Pada usia yang baru mencecah 24 tahun, Encik Muhamad Imran Mean, sudah mengendalikan perniagaan dim sum yang bukan sekadar mengenyangkan perut, malah memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia Melayu sebayanya.
Perniagaan Warung Dim Sum, di Kedai Kopi Coffeeshop di 925, Yishun Central 1, menyajikan dim sum halal buatan tangan.
Idea menggajikan belia yang mencari pekerjaan bermakna itu tercetus daripada pengalamannya sebagai pengasas, IM Volunteers Network – sebuah pertubuhan yang menggalak kerja sukarela dalam kalangan belia di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Namun, Encik Imran mahukan lebih daripada sekadar kerja sukarela.
“Saya mula berfikir, bagaimana saya boleh tawarkan sesuatu yang lebih berpanjangan daripada kerja sukarela?
“Bagaimana saya boleh beri mereka pendapatan, kemahiran dan arah tuju dalam kehidupan?” kongsi Encik Imran, kepada Kaki Makan baru-baru ini.
Impian itu akhirnya menjadi nyata apabila beliau melancarkan Warung Dimsum pada Julai, hasil kerjasama pengeluar dim sum halal, Nury Dian Xin, dan pihak syarikat Kedai Kopi.
Encik Imran bertemu pembekal tersebut dalam sebuah acara kemasyarakatan dan tertarik dengan komitmen mereka terhadap produk buatan tangan yang halal.
Beliau yang baru tamat pengajian Diploma Pembangunan Masyarakat dari Politeknik Ngee Ann, berkata:
“Ramai orang jual dim sum, tapi tidak semuanya halal, dan lebih sukar untuk jumpa dim sum buatan tangan,” katanya.
“Kekuatan Nury ialah produk buatan sendiri. Saya pula ada tenaga belia yang boleh dilatih dan bekerja. Jadi saya fikir, mengapa tidak buka gerai?” ujar Encik Imran, anak kedua tiga beradik. Beliau mempunyai kakak berumur 42 tahun dan adik lelaki berusia 20 tahun.
Warung Dimsum menawarkan menu yang direka khas, menggabungkan hidangan klasik dengan pilihan unik.
Antara yang menjadi tarikan ialah Pau Ayam Ketumbar ($5.50); Siew Mai Ayam ($6.50) yang ditabur udang atau cendawan, dan Har Gow Udang ($7).
Namun, yang unik ialah Pau Jumbo Nury Premium ($8), yang padat dengan inti ayam char siew, daging cencang, telur rebus, telur asin, udang, cendawan shitake dan abalon.
Satu lagi pilihan menarik ialah Pau Kambing Berlada ($5.50), pau berinti kambing berempah yang jarang ditemui di Singapura.
“Ramai yang tidak makan kambing sebab takut ia berbau, tapi kami gunakan rempah untuk seimbangkan rasanya,” tambah Encik Imran.
Harga sajiannya bermula serendah $3 untuk sepinggan tiga biji dim sum klasik, hingga $12 untuk pilihan premium.
Pelanggan yang membeli lima pinggan turut menerima satu pinggan percuma.
Namun, perjalanan mengusahakan perniagaan itu tidak mudah.
Encik Imran mengambil masa lebih setahun untuk merancang gerai tersebut, dan menunggu masa yang sesuai kerana bimbang akan tanggungjawab sebagai usahawan muda.
“Kalau saya mula awal, risiko lebih besar. Pada umur 22 atau 23 tahun, saya tahu belum masanya,” akui bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat dalam pengajian kembara dan pelancongan itu.
Saat yang tepat muncul apabila pihak Kedai Kopi memberikan sokongan penuh mereka.
Sejak pelancaran, sambutan semakin meningkat dan menggalakkan.
Berita mengenai gerai itu cepat tersebar, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu di estet perumahan Yishun.
“Ada mak cik dan pak cik yang cakap dah tinggal di Yishun selama 20 tahun tapi tidak pernah ada dim sum halal. Bila kami buka, mereka sangat teruja,” kata Encik Imran.
Namun, cabaran paling besar ialah menyusun jadual kerja beberapa orang belia yang membentuk sebahagian kakitangan sambilan gerai itu.
“Kebanyakan mereka masih belajar atau ada tanggungjawab keluarga. Bukan senang nak atur masa kerja mereka,” jelasnya.
Walaupun begitu, beliau tetap ingin mendidik dan memberi peluang kepada golongan muda.
Daripada mengukus dim sum hingga menjaga kaunter bayaran, Encik Imran sendiri turut turun padang.
Malah, ibunya, Cik Fauziah Shaharuddin, 60 tahun, juga kini aktif membantu di gerai tersebut.
“Mula-mula mak saya tidak sokong idea ini. Tapi saya pujuk dia. Saya juga nak dia ada tujuan, tak keseorangan bila saya tiada di rumah. Sekarang, dia bantu layan pelanggan dan perkenalkan menu.
“Maka, ia jadi pengalaman yang eratkan hubungan kami,” jelas Encik Imran.
Beliau kini merancang untuk mengembangkan Warung Dimsum ke bahagian timur atau barat Singapura, supaya lebih ramai penduduk dapat menikmati dim sum halal.
Beliau juga mahu menjadi inspirasi kepada belia lain yang ingin menceburi dunia perniagaan.
“Ada belia yang mula berniaga di pasar malam atau warung kecil.
“Saya ingin tunjukkan, kalau kita konsisten, kita boleh bina sesuatu yang mantap, walaupun harga barangan naik dan kos semakin tinggi,” tambahnya, penuh keyakinan.
Isnin hingga Ahad, 9 pagi hingga 8.30 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg