Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Album mini Heema Izzati teroka tema kesihatan mental

EP ‘Sleep When You’re Tired’ singkap keadaan minda berserabut ketika payah tidur lena
Dec 15, 2025 | 11:26 AM
Heema Izzati, Heema Izzati Zainudin, Zainudin Nordin, Singapura Live 4.0
Pelajar tahun ketiga, Diploma Muzik di Maktab Seni Lasalle, penyanyi muda, Heema Izzati, berharap dapat bekerjasama dengan bakat mapan untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu. - Foto ihsan HEEMA IZZATI

Sejak berusia tiga tahun, bakat muda tempatan, Heema Izzati, telah didedahkan kepada seni muzik.

Membesar dalam keluarga berbakat, Heema bermula dengan mempelajari bermain piano sebelum bertukar kepada selo. 

Namun, minatnya dalam bidang muzik benar-benar mekar apabila beliau berjinak-jinak dalam penulisan lagu ketika berusia 15 tahun. 

Heema, atau nama sebenarnya, Heema Izzati Zainudin, 19 tahun, bersyukur mendapat sokongan padu daripada ibu bapanya serta kededua kakaknya. 

“Mempunyai keluarga yang sentiasa memberi dorongan dalam apa sahaja yang anda minati sangat penting. Saya bersyukur mendapat didikan pertama dalam bidang muzik daripada mereka.

“Sejak kecil saya didedahkan kepada muzik daripada pelbagai genre seperti rok, jaz dan sebagainya.

“Membesar dalam suasana sebegitu, membuat saya mengenal maksud di sebalik setiap genre. 

“Apabila saya membuat keputusan untuk berkecimpung dalam bidang muzik secara serius – sebagai satu kerjaya, ia membantu kerana saya sudah ada asas yang kukuh,” ujar pelajar tahun ketiga Diploma Muzik di Maktab Seni Lasalle itu. 

Heema merupakan anak bongsu kepada mantan Anggota Parlimen (AP), Zainudin Nordin, 62 tahun, dan isterinya, bekas vokalis band etnik, Culture Vulture, Lazmin Ibriam, 60 tahun. 

Kakaknya, Maya Raisha, 23 tahun, merupakan penyanyi jaz; manakala kakak sulungnya, Nur Shaheen, 25 tahun, tidak aktif dalam bidang muzik meskipun boleh bermain alat muzik. 

Menyentuh mengenai album mini atau EP (extended play) yang baru dikeluarkan pada Oktober 2025, Heema berkata ia mendapat inspirasi daripada pengalamannya dan bermain dengan apa yang kerap berada dalam fikirannya.

“EP saya diberi nama, Sleep When You’re Tired (Tidur ketika awak penat), dan ia seperti satu ironi kerana lagu-lagu itu mengisahkan tentang fikiran saya yang kusut apabila saya belum boleh tidur lena. 

“Saya turut meneroka tema kesihatan mental dengan menceritakan pengalaman saya melalui detik-detik kerisauan dan bagaimana saya cuba untuk mengatasinya,” kongsi Heema. 

Beliau telah bekerjasama dengan penerbit dan pemuzik tempatan, Krysta Joy, bagi projek itu yang menampilkan lima lagu bahasa Inggeris. 

Mengambil inspirasi daripada penyanyi Amerika, Yebba, dan mengagumi band rok popular Paramore, Heema berkata dirinya tidak mahu terkongkong dengan satu genre dan mengambil pengaruh muzik yang beliau dengar.

“Pada asasnya, muzik saya lebih ke arah genre ‘folk’ kerana saya merakam setiap lagu menggunakan gitar akustik, namun saya menyelitkan beberapa elemen rok alternatif,” ceritanya.

Baru-baru ini, Heema tampil dalam salah satu episod rancangan hiburan, Singapura LIVE! 4.0, dan beliau berduet bersama juara Singapore Idol (Musim Ketiga), Sezairi Sezali, bagi lagu nyanyian asal Sezairi, Luarbiasa.  

“Saya tidak menyangka bakal diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan Sezairi. Saya amat mengaguminya.

“Walaupun pernah terlibat dalam beberapa konsert, saya tidak pernah menyanyi secara langsung bagi rancangan televisyen, lantas ia satu pengalaman yang baru dan amat menyeronokkan,” cerita Heema yang bakal tampil dalam acara luar studio, Singapura LIVE! 4.0 & Singa Maksima x Locals Only pada 20 Disember di Teater Luar DBS Foundation di Esplanade. 

Acara percuma itu turut menampilkan penyanyi tempatan lain termasuk Jatt Ali, Fauzie Laily, Syed Azmir dan Putri Emily.

Ketika ditanya jika beliau terbuka untuk melebarkan sayap dalam pasaran Melayu, Heema akur beliau teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi mapan tempatan bagi menghasilkan lagu dalam bahasa ibundanya. 

“Mungkin proses saya menulis lirik masih dalam bahasa Inggeris, namun saya terbuka untuk mencuba menghasilkan lagu Melayu,” tambahnya yang pernah membuat persembahan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 serta konsert ChildAid pada 2018 dan 2019. 

Buat masa ini Heema mempunyai keinginan untuk meraih ijazah dalam bidang muzik setelah tamat pengajian diploma pada pertengahan 2026.

Ia mungkin mengambil masa sebelum beliau dapat memberi tumpuan kepada kerjaya seninya dan menghasilkan album penuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg