Busana Raya terpakai jadi pilihan penggemar fesyen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Busana Raya terpakai jadi pilihan penggemar fesyen

Jimat belanja, mutu jahitan dan potongan baju malar segar selain pentingkan aspek kemampanan antara tarikan
Mar 17, 2026 | 5:30 AM

Busana Raya terpakai jadi pilihan penggemar fesyen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
fesyen raya terpakai, busana raya lama, fesyen mampan, illydea ishak, nur sab’rina nordin
Lebih ramai individu terbuka memakai baju Raya lama kerana mementingkan aspek kemampanan. Cik Nur Sab’rina Nordin (kiri) memakai baju kurung yang pernah dimiliki ibunya, manakala Cik Illydea Ishak memakai kebayu Kutubaru yang telah dimilikinya lebih dari lima tahun. - Foto-foto ihsan NUR SAB’RINA NORDIN, ILLYDEA ISHAK

Menjelang Aidilfitri, pastinya ramai orang sibuk mencari busana baharu tidak kira di bazar, pusat beli-belah atau butik dalam talian.

Namun, terdapat beberapa individu memilih untuk tidak membeli pakaian baharu kerana ingin menggayakan semula busana Raya dari tahun-tahun sebelumnya.

Bagi Cik Noorshiddah Khairul Ahmad, 22 tahun, idea menggayakan semula baju kurung lamanya tercetus sewaktu pandemik Covid-19.

“Sebelum pandemik, saya beruntung kerana mempunyai bajet tahunan untuk dua pasang baju Raya. Lama-kelamaan, baju-baju itu bertimbun di dalam almari.

“Namun, sewaktu pandemik, bapa saya diberhentikan kerja dan ia membuat saya lebih peka mengenai perbelanjaan seharian.

“Ketika itu, saya mula bekerja sambilan dan ia membuat saya lebih menghargai rezeki yang ada.

“Apabila saya lihat di dalam almari, terdapat banyak baju kurung yang hanya dipakai sekali sahaja.

“Ia membuat saya memikirkan mengenai isu pembaziran tekstil di seluruh dunia,” kongsi mahasiswi tahun kedua dalam jurusan komunikasi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Selepas mendermakan pakaian Raya yang tidak muat, Cik Noorshiddah mula bereksperimen menggayakan pakaian Raya lamanya agar kelihatan berbeza.

Mempunyai bajet yang kecil semasa masih bersekolah membuat penggemar fesyen, Cik Nur Sab’rina Nordin, 25 tahun, tertarik membeli pakaian Raya terpakai sebagai satu alternatif.

“Saya suka menggayakan pakaian dengan warna dan rekaan berbeza pada setiap Aidilfitri.

“Untuk menjimatkan perbelanjaan sewaktu musim perayaan, saya membuat keputusan membeli pakaian Raya terpakai melalui dalam talian,” ceritanya, yang kini bertugas sebagai optometris.

Menurut Cik Sab’rina, terdapat pelbagai wadah dalam talian yang menjual pakaian Raya terpakai.

Ia termasuk aplikasi Carousell, saluran Telegram dan siaran langsung kendalian pempengaruh tempatan di TikTok.

Melalui saluran siaran langsung TikTok yang menjual baju Raya terpakai, Cik Nur Sab’rina Nordin, telah membeli set baju kurung yang digayakannya ini pada harga $15.
Melalui saluran siaran langsung TikTok yang menjual baju Raya terpakai, Cik Nur Sab’rina Nordin, telah membeli set baju kurung yang digayakannya ini pada harga $15. - Foto ihsan NUR SAB’RINA NORDIN

Kededua Cik Noorshiddah dan Cik Sab’rina turut meminati koleksi Raya yang pernah dimiliki ibu, mak cik atau nenek mereka.

Bagi mereka, baju zaman dahulu lebih bermutu tinggi dengan jahitan yang kemas kerana ia dihasilkan dalam bilangan terhad berbanding masa kini.

“Rekaan zaman dahulu tidak mengikut trend semasa dan mempunyai potongan tradisional yang tidak lapuk dek zaman.

“Apabila saya memakainya, ia terasa lebih unik dan istimewa,” jelas Cik Sab’rina.

Cik Noorshiddah pula turut menghargai peluang yang diberi untuk memakai pakaian neneknya yang telah bertahan berdekad lamanya.

“Memakai pakaian yang pernah dipakai oleh nenek saya sewaktu beliau masih muda membuat saya rasa lebih dekat dengan dirinya,” jelas beliau.

Mereka berdua turut mengakui lebih ramai anak muda dalam kalangan kenalan mereka kini peka mengenai isu kemampanan, lantas tidak mahu membeli pakaian baharu setiap tahun untuk Lebaran.

Ia turut menjadi topik perbualan di media sosial dengan adanya pempengaruh fesyen seperti Sofea Shra, Zurnadia dan Awa Zaharie dari seberang Tambak, yang berkongsi video mengenai cara menggayakan pakaian Raya yang ada dalam almari.

Video tersebut mendapat sambutan dengan ramai netizen berhasrat meminjam baju Raya ibu dan nenek mereka untuk digayakan semasa Lebaran 2026.

Menerusi tinjauan BH di wadah TikTok, terdapat sekurang-kurangnya 30 video yang mengongsikan cara menggayakan baju Raya lama oleh 10 pempengaruh fesyen berbeza dalam tempoh kurang tiga bulan sejak Disember 2025.

Video-video tersebut pula masing-masing ditonton sekurang-kurangnya 50,000 kali dan menarik puluhan komen netizen yang kebanyakannya melahirkan keinginan untuk turut menggayakan baju lama mereka.

Memakai busana Raya lama bukan hanya satu trend yang diminati Generasi Z (Gen Z).

Mementingkan rekaan baju klasik dan tradisional membuat Cik Illydea Ishak, 50 tahun, masih menyimpan dan memakai kebaya yang pernah ditempahnya sewaktu beliau masih menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Saya sering memilih siluet klasik seperti baju kurung pesak dan kebaya kerana ia kekal relevan hingga kini.

“Dalam ekonomi semasa yang tidak menentu, saya akan memastikan baju yang dibeli bermutu tinggi dan versatil supaya ia boleh dipakai berkali-kali.

“Kebanyakan kebaya saya sudah berusia lebih dari lima hingga enam tahun,” ujar beliau yang merupakan pensyarah media di salah sebuah politeknik di sini.

Cik Illydea Ishak mementingkan mutu jahitan pada baju kurung dan kebaya yang dibelinya kerana ingin memakainya untuk menghadiri pelbagai acara selain sambutan Hari Raya.
Cik Illydea Ishak mementingkan mutu jahitan pada baju kurung dan kebaya yang dibelinya kerana ingin memakainya untuk menghadiri pelbagai acara selain sambutan Hari Raya. - Foto ihsan ILLYDEA ISHAK

Cik Noorshiddah sering mencari inspirasi di wadah Pinterest mengenai cara sesuai menggayakan semula busana Raya dengan aksesori demi menyuntik kesegaran.

“Sebagai contoh, saya akan memadankan baju kurung dengan sandal dan beg jinjing untuk kelihatan lebih santai, manakala kasut but dan beg kulit akan memberi gaya yang edgy (berani),” jelasnya.

Cik Sab’rina berkata mereka yang mahu mencuba menggayakan pakaian Raya terpakai tidak harus berasa takut dan gementar.

Sebaliknya, mereka harus cuba menggabungkan rona warna dengan corak berbeza dan memadankan pakaian itu dengan pelbagai aksesori.

“Terdapat pelbagai inspirasi menarik yang boleh dilihat di media sosial.

“Mereka tidak harus membiarkan kata-kata negatif menjadi satu halangan bereksperimen dengan fesyen Raya. Yang penting, mereka berasa yakin, selesa dan suka dengan apa yang dipakai,” ujarnya.

“Memakai pakaian yang pernah dipakai oleh nenek saya sewaktu beliau masih muda membuat saya rasa lebih dekat dengan dirinya.”
Cik Noorshiddah Khairul Ahmad, 22 tahun.

“Rekaan zaman dahulu tidak mengikut trend semasa dan mempunyai potongan tradisional yang tidak lapuk dek zaman. Apabila saya memakainya, ia terasa lebih unik dan istimewa.”
Cik Nur Sab’rina Nordin, 25 tahun.

“Saya sering memilih siluet klasik seperti baju kurung pesak dan kebaya kerana ia kekal relevan hingga kini.”
Cik Illydea Ishak, 50 tahun.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg