Topik diikuti
Pergi ke BHku30 minit cipta lirik, ‘Tiwikarma’ bawa tuah kepada K.O.I semasa AJL40
Aisha Retno dinobat Naib Juara menerusi ‘Tak Adil’, Aina Abdul cipta sejarah ke Eurovision Asia
Hanya mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan lirik, karya Tiwikarma akhirnya membawa kumpulan K.O.I (Konflik of Interest) ke puncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40, sekali gus membuktikan kejayaan sesebuah karya tidak semestinya bermula dengan perancangan yang panjang.
K.O.I merupakan kumpulan rap dan rap-rok alternatif Malaysia yang mencuri perhatian sejak 2024, menerusi identiti penuh misteri, termasuk penampilan bertopeng yang menjadi ‘trademark’ mereka, selain berani meneroka dengan gabungan unsur rap dan rok dalam karya muzik.
Anggotanya terdiri daripada Achoi (anggota kumpulan Floor 88), Mya Nana, Khaza Raflex, Tuan Nicky dan Hemo Globin.
Penulis liriknya, Tuan Nicky, atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 29 tahun, yang juga anggota kumpulan Floor 88, mendedahkan lirik lagu berkenaan terhasil dalam keadaan serba spontan, selepas menerima pelawaan Achoi untuk menyertai projek tersebut ketika sedang menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.
Tuan Nicky berkata beliau diminta menyiapkan lirik dalam tempoh setengah jam dan terus bergegas keluar dari dewan sebelum mula menulis menggunakan telefon bimbit.
“Lagu ini kami buat tanpa dirancang dan agak tergesa-gesa, di mana lirik lagu itu siap dalam masa 30 minit.
“Waktu itu, saya berada di majlis perkahwinan kawan.
“Saya pergi ke belakang dewan, keluarkan telefon bimbit dan mula menulis lirik sebelum terus menghantarnya kepada Achoi.
“Sebelum itu, saya tanya lagu itu berkenaan apa dan beliau berkata mengenai Palestin.
“Saya rasa semua orang tahu pendirian saya mengenai isu Palestin.
“Jadi, saya tulis lirik itu secara tidak langsung... macam ada kod tersembunyi,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pemenang AJL 40 di Unifi Arena, Kuala Lumpur, pada 15 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
AJL40 disiarkan secara langsung menerusi saluran TV3.
Kemenangan K.O.I yang membuat penampilan sulung di pentas AJL itu turut mengangkat genre rap dan hip-hop ke persada tertinggi selepas kejayaan Joe Flizzow dan SonaOne menerusi Apa Khabar, selain Gila nyanyian Noki K-Clique, Loca B dan Kaka Azraff yang pernah menjulang piala AJL.
Hemo Globin turut berkata kejayaan itu memberi makna besar bagi K.O.I kerana genre hip-hop dan rap sudah lama tidak muncul sebagai juara AJL.
“Kami cuba untuk tidak memikirkan sama ada orang akan menerima lagu kami atau tidak kerana mungkin itu akan membuatkan kami sendiri susah untuk menghasilkan karya-karya seterusnya.
“Cuma apa yang kami lakukan adalah memberikan yang terbaik.
“Kami buat apa yang kami sendiri suka kerana ini adalah minat dan semangat kami dan kami akan teruskan perkara itu,” ujarnya.
Menurut Achoi, atau nama sebenarnya, Zai Hamzah, 35 tahun, K.O.I dibentuk atas dasar minat dan semangat berkarya tanpa meletakkan sasaran menghasilkan lagu semata-mata untuk mengejar kemenangan di pentas anugerah.
Baginya, pendekatan sama diterapkan ketika menghasilkan lagu Tiwikarma yang kebanyakannya dilakukan secara sendiri dengan bantuan rakan-rakan.
“K.O.I ditubuhkan tanpa kami mengharapkan apa-apa. Kami buat kerana minat dan suka-suka. Tiwikarma pun kami hasilkan tanpa meletakkan harapan yang tinggi.
“Video muziknya pun kami hasilkan secara sendiri. Kami yang jadi kru, buat muzik dan hasilkan melodi.
“Kertas yang kami baling dalam persembahan tadi (15 Ogos) pun kami potong sendiri.
“Semuanya ada 200,000 keping yang dibuat dalam tempoh empat hari hingga berdarah-darah tangan kami,” kata Achoi.
Sementara itu, Khaza Raflex akur K.O.I sudah mempunyai lima hingga enam lagu dalam simpanan untuk diterbitkan selepas ini.
Lebih menarik lagi, kumpulan itu mempunyai dua lagi lagu yang tercalon di AJL40, iaitu Niskala Swakarma dan Meta Dergama, selain merancang menghasilkan lebih banyak karya baharu serta album.
Mengenai wang kemenangan RM100,000 ($31,499), Khaza berkata, K.O.I masih belum mempunyai perancangan khusus kerana tidak menyangka akan bergelar juara.
Dalam pada itu, penyanyi dan komposer muda, Aisha Retno, 26 tahun, menyifatkan kejayaan meraih Naib Juara menerusi Tak Adil sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya.
Aisha turut menerima keputusan juri dengan hati terbuka selepas mengakui persaingan AJL40 sengit, terutama dari segi mutu lagu dan persembahan.
“Sudah tentu saya ada sasaran apabila berada di AJL, tetapi keputusan itu diserahkan kepada juri.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur kerana panel juri sudi menilai lagu ini dari segi gubahan lagu dan persembahan,” kata Aisha, yang turut menghasilkan lagu ini dengan adiknya, Radi, atau nama sebenarnya, Sayed Abu Hanifa Radityo, 24 tahun.
Mengulas kedudukan sebagai Naib Juara buat kali kedua, Aisha mengakui Tiwikarma sememangnya layak dinobatkan sebagai juara.
“Tiwikarma memang sangat layak digelar juara. Saya sudah dengar beberapa lagu finalis dan memang saingan sangat sengit.
“Saya suka cara mereka menyusun lirik dan pesanan yang disampaikan.
“Kalau ada rezeki, saya mahu berguru dengan mereka dalam penulisan lagu,” katanya lagi.
Aisha menafikan dakwaan tangisannya selepas membuat persembahan di pentas AJL40 berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap persembahannya.
Sebaliknya, penyanyi Sutera, lagu yang pernah meraih gelaran Naib Juara AJL38, menjelaskan tangisan itu merupakan tanda kelegaan selepas melalui persiapan selama berbulan-bulan, selain tersentuh dapat berkongsi pentas berprestij tersebut bersama adiknya.
“Saya ingin memberikan penjelasan tangisan itu adalah tanda kelegaan kerana naskhah itu sebenarnya sangat berat untuk saya.
“Saya tampil dengan barisan penari dan prop yang cukup kuat, malah turut membawa adik (Radi) bersama.
“Kami membesar bersama-sama dan tidak pernah menyangka suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke pentas AJL40 sebagai satu pasukan.
“Apa yang saya lakukan pada hari ini (15 Ogos) adalah demi adik. Itulah makna tangisan saya,” ujar Aisha.
Melengkapkan senarai pemenang AJL40, Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid, 30 tahun, menduduki tempat ketiga, manakala Aina Abdul, 32 tahun, turut mencuri tumpuan apabila meraih Anugerah Persembahan Terbaik selepas tampil dengan konsep persembahan gunung berapi penuh dramatik menerusi lagu, Kamu.
Tuah Aina terus berganda apabila turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee berupa piala eksklusif, wang tunai RM50,000 serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.
Lebih manis, Aina turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Pertandingan Lagu Eurovision Asia 2026, sekali gus mencipta sejarah sebagai wakil sulung negara itu dalam edisi pertama pertandingan berkenaan.
Sementara itu, Marsha Milan, 40 tahun, melengkapkan koleksi pencapaiannya di pentas AJL apabila buat julung-julung kalinya membawa pulang piala Anugerah Vokal Terbaik menerusi persembahan lagu, Tangisan Seorang Pendosa.
