Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak pelakon, Ako Mustapha dibuli sejak 2025
Anak pelakon, Ako Mustapha dibuli sejak 2025
Insiden buli raih perhatian Menteri Pendidikan M’sia
Anak pelakon, Ako Mustapha dibuli sejak 2025
Pelakon Malaysia, Ako Mustapha, 55 tahun, mendakwa anak lelakinya telah menjadi mangsa buli sejak 2025.
“Anak saya sebenarnya sudah dibuli sejak tahun lalu (2025) lagi, tetapi tidak membabitkan sentuhan fizikal.
“Ketika itu saya sudah meminta guru kelas menyelesaikan isu itu, namun kali ini bertukar ke tahap sehingga mendatangkan kecederaan teruk kepada anak saya,” kata pelakon itu yang mendakwa anak lelakinya, Mika, 10 tahun, menjadi mangsa buli di sekolah, semalam.
Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha berkata, sebelum ini, mereka hanya merosakkan barangan Mika saja, tetapi pada 2026 beliau mula perasan perubahan anaknya yang seperti tidak suka ke sekolah.
“Semalam, selepas anak pulang ke rumah dan selesai mandi baru dia beritahu kena pijak, rambut digunting dan ada kesan tapak kasut selain badan berbirat dipukul rakan sekolahnya.
“Saya kemudian terus membawa anak ke klinik kesihatan di Setapak sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro pada 22 April.
Menurut Ako, anaknya juga perlu menjalani pemeriksaan x-ray kerana bimbang ada kecederaan dalaman atau tulang patah.
“Saya dimaklumkan oleh anak kejadian berlaku ketika waktu rehat di dalam kelas apabila dia ditolak sehingga terlentang sebelum dipijak dan dipukul.
“Saya juga sudah membuat laporan polis dan pegawai penyiasat juga sedang menunggu laporan perubatan anak saya,” jelas pelakon yang dikenali menerusi drama Dalam Hati Ada Cinta dan Sephia.
Katanya, guru kelas anaknya juga banyak membantu menguruskan kes anaknya selepas dimaklumkan mengenai isu tersebut.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan anak Ako yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Malaysia.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek.
Menerusi hantaran dimuat naik di Threads, Ako memaklumkan kejadian itu membabitkan lima murid iaitu dua murid senior dan tiga rakan sekelas.
Menurut Ako, kejadian yang menimpa anaknya itu hanya disedari selepas Mika pulang dari sekolah dan selesai mandi.
