Pusat Penjaja & Kedai Kopi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan orak langkah berani saji beriani Pakistan dari rumah ke CBD

Niaga Pakistani Dum Biryani SG, ke Pusat Makanan Maxwell, atas saranan arwah ibu
Aug 8, 2025 | 3:30 PM
Pakistani Dum Biryani SG, Pusat Makanan Maxwell
Pasangan suami isteri, Cik Yusnita Yusuff dari Singapura dan Encik Muhammad Rizwan Muhammad Moeen Tabassum, asal Pakistan, merupakan pemilik gerai Pakistani Dum Biryani SG di Pusat Makanan Maxwell. Awalnya, pasangan itu berniaga dari rumah ketika pandemik Covid-19 melanda dunia. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kebanyakan rakyat Singapura sudah biasa dengan beriani yang dimasak dengan cara tradisional masyarakat India, penuh rempah-ratus yang dihidangkan bersama kuah.

Namun, di sebalik kesibukan hiruk-pikuk Pusat Makanan Maxwell, sebuah gerai, Pakistani Dum Biryani SG, menyajikan sesuatu yang berbeza, iaitu sajian beriani unik, yang dimasak perlahan dan lebih lama tempohnya, dengan penuh ketelitian dan kasih sayang oleh tukang masaknya.

Gerai itu diusahakan pasangan suami isteri, Encik Muhammad Rizwan Muhammad Moeen Tabassum, dari Pakistan dan Cik Yusnita Yusuff dari Singapura.

“Memang (terdapat) banyak beriani di Singapura, tapi beriani Pakistan berbeza sedikit.

“Rasa rempahnya, khususnya, lain daripada biasa,” ujar Encik Rizwan, yang turut berbangga dengan hidangan Pakistan itu.

Sama ada ayam atau kambing, beriani mereka dimasak perlahan selama tiga jam menggunakan beras basmati premium, tairu buatan sendiri, tomato dan campuran rempah khas. Tiada kuah tambahan diperlukan.

Walaupun begitu, Encik Rizwan, 41 tahun, akur dengan selera warga tempatan.

“Bila saya buka kedai di sini, ramai pelanggan meminta kari atau kuah.

“Jadi saya buat dalca dengan empat jenis kacang dal khas untuk mereka yang gemarkan kuah,” jelasnya.

Semuanya bermula sebagai perniagaan dari rumah ketika pandemik Covid-19.

“Saya tahu suami saya memang pandai masak.

“Beliau sangat teliti, siap kira berapa banyak garam dan rempah diperlukan bagi bahan beriani.

“Kami pula orang biasa, bukan dari latar belakang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

“Tapi dari rumah, kami mula dapat 100 tempahan, selepas itu 300 tempahan pula. Sampaikan kami perlu beli periuk besar,” ujar Cik Yusnita, 50 tahun.

Tairu buatan sendiri yang digunakan dalam hidangan itu adalah antara rahsia utama keenakan sajian mereka.

“Kami buat tairu sendiri dan campur dalam nasi.

“Sebab itu, nasi kami tahan lama dan tak cepat basi. Ramai kata, sekali cuba terus jatuh cinta,” seloroh Cik Yusnita.

Namun, segala nikmat dalam berniaga tidak diperoleh dengan mudah, kerana di sebalik keindahan pasti tersimpan pelbagai cabaran.

“Cabaran terbesar bukan datang daripada pelanggan, tetapi keletihan bekerja di pusat penjaja.

“Memang susah, sakit badan kerana kami bermula dari pagi sampai malam dan tidak cukup rehat,” jelasnya.

Namun, semuanya berubah apabila arwah ibu Cik Yusnita, Allahyarhamha Hamidah Mohammad Amin, mencadangkan agar mereka membuka gerai di Pusat Makanan Maxwell, yang kini menjadi titik tolak kejayaan perniagaan pasangan itu.

“Ibu saya yang cadangkan untuk membuka gerai di daerah Maxwell.

“Pada mulanya saya ragu-ragu sebab saya fikir tak ramai Melayu di kawasan itu.

“Tapi ibu saya kata tempat itu daerah Kawasan Pusat Bandar (CBD) dengan ramai pekerja pejabat dan pelanggan antarabangsa yang berkunjung.

“Ternyata benar, pelanggan kami kini datang dari pelbagai latar belakang,” kata Cik Yusnita dengan nada bersyukur.

Gerai mereka dibuka secara rasmi pada Januari 2024, dengan jualan hari pertama yang laris habis sebelum 12.30 tengah hari.

Penampilan Encik Rizwan yang sentiasa kemas dengan seragam cef turut menarik perhatian meskipun berada di tengah-tengah pusat penjaja yang panas dan sibuk.

“Cef pun perlukan seragam khas demi menjaga kebersihan dan keselamatan.

“Apabila membuka periuk, wap panas keluar, jadi pakaian yang sesuai melindungi tangan saya.

“Saya sangat teliti, memastikan sukatan bahan tepat dengan mengira sudu dan menimbang bahan untuk mengekalkan mutu setiap hari,” jelasnya.

Setiap hari, mereka memulakan kerja lebih awal.

Pasangan yang menetap di Marsiling itu akan mula memasak sekitar 7.30 pagi, dengan sajian beriani siap sekitar 10.30 pagi.

‘Dum’ bermaksud nasi dan daging yang dimasak bersama di atas api perlahan supaya rasanya dapat meresap ke dalam nasi.

Menurut Encik Rizwan, ayam diperap sehari sebelumnya, digoreng separuh masak dan kemudian dimasak bersama nasi.

Hasilnya ialah ayam lembut dengan kulit yang rangup.

Kambing pula dimasak sehingga empuk dan mudah tanggal daripada tulang.

Mereka turut menyajikan pulao, sejenis nasi berperisa ringan dari Afghanistan dan Iran.

“Rasa nasi ini tak pedas, tapi berperisa.

“Beriani pula lebih pedas. Kedua-dua sajian ini memang patut dicuba,” kata Encik Rizwan.

Namun, di sebalik keenakan rasa, terdapat kos tersembunyi yang besar.

“Harga kambing meningkat. Saya menyediakan 250 gram kambing untuk setiap pelanggan, dengan kos sekitar $8, tetapi dijual pada harga $9,” kongsi Encik Rizwan.

“Kami sebenarnya tidak mampu menjual pada harga ini, tetapi kami mahu utamakan pelanggan.

“Saiz ayam dan kambing juga besar. Saya tidak tumpu pada keuntungan, sebab jika pelanggan gembira, saya pun gembira,” tambahnya.

Setakat ini, mereka masih menguruskan semuanya sendiri – daripada aspek memasak, melayan pelanggan, hingga membuat persiapan untuk keesokan hari.

“Selepas zuhur, kami dah mula buat persiapan untuk keesokan hari.

“Ia proses berterusan setiap hari. Memang penat, tapi kami sudah dapat menyesuaikan diri,” kata Cik Yusnita.

Walaupun begitu, kerjasama dalam perniagaan telah mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Bekerja sebagai suami isteri, walaupun letih, lain rasanya... sebab apabila saya tengok muka isteri, hilang penat,” kata Rizwan sambil tertawa.

Di sebalik nasi beriani mereka yang dimasak dengan penuh kasih sayang dan teliti, cinta mereka bermula secara dalam talian.

“Suami saya kirim pesanan kepada saya di Facebook.

“Saya tak kenal pun dia siapa, tapi saya rasa auranya lain. Saya membalas tanpa mengharapkan apa-apa,” kata Cik Yusnita.

Kini, pasangan itu bukan sahaja berkongsi kehidupan, bahkan juga impian yang sama.

“Mak saya selalu kata, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.

“Alhamdulillah, walaupun tak banyak, kami tetap dapat berkongsi,” luah Cik Yusnita, yang turut bersyukur dengan sokongan pelanggan setianya.

Pakistani Dum Biryani SG
Alamat: 1 Kadayanallur Street, #01-69, Pusat Makanan Maxwell, Singapura 069184
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Sabtu, 10.45 pagi hingga 8 malam, atau sehingga stok habis

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg