Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ada insan baik hati pulangkan telefon bimbit Yusry KRU tercicir di USS

Jul 2, 2025 | 3:58 PM
KRU, Yusry Abdul Halim, USS, telefon bimbit, GenKRU
Datuk Yusry Abdul Halim, atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU, dan isteri, Datin Lisa Surihani (kanan), bersama anak-anak mereka, Yahaira Leanne (dua dari kanan),Yusof Leonne (dua dari kiri, di depan), dan Yunos Laith, bercuti di taman bertema, Universal Studios Singapore (USS), pada 29 Jun 2025, sehari selepas tamat ‘Konsert GenKRU Live in Singapore’ pada 28 Jun, di The Star Theatre, Singapura. - Foto INSTAGRAM YUSRY ABD HALIM

KUALA LUMPUR: Datuk Yusry Abdul Halim berkongsi pengalaman mencemaskan apabila kehilangan telefon bimbit ketika membawa anak-anaknya bercuti ke taman bertema, Universal Studios Singapore (USS), di Singapura.

Menerusi perkongsian di wadah Threads, pada 30 Jun, anggota kumpulan KRU itu memaklumkan kejadian berlaku di kawasan tarikan JP Rapids Adventure, salah satu permainan air yang popular di taman bertema berkenaan.

“Bawa anak-anak ke USS semalam (29 Jun). Hilang telefon bimbit di kawasan JP Rapids Adventure. Rasa agak sedih juga.

“Tetapi hendak buat macam mana? Buat laporan, harap yang terbaik dan bersedia untuk kemungkinan terburuk. Anggap sahaja telefon memang sudah hilang,” tulisnya.

Yusry, 52 tahun, berkata selepas kejadian itu, beliau sekeluarga pulang ke rumah saudara mereka untuk makan malam.

Namun, pada 7.45 malam, suatu kejutan menggembirakan hadir apabila isterinya menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan USS.

“Pada 7.45 malam, isteri saya terima panggilan telefon dari USS memaklumkan mereka menemui sebuah telefon yang sepadan dengan penerangan saya,” tulisnya.

Dalam perkongsian itu juga, Yusry meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada individu yang menjumpai telefon berjenama iPhone miliknya yang bersarung hitam dan memulangkannya kepada pihak pengurusan taman bertema itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Kepada sesiapa yang menemui iPhone dengan sarung berwarna hitam dan memulangkannya, moga Allah membalas jasa anda dan murahkan rezeki anda. Terima kasih banyak,” tulisnya.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada pengikutnya yang rata-rata tumpang gembira dan memuji sikap jujur individu yang memulangkan telefon itu.

Terdahulu, Yusry dan dua adik-beradiknya, Datuk Norman Abdul Halim, 53 tahun, dan Edry, 49 tahun, berada di Singapura bagi menjayakan, Konsert GenKRU Live in Singapore, yang berlangsung pada 28 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg