cita rasa pelanggannya dan dikongsikan menerusi media sosial. 

Pakaian yang dihasilkan mereka terdiri daripada jubah, blaus, kemeja dan kurta dalam corak sedondon. 

Di seberang Tambak pula, jenama Umbi yang mempunyai cawangan di Johor Bahru dan Setia Alam, Selangor turut menjadi pilihan popular untuk mencari pakaian sedondon bagi seisi keluarga. 

Corak yang unik dengan warna terang membuat pakaian sedondon yang dihasilkannya berbeza dan menarik perhatian para pelanggan.  

Pada 2026, jenama itu melancarkan koleksi Tahun Baru Cina yang diberi nama The Hua Collection, selain tiga koleksi khas buat Hari Raya Puasa yang bakal menjelang. 

‘The Hua Collection’ oleh jenama Umbi dari Malaysia menampilkan koleksi Tahun Baru Cina dengan sentuhan klasik dan mengekalkan unsur tradisional Cina pada busana sedondonnya. Harga bermula daripada $36 hingga $96.
‘The Hua Collection’ oleh jenama Umbi dari Malaysia menampilkan koleksi Tahun Baru Cina dengan sentuhan klasik dan mengekalkan unsur tradisional Cina pada busana sedondonnya. Harga bermula daripada $36 hingga $96. - Foto INSTAGRAM UMBI

The Hua Collection menampilkan rekaan dengan sentuhan klasik seperti ceongsam dengan kain berlisu bagi kaum Hawa dan kemeja lengan pendek dengan kolar Mandarin bagi kaum Adam. 

Walaupun rekaannya lebih tradisional, ia tetap versatil dan masih boleh dipakai untuk menghadiri pelbagai acara berbeza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg