Baju kurung pengaruh Cina, warna strawberi ‘matcha’ antara trend Raya 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baju kurung pengaruh Cina, warna strawberi ‘matcha’ antara trend Raya 2026

Walaupun ada pelbagai inovasi, siluet klasik dan versatil tetap jadi pilihan ramai 
Feb 24, 2026 | 5:30 AM

Baju kurung pengaruh Cina, warna strawberi ‘matcha’ antara trend Raya 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bayu somerset, putrisalat, trend baju raya
Baju kurung dengan butang katak Cina dalam warna strawberi ‘matcha’ oleh Bayu Somerset (kiri) antara trend baju Raya bagi 2026 manakala baju kebarung (kanan) antara siluet klasik yang kekal menjadi pilihan ramai. - Foto BAYU SOMERSET, NUR PUTRI MOHAMMAD FAIZAL

Sejak awal 2026, banyak jenama fesyen telah mula mengeluarkan koleksi Hari Raya mereka. 

Daripada potongan baju klasik hingga yang menerapkan ciri moden, terdapat pelbagai pilihan untuk memenuhi cita rasa para pelanggan. 

Berita Harian (BH) menyenaraikan antara rekaan baju Raya yang mendapat perhatian pada 2026. 

Baju kurung dengan rekaan ciri Cina 

Mandarin Kurung Gui Peach (daripada $59) yang menampilkan ciri butang katak Cina dan kolar Mandarin pada baju kurung Melayu menjadi antara trend popular bagi Raya 2026.
Mandarin Kurung Gui Peach (daripada $59) yang menampilkan ciri butang katak Cina dan kolar Mandarin pada baju kurung Melayu menjadi antara trend popular bagi Raya 2026. - Foto BAYU SOMERSET

Antara rekaan yang menarik perhatian pada 2026 merupakan rekaan baju kurung yang menerapkan ciri pakaian tradisional Cina seperti kolar Mandarin dan butang katak Cina.  

Menurut pempengaruh fesyen tempatan, Cik Nur Putri Mohammad Faizal, atau lebih dikenali sebagai @putrisalat di media sosial, idea itu mungkin tercetus disebabkan sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Puasa yang agak dekat. 

“Pada 2026, saya mula melihat lebih banyak rekaan yang menggabungkan kededua budaya Melayu dan Cina sambil mengekalkan nilai kesopanan. 

“Bagi saya, ia melambangkan budaya berbilang kaum yang ada dalam masyarakat kita,” kongsinya yang mempunyai 12,200 pengikut di wadah TikTok. 

Antara jenama yang mengikut trend tersebut ialah Bayu Somerset yang dikenali dengan baju kurung bercorak menarik.  

Menurut ketua pemasaran, Cik Dania Kamalul, jenama itu telah mengambil kesempatan untuk mengeluarkan koleksi Tahun Baru Cina sempena kempen Rayanya. 

“Setiap tahun, kami akan mengeluarkan koleksi khas bagi setiap perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali. 

“Namun, bagi 2026, kami mengeluarkan koleksi Tahun Baru Cina serentak dengan kempen #SomerSyokRaya’26.

“Alhamdulillah, sambutannya amat memberangsangkan,” cerita Cik Dania yang ditemui BH di cawangan Bayu Somerset di Elmina Lakeside Mall, Selangor, Malaysia. 

Kebaya diminati golongan muda

Antara potongan baju yang popular dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) ialah kebaya tradisional. 

Menurut Cik Putri, golongan muda kini menghargai potongan baju yang dapat membangkitkan rasa nostalgia. 

“Mungkin pada masa lalu, siluet tradisional ini sinonim dengan golongan lebih berusia. 

“Yang menariknya, golongan muda kini menggayakan kebaya dengan interpretasi mereka sendiri, membuat pakaian itu kelihatan lebih ‘trendy’. 

“Ia bukti bahawa warisan kebaya itu dapat dikekalkan namun berubah dengan peredaran zaman,” jelasnya.  

Ratna Kebaya Janggan ($59.90) dengan sulaman bunga merupakan antara koleksi terkini oleh Rosita by Rosita Hussin sempena Aidilfitri.
Ratna Kebaya Janggan ($59.90) dengan sulaman bunga merupakan antara koleksi terkini oleh Rosita by Rosita Hussin sempena Aidilfitri. - Foto ROSITA BY ROSITA HUSSIN

Permintaan bagi potongan baju lebih tradisional dan elegan turut membuat pemilik jenama Rosita by Rosita Hussin, Cik Rosita Hussin, menawarkan koleksi Kebaya Sulam Cik Nom ($99), Ratna Kebaya Janggan ($59.90) dan Bunga Kebaya ($39.90). 

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, ramai pelanggan mementingkan mutu kerja yang terperinci seperti elemen sulaman pada baju yang dibeli,” tambah Cik Rosita yang kedainya terletak di City Plaza, Geylang Road. 

Warna strawberi ‘matcha’ 

Dynasty Kebaya Green (dari $59) mengambil inspirasi daripada tema warna strawberi ‘matcha’ iaitu gabungan warna merah jambu dan hijau yang tular di media sosial.
Dynasty Kebaya Green (dari $59) mengambil inspirasi daripada tema warna strawberi ‘matcha’ iaitu gabungan warna merah jambu dan hijau yang tular di media sosial. - Foto BAYU SOMERSET

Turut mendapat perhatian di media sosial merupakan pakaian dengan tema strawberi ‘matcha’ iaitu gabungan warna merah jambu dan hijau. 

Walaupun ia mungkin dianggap satu trend, kededua warna itu sebenarnya warna pelengkap atau ‘complementary colours’ dalam roda warna lantas menjadi satu gabungan yang sesuai. 

Selain warna tular itu, Cik Rosita berpendapat warna tanah seperti sage (hijau kelabu), burgundy (merah gelap) dan coklat menjadi antara pilihan popular.

Koleksi terhad, pilihan mewah 

Lebih banyak jenama turut memberi tumpuan pada koleksi yang dikeluarkan dalam bilangan yang terhad demi mementingkan kualiti pakaian yang dijual. 

“Bagi Raya 2026, saya memilih untuk menghasilkan koleksi dalam bilangan yang kecil kerana ia membuat pakaian yang dijual lebih menarik dan istimewa bagi para pelanggan. 

“Saya turut menghasilkan koleksi batik seperti Dinda Batik Sutera Kurung Set ($75) dan Sarina Batik Sutera Kurung ($75) yang eksklusif namun tetap selesa untuk dipakai sepanjang hari,” kongsi Cik Rosita. 

Sarina Batik Sutera Kurung ($75) merupakan antara koleksi yang dikeluarkan secara terhad oleh jenama Rosita by Rosita Hussin kerana inginkan sesuatu yang bermutu tinggi dan eksklusif bagi pelanggannya.
Sarina Batik Sutera Kurung ($75) merupakan antara koleksi yang dikeluarkan secara terhad oleh jenama Rosita by Rosita Hussin kerana inginkan sesuatu yang bermutu tinggi dan eksklusif bagi pelanggannya. - Foto ROSITA BY ROSITA HUSSIN

Jenama Bayu Somerset turut memilih untuk menghasilkan koleksi mewah menggabungkan kain premium dan rekaan unik buat kali pertama.  

“Kami melihat adanya pelanggan yang sanggup membelanjakan lebih bagi pakaian Hari Raya mereka.

“Justeru, koleksi Lux Edition menampilkan tujuh rekaan berbeza yang mempunyai elemen sulam dan manik,” cerita Cik Dania. 

Siluet klasik kekal popular 

Walaupun terdapat pelbagai inovasi menarik yang digabungkan pada baju Raya, siluet klasik yang tidak lapuk dek zaman merupakan antara pilihan yang masih mendapat perhatian ramai pembeli. 

Menurut Cik Putri, potongan kebarung dan baju kurung A-line yang dianggap seimbang merupakan siluet yang sesuai digayakan oleh semua wanita tidak kira usia.  

“Saya turut menyukai kebarung kerana ia elegan namun mengenalkan ciri tradisional. 

“Jika ia dijahit dengan sempurna dan diperbuat daripada fabrik yang bermutu tinggi, ia pasti akan kelihatan cantik pada si pemakainya,” jelasnya. 

Panduan semasa beli baju Raya 

Kededua Cik Rosita dan Cik Putri menitikberatkan aspek keselesaan apabila memilih pakaian semasa Aidilfitri. 

“Memandangkan kegiatan kunjung-mengunjung boleh mengambil masa yang lama, pilih fabrik yang selesa seperti kain kapas yang sesuai bagi cuaca panas di Singapura,” ujar Cik Rosita.  

Beliau yang telah melancarkan koleksi Rayanya sejak pertengahan Januari turut melihat lebih ramai pelanggannya memikirkan aspek versatil dan membuat perbelanjaan lebih bijak apabila membeli baju Raya. 

“Kebanyakan baju kebaya yang saya tawarkan boleh dipadankan dengan skirt atau kain batik yang telah dimiliki para pelanggan saya. 

“Ini memberi mereka peluang untuk memadankan pakaian itu bagi menghadiri pelbagai acara selepas Syawal,” tambah Cik Rosita.  

Cik Putri turut menggalak para pembeli agar memikirkan mengenai nilai kelestarian sesuatu pakaian selain impak visual yang menawan. 

“Golongan muda tidak harus rasa tertekan untuk mengikut trend tetapi memilih rekaan yang menonjolkan personaliti mereka. 

“Sejujurnya, saya rasa baju kurung yang dibeli untuk Raya boleh digunakan sebagai pakaian harian. 

“Pakaian tradisional Melayu merupakan pakaian yang praktikal dan ia tidak seharusnya dikhaskan buat Hari Raya sahaja,” tambahnya.

Pempengaruh fesyen tempatan, Cik Nur Putri Mohammad Faizal, atau lebih dikenali sebagai @putrisalat di TikTok menyarankan agar para pembeli memilih pakaian yang menonjolkan personaliti mereka yang sebenar dan tidak perlu rasa tertekan untuk mengikut trend semasa.
Pempengaruh fesyen tempatan, Cik Nur Putri Mohammad Faizal, atau lebih dikenali sebagai @putrisalat di TikTok menyarankan agar para pembeli memilih pakaian yang menonjolkan personaliti mereka yang sebenar dan tidak perlu rasa tertekan untuk mengikut trend semasa. - Foto ihsan NUR PUTRI MOHAMMAD FAIZAL
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg