MFA: S’pura kesal atas kegagalan rundingan damai
Singapura “kesal atas kegagalan rundingan” yang membawa kepada serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran serta serangan balas oleh Teheran terhadap beberapa negara di Teluk, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu, 28 Februari.
Negara yang terkesan termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
“Singapura menggesa semua pihak kembali berunding bagi mencapai penyelesaian aman selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata MFA.
Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, sekaligus mencetuskan konflik baru di Timur Tengah.
Presiden Amerika Encik Donald Trump berkata tindakan itu bertujuan menamatkan ancaman keselamatan terhadap Amerika serta memberi peluang kepada rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintah mereka.
Serangan tersebut meningkatkan kebimbangan di negara-negara Arab Teluk yang mengeluarkan minyak, dengan risiko ketegangan serantau semakin memuncak.
Israel berkata Tehran membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa negara lain di rantau itu.
Kedutaan Singapura di Timur Tengah menasihatkan rakyat Singapura supaya kekal berada di dalam bangunan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu sehingga diberitahu kelak.
“Setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang terkorban atau cedera di Israel, Iran dan rantau Timur Tengah,” kata MFA.
Rakyat Singapura turut dinasihatkan menangguhkan semua perjalanan ke Israel, Iran dan rantau tersebut berikutan keadaan tidak menentu serta gangguan penerbangan.
Pengembara disaran mempertimbangkan laluan lain yang tidak melalui kawasan terjejas, dan membeli insurans perjalanan yang lengkap.
MFA turut menggesa rakyat Singapura di rantau itu supaya berwaspada, berlindung apabila diberi amaran, memantau berita dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan.
Mereka digalakkan mendaftar melalui sistem eRegister supaya dapat dihubungi jika perlu.
Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi perwakilan terdekat atau pejabat pegawai bertugas MFA 24 jam di +65-6379-8800 atau +65-6379-8855, faks 6476-7302, atau e-mel mfa_duty_officer@mfa.gov.sg
Dalam konflik udara selama 12 hari antara Israel dan Iran pada Jun tahun lalu, empat rakyat Singapura dipindahkan keluar dari Iran manakala tujuh lagi dibantu meninggalkan negara itu.

