Bagi pasangan suami isteri, Encik Diko Farhan Tokihiko Sakamoto dan Cik Teemaporn Hochai, atau lebih dikenali sebagai Bom, gerai makanan Thailand mereka, Naakin, di Pusat Makanan Amoy Street, bukan sekadar sumber rezeki.
Sudah lama mereka bercita-cita menyajikan makanan bermutu tinggi.
Malahan, nama kedai mereka, ‘Naakin’ dipilih dengan teliti.
“Dalam bahasa Thai, ‘Naakin’ bermaksud ‘kelihatan sedap’.
“Saya mahu pelanggan rasa teruja hanya dengan melihat hidangan kami, sebelum mencubanya,” kata Cik Bom, 33 tahun, yang berasal dari Kalasin, satu daerah di timur laut Thailand.
Walaupun ruang gerai itu kelihatan sederhana, barisan panjang pelanggan tetap kelihatan pada waktu makan tengah hari.
Kisah cinta mereka bermula di Bangkok pada 2014, ketika Encik Diko bercuti bersama sepupunya, manakala Cik Bom bekerja di sebuah restoran hotel.
Lima tahun menjalani hubungan jarak jauh berakhir dengan perkahwinan pada 2019, diikuti kehidupan baru di Singapura.
“Saya tidak sangka hubungan ini akan menjadi serius,” ujar Cik Bom.
Pandemik Covid-19 pada 2020 kemudian menjadi titik permulaan bagi jenama Naakin.
Ketika itu, Encik Diko baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang perniagaan, manakala Cik Bom baru memperolehi pas lawatan jangka panjang.
“Masa itu, kami fikir untuk mencuba membuat sesuatu bersama.
“Jadi kami mula menjual makanan Thailand kegemaran ramai dari rumah,” kata Encik Diko, 31 tahun.
Selama enam bulan, mereka mengusahakan Naakin sebagai perniagaan dari rumah (HBB), namun akhirnya memutuskan untuk berehat seketika.
“Kami berusaha mendapatkan status penduduk tetap (PR) untuk isteri saya.
“Oleh itu, kami hentikan Naakin dan masing-masing bekerja sepenuh masa,” jelasnya.
Selepas permohonan PR Cik Bom diluluskan pada 2023, pasangan itu mula membuat kajian tentang peluang membuka gerai penjaja.
“Ketika itu, kami menemui tawaran di daerah Amoy Street dan bernasib baik kerana berjaya memperolehi gerai tersebut.
“Kami pun nekad meneruskan perjalanan Naakin sekali lagi,” katanya.
Naakin kini terkenal dalam kalangan pekerja Kawasan Pusat Bandar (CBD) yang mengidamkan hidangan Thailand asli, segar, bermutu dan disajikan dengan pantas.
Menu Naakin ringkas dengan hanya tiga pilihan iaitu, Pad Krapow, tomyam dan Pad Thai.
Pad Krapow ialah hidangan klasik Thailand yang menggunakan daun kemangi Thai, cili dan bawang putih.
Ia biasanya dinikmati dengan nasi putih panas dan telur mata lembu.
Tomyam, hidangan ikonik dari Thailand, ialah sup masam pedas berperisa herba seperti serai, daun limau purut dan lengkuas, yang boleh dihidangkan bersama mi atau nasi.
Pad Thai pula dimasak menggunakan mi beras yang digaul dengan sos masam manis, telur, tauge dan lazimnya disajikan bersama hirisan limau nipis dan kacang tanah yang ditumbuk.
Pemilihan hidangan yang ringkas itu bertujuan memastikan mutu sajian terjaga.
“Kalau terlalu banyak pilihan, susah untuk kami pastikan semua bahan kekal segar.
“Kami ingin menumpu kepada penyediaan makanan yang enak,” jelas Encik Diko.
Untuk memastikan rasa yang tekal dan bermutu, resipi mereka dibangunkan bersama melalui proses penyelidikan dan pengembangan (R&D), yang mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Kami buat kajian sendiri, mengambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan resipi mengikut cita rasa kami, sebelum sedia dijual kepada pelanggan,” kata Cik Bom.
Semua bahan dipilih dengan teliti, dengan dada ayam segar dipotong sendiri, daging lembu dihiris nipis dan udang segar dibeli setiap hari dari pasar sebelum dikupas dan dibersihkan.
“Pelanggan di CBD tidak mahu tangan kotor kerana perlu kupas udang.
“Saya sendiri elak pesan udang (kerana ia perlu dikupas) kalau makan di luar.
“Jadi kami sediakan semua awal-awal untuk keselesaan pelanggan,” tambah Encik Diko.
Menurutnya, persiapan sangat penting, terutama ketika waktu sibuk makan tengah hari yang bermula dari 11 pagi.
“Kami masak ikut tempahan, tapi sistem perlu cekap supaya setiap hidangan siap dalam satu hingga satu setengah minit.
“Ayam dan daging kami separuh masak dahulu, kemudian baru dicampur semasa penyediaan,” jelas Encik Diko.
Menurut Cik Bom, beliau memberikan ‘sentuhan khas’ pada setiap hidangan.
“Bagi hidangan tomyam, saya menggunakan cendawan shimeji kerana teksturnya lebih rangup.
“Tomyam di Thailand biasanya menggunakan cendawan butang, tapi bagi saya, rasa shimeji lebih sedap,” katanya.
Bagi penggemar pedas, tahap kepedasan boleh disesuaikan bagi hidangan tomyam, yang ditawarkan dalam tiga tahap.
Pad Krapow pula mengandungi cili tetapi tidak terlalu pedas apabila dimasak.
Pelanggan boleh mengubah suai sendiri tahap kepedasan menggunakan perasa seperti cili padi atau serbuk cili yang disediakan.
Manakala Pad Thai tidak menggunakan cili, menjadikannya pilihan sesuai bagi kanak-kanak atau mereka yang lebih gemar hidangan yang kurang pedas.
Walaupun hanya beroperasi lima hari seminggu, jadual mereka bermula seawal 6 pagi atau 4 pagi sekiranya terdapat tempahan korporat besar.
“Apabila kami mula perniagaan pada September 2023, kami tidur dua atau tiga jam sahaja.
“Namun sambutan hari pertama sangat menggalakkan walaupun kami hanya memuat naik iklan di Facebook,” kata Encik Diko.
Kaki Makan turut berpeluang mencuba beberapa menu popular di Naakin, antaranya Pad Krapow daging ($8.30), mi tomyam udang ($8.30) dan Pad Thai (mula dari $7).
Pelanggan boleh memilih antara ayam, udang atau daging mengikut selera.
Walaupun bercita-cita membuka restoran menjelang 2026 atau 2027, mereka tetap menumpukan perhatian pada rasa dan mutu setiap sajian.
“Semua peniaga di sini sangat peramah. Sebagai suami isteri, kami cuma mahu yang terbaik untuk satu sama lain dan perniagaan ini,” kata Cik Bom.
Isnin dan Selasa, 10.30 pagi hingga 7.30 malam; dan Rabu hingga Jumaat, 10.30 pagi hingga 3.30 petang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg