Genap dua bulan pemergian anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail, 20 tahun, pelakon Malaysia, Amyza Aznan mengakui masih menangis setiap kali terkenang zuriat tersayang.

Amyza mengaku masih menziarahi kubur Allahyarham Andre yang meninggal dunia akibat barah paru-paru setiap hari jika tidak terikat dengan kerja.

Andre meninggal dunia semasa Ramadan iaitu pada 23 Februari lalu setelah bertarung dengan penyakit itu sejak 2025.

“Hari-hari saya menangis, lepas menangis rasa okey sikit. Tapi apabila teringat balik, saya akan menangis semula.

“Semalam (22 April) genap 60 hari dia pergi, setiap hari saya tak putus mendoakan agar arwah dibebaskan daripada azab kubur, Allah swt ampunkan dia, kasihani dia dan rahmati dia dengan rahmat dan kasih sayangnya.

“Doa saya semoga anak saya bahagia di alam sana,” kata Amyza kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Amyza mengaku rindukan kelembutan dan ketaatan anaknya yang tidak pernah meninggikan suara sama ada kepada dirinya mahupun adik-adik.

“Alhamdulillah, anak-anak saya semuanya lembut tutur mereka. Saya rindukan kelembutan arwah melayani saya dan adik-adiknya,” katanya yang pernah membintangi drama Rindu Kasih, Wanita Syurga dan Andai Tiada Dia.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini anak keduannya. Adrian Adam, 18 tahun, yang disahkan menghidap barah tulang, Amyza berkata anaknya sedang menjalani rawatan dan menunjukkan tanda positif.

“Ian (merujuk kepada Adrian Adam) sedang menjalani rawatan. Alhamdulillah, setakat ini barahnya tidak merebak.

“Saya mohon doa daripada semua agar Allahyarham Andre ditempatkan di kalangan orang yang beriman manakala Ian pula diberi kesembuhan daripada penyakit dihidapi,” katanya.