Topik diikuti
Pergi ke BHkuAqasha cabar diri kuasai tari, silat demi watak ‘Hang Tuah’
Aqasha cabar diri kuasai tari, silat demi watak ‘Hang Tuah’
Bukan mudah buat penyanyi dan pelakon, Aqasha, menyesuaikan diri dengan dua pelakon wanita berbeza yang berkongsi watak utama, Gusti Puteri Retno Dumilah, dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).
Dua pelakon wanita itu ialah Aisha Retno, 26 tahun, dan Mila Mohsin, 30 tahun.
Aqasha, atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, yang memainkan watak Laksamana Hang Tuah, berkata biarpun Mila dan Aisha membawa watak sama, masing-masing ada pendekatan dan tenaga tersendiri.
Perbezaan itu lantas menuntutnya menyesuaikan rentak lakonan agar kesinambungan emosi sepanjang pementasan dapat dikekalkan.
“Walaupun kededuanya membawakan watak sama, mereka adalah dua individu berbeza dengan pendekatan berlainan.
“Situasinya seumpama mencintai dua individu berbeza.
“Namun, objektif dan motivasi watak tetap sama bagi memastikan kesinambungan emosi pementasan tidak terputus,” kata Aqasha, 44 tahun, dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada sesi latihan PGLM di Malaysia, baru-baru ini.
Aqasha meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menjayakan watak tersebut akhirnya menjadi kenyataan, selepas hampir 20 tahun sejak beliau diberi tanggungjawab sebagai pelakon gantian atau ‘understudy’ bagi watak yang sama.
Bagaimanapun, peluang itu tidak hadir dengan mudah apabila pelakon drama Luka Dalam Rindu itu, masih perlu menjalani uji bakat secara tertutup bagi membolehkan pihak penerbitan menilai kemampuan lakonannya.
Malah, Aqasha mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk membawa watak berkenaan sehingga sanggup menemui penulis skrip pementasan itu iaitu Adlin Aman Ramlie, bagi menyuarakan keinginannya.
Bagi mendepani komitmen sebanyak 20 pementasan, Aqasha akur memulakan latihan fizikal intensif sejak dua bulan lalu, termasuk rutin di gimnasium, senaman regangan serta latihan pengukuhan seni persilatan bagi membentuk fizikal seorang pahlawan.
Selain itu, beliau turut mengamalkan pengambilan madu bagi membantu menjaga mutu suara dan memastikan stamina kekal bertenaga sepanjang pementasan.
Dalam pada itu, babak tarian dan silat merupakan antara cabaran terbesarnya memandangkan Aqasha tidak mempunyai latar belakang dalam bidang tarian, sekali gus menuntutnya menitikberatkan setiap gerak-geri agar persembahannya kelihatan meyakinkan.
“Saya perlu menghafal petak pergerakan, langkah tari dan bunga silat.
“Penonton yang arif dalam seni persilatan pasti dapat mengesan jika pergerakan itu kelihatan canggung atau sumbang,” katanya lagi.
Menjelang pementasan yang bakal dibuka pada 31 Oktober di Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC), Sunway Square, Aqasha mengakui tekanan untuk memberikan persembahan terbaik semakin dirasai.
“Malam pun tidur tidak lena kerana fikiran sentiasa ligat memikirkan dinamik lakonan, ‘blocking’ (pergerakan pelakon di pentas), tempo bersama rakan pelakon, gerak silat serta tuntutan emosi.
“Boleh dikatakan setiap hari jiwa saya hidup dalam watak Hang Tuah,” ujar Aqasha.