Pelakon veteran Malaysia, Azizah Mahzan, berkongsi mengenai prinsip kerjanya yang jarang dilakukan oleh anak seni lain iaitu hanya akan meneliti atau menandatangani kontrak kerja selepas menjejakkan kaki dan memulakan tugasan di set penggambaran.

Azizah, 63 tahun, yang juga tidak mengambil bayaran deposit akur tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan dirinya terikat atau menjadi mangsa kepada perubahan skrip secara mengejut oleh pihak penerbitan pada saat-saat akhir.

“Saya tidak akan ambil duit bayaran pertama.

“Kontrak pun saya tidak akan tanda tangan dahulu. Saya akan masuk ke set, pijak kaki (meneliti) dahulu. Pijak kaki ke set, saya dah bekerja, baru saya tengok kontrak,” katanya dalam laman Harian Metro.

Azizah ditemui pada tayangan media telefilem, Camar Poelang, lakonannya dan diarahkan Zairol Fahmee Khairuddin.

Selain dirinya, drama itu menampilkan barisan pelakon lain seperti Wan Raja, Faha Azhar, Ku Farisah, Ariel Ganu, Yaacob Aziz, dan Razzuan Rosli.

Ia akan ditayangkan di saluran TV1 dan RTMKlik, pada 20 Jun.

Azizah mengakui proses itu penting untuk memastikan naskhah yang bakal dijayakannya benar-benar bermutu dan selari dengan jiwanya selaku pelakon.

Menurutnya, skrip adalah elemen paling utama yang menjadi penentu kepada keberkesanan sesuatu watak, sekali gus tidak sepatutnya diubah sesuka hati tanpa persediaan rapi.

“Yang paling penting dalam kerjaya kita sebagai pelakon sebenarnya adalah skrip. Itulah jiwanya, itulah ceritanya, itulah watak yang kita nak bawa.

“Sekarang tak ada skrip fizikal, semua dihantar ke telefon pintar sahaja ataupun WhatsApp dan pada saat-saat akhir.

“Satu lagi, mereka ada kuasa untuk ubah skrip dan merombak jalan cerita pada bila-bila masa.

“Saya pernah menarik diri daripada penggambaran apabila pihak penerbitan gagal menghormati perancangan asal atau melakukan rombakan skrip yang pada saya agak melampau,” ujar Azizah.

Malah, Azizah juga tidak ralat sekiranya terpaksa menanggung sendiri kerugian kos logistik dan penginapan sepanjang tempoh persiapan itu asalkan kepuasan kerjanya tidak dikorbankan.

“Bila sampai keadaan begitu, saya tak apa. Biar saya rugi RM1,000 atau RM1,500 daripada saya nak rugi kepala otak saya. Saya tidak mahu rugi lebih banyak,” tambahnya lagi.