Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat S’pura, Herna Sabrina temui cinta dalam lagu tradisional

Vokalis kumpulan Gendang Akustika mula nyanyi sejak usia sembilan tahun
Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Herna Sabrina, Gendang Akustika, Singapura Live 4.0
Penyanyi tempatan, Herna Sabrina, berharap lebih banyak acara budaya dapat diadakan bagi menggalak lebih ramai anak muda mengenali irama muzik tradisional Melayu. - Foto ihsan HERNA SABRINA

Bermula sebagai penyanyi sementara pada usia 15 tahun untuk menggantikan mak ciknya, vokalis bagi kumpulan muzik tradisional, Gendang Akustika, bakat tempatan Herna Sabrina, kini tampil sebagai antara vokalis utama kumpulan itu.

“Pada mulanya, mak cik saya, Nuraini Jasmani, perlukan pengganti sementara kerana beliau sedang sarat mengandung. 

“Daripada hanya menjadi penyanyi sementara sekitar 13 tahun lalu, saya kini menggalas tugas sebagai vokalis utama.

“Alhamdulillah, kumpulan kami sering dijemput untuk membuat persembahan di Wisma Geylang Serai (WGS), kelab masyarakat, acara korporat dan majlis perkahwinan,” kongsi Herna, 28 tahun, yang ditemui Berita Harian (BH) di acara, Singapura LIVE! 4.0 Plus.

Gendang Akustika ditubuhkan pada 2008, menggabungkan pelbagai alat muzik Melayu dan Barat seperti rebana, seruling, biola, akordion dan lain-lain. 

Dibesarkan dalam keluarga yang gemar berkaraoke, Herna, atau nama sebenarnya, Herna Sabrina Sabri, mula berjinak-jinak menyanyikan lagu irama tradisional seawal usia sembilan tahun.

“Saya membesar dengan mendengar lagu irama tradisional, jadi ia bukan sesuatu yang asing. 

“Apabila saya bersama Gendang Akustika, saya seperti menemui minat dan ‘rumah kedua’ saya,” kongsinya yang bekerja sepenuh masa dalam industri perhotelan. 

Baru-baru ini, beliau merupakan antara penyanyi tempatan yang diundang membuat persembahan bagi salah satu episod rancangan hiburan, Singapura LIVE! 4.0, yang mengetengahkan irama tradisional. 

Program yang disiarkan setiap minggu secara langsung di saluran Mediacorp Suria itu meraikan persada muzik tempatan dengan setiap episod memberi tumpuan kepada senarai muzik pelbagai genre. 

Beliau turut memeriahkan acara di luar studio, Singapura LIVE! 4.0 Plus, yang diadakan pada 1 November lalu di Serambi Kampong Gelam yang terletak di Sultan Gate. 

Menyifatkan dirinya seperti mempunyai ‘jiwa lama’, Herna amat mengagumi nyanyian Biduanita Negara Malaysia, Allahyarhamha Puan Sri Saloma. 

“Saya minat dengan nyanyiannya kerana beliau penyanyi yang serba boleh, anggun dan dihormati sehingga kini. 

“Saya tidak mahu meniru caranya menyanyi, namun sering menggunakan persembahannya sebagai satu bahan rujukan,” kongsi Herna yang turut meminati biduanita Rosiah Chik dan Sanisah Huri. 

Ditanya apakah cabaran menyanyikan lagu irama tradisional, Herna berkata ramai yang menyangka ia hanya bergantung pada lenggok nyanyian. 

“Sebenarnya terdapat pelbagai faktor lain yang perlu diambil kira termasuk sebutan lirik yang jelas, patah lagu dan cara nyanyian berbeza bagi setiap irama dalam muzik tradisional,” tambahnya. 

Pada 2023, Herna telah mewakili Singapura dalam pertandingan nyanyian realiti, D’Academy Asia (musim keenam), di Indonesia. 

Beliau mendapat dorongan daripada bapanya, Sabri Tengku Ya’cob, yang mempunyai kenalan dalam bidang muzik dangdut. 

“Bapa saya mendapat tahu tentang pertandingan itu daripada beberapa kenalannya dan menggalak saya untuk menyertainya.

“Alhamdulillah, saya terpilih untuk mewakili Singapura bersama empat peserta lain.

“Saya tidak meletakkan apa-apa jangkaan kerana irama dangdut bukanlah genre yang saya mahir,” kongsinya yang berjaya ke peringkat ‘30 terbaik’ dan berada di Indonesia selama dua bulan. 

D’Academy Asia merupakan pertandingan nyanyian irama dangdut melibatkan lapan negara iaitu Malaysia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura, Filipina, Turkey, Timor-Leste, dan Indonesia selaku tuan rumah. 

Ditanya cara menggalakkan lebih ramai anak muda tertarik dengan irama tradisional, Herna berkata pendedahan awal mengenai budaya Melayu amat penting dalam kalangan belia. 

“Muzik irama tradisional ini untuk sesiapa sahaja dan orang ramai tidak harus ada tanggapan ia sesuatu yang eksklusif. 

“Selain dalam kalangan keluarga, pendedahan juga boleh berlaku dengan mengadakan lebih banyak acara budaya yang memberi peluang kepada anak muda untuk mengenali irama muzik tradisional Melayu,” jelas Herna. 

‘Singapura LIVE! 4.0’ boleh ditonton setiap Selasa, mulai 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria dan mewatch

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg