Kebelakangan ini, nama pelakon dan pengacara Singapura, Shenty Feliziana kerap dilihat sebagai pengacara bagi festival dagangan di mana beliau mengendalikan segmen dan berinteraksi dengan para hadirin secara langsung.
Berkongsi pengalaman baru itu, Shenty, 36 tahun, berkata dirinya berasa gementar pada mulanya kerana ia berbeza dengan tugasan mengacara bagi program televisyen yang beliau pernah lakukan sebelum ini.
“Ia sangat berbeza kerana acara itu bukan berlangsung hanya untuk satu atau dua jam sahaja.
“Ada kalanya saya harus mengendalikan atur cara bagi sepanjang hari.
“Namun saya bersyukur kerana ia pengalaman yang memuaskan di mana ia lebih santai dan penonton dapat melihat personaliti saya yang sebenar.
“Alhamdulillah, kini saya suka apabila diberi tawaran untuk menjadi pengacara bagi program sebegitu,” kongsinya yang ditemui Berita Minggu (BM) di gerai makanan miliknya dan keluarga, Bluebell Kitchen, yang terletak di 26 Teck Whye Lane.
Antara festival yang pernah beliau jadi pengacara termasuk Salam Fest, Vision21 Health Fest dan Grand Market By Makbesar.
Shenty mengakui pada mulanya beliau khuatir apabila tidak mendapat respons daripada para hadirin selain harus belajar untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari.
“Tentu pada awalnya ia agak janggal kerana mungkin saya tidak mendapat respons yang diinginkan daripada mereka yang hadir ke acara itu.
“Namun saya pelajari daripada rakan pengacara lain bahawa bukan respons sahaja yang kami inginkan.
“Sebagai pengacara, kami harus menyampaikan maklumat di samping memahami matlamat yang ditetapkan pihak penganjur,” ujarnya.
Shenty bakal menjadi salah seorang pengacara bagi edisi ketiga Salam Fest anjuran jenama keperluan Muslimah, Deen Dunya yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Disember di Dewan 6B, Singapore Expo.
Beliau akan mengendalikan beberapa segmen bersama rakan selebriti tempatan lain termasuk Nadiah M Din, Marina Yusoff dan Dyn Norahim.
Salam Fest merupakan festival gaya hidup Muslim yang memberi peluang kepada para hadirin untuk membeli-belah, menonton persembahan dan menimba ilmu dalam suasana santai.
Benifisiari bagi acara itu merupakan Pertapis dan ia disokong oleh Adi Media.
Edisi kali ini dijangka lebih meriah dengan persembahan oleh penyanyi Malaysia, Tomok, Ezad Lazim dan Ziana Zain manakala terdapat sesi perkongsian oleh asatizah tempatan seperti Ustazah Shameem Sultanah, Ustazah Nur Hidayah, Ustaz Nuzhan Halim dan ramai lagi.
Terdapat juga persembahan qasidah oleh LQK Qasidah dan nyanyian nasyid oleh The Mi’raj Project.
Para hadirin turut berpeluang memenangi pakej umrah, baucar daripada Deen Dunya, Karva Travel dan Karva Salon.
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Shenty akur bahawa dirinya kurang menerima tawaran lakonan selepas membuat keputusan untuk memakai hijab pada 2021.
Namun beliau percaya pada rezeki dan ketentuan Yang Maha Esa.
“Sejujurnya, saya telah menolak dua tawaran lakonan selepas mula berhijab, satu daripada platform penstriman antarabangsa dan satu lagi untuk drama bersiri panjang dalam bahasa Inggeris dengan Mediacorp Channel 5.
“Ia memang satu peluang keemasan tetapi saya menganggapnya sebagai dugaan hidup.
“Namun, saya bersyukur adanya peluang lain dari segi pengacaraan dan bidang perniagaan,” cerita Shenty yang turut mempunyai perniagaan pakaian wanita, Till Jannah.
Selain baru muncul dalam drama terbitan Poetry In Motion, Keranamu Khadijah, Shenty kini menggalas tugas sebagai pengacara bersama bakat tempatan Zhin Sadali, Natasha Faisal dan Iskandar Shah Zulkifli bagi program hiburan, Manja (musim ke-10).
Program selama sejam itu bersiaran setiap hari Isnin, 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria.
Ditanya apakah yang membuatnya terus bersemangat untuk bergiat aktif dengan kerjaya seninya, Shenty berkata sokongan keluarga, suaminya dan keceriaan yang terpapar pada kededua anaknya merupakan tonggak utama dirinya.
Terdahulu, Shenty berkahwin dengan pelakon Indonesia, Reuben Elishama pada 2018 dan mempunyai dua cahaya mata, Biru Abiyyu Yusuf Hadju, enam tahun dan Jana Sanari Elishama, tiga tahun.
“Walaupun Reuben kini berada di Indonesia disebabkan ada tawaran sinetron dan peluang perniagaan, beliau sering kembali ke Singapura untuk berjumpa dengan Biru dan Jana.
“Dengan adanya teknologi, beliau sering membuat panggilan video untuk mengetahui perkembangan anak-anak.
“Saya bersyukur mendapat sokongan yang padu daripadanya,” kata Shenty yang menceburi bidang lakonan sejak 2009 menerusi drama, Cinta Ixora.
Shenty tidak menafikan idea untuk bermastautin ke Indonesia merupakan satu pilihan yang sering dibincangkan bersama suaminya.
“Sebenarnya sebelum 2020, saya pernah menetap di Jakarta bersama Reuben.
“Namun apabila berlaku pandemik Covid-19, kami bersetuju untuk pulang ke Singapura agar dapat bersama keluarga saya.
“Kami terbuka dengan pilihan itu namun biar masa yang menentukan.
“Kami hanya boleh merancang namun ia bergantung kepada-Nya,” jelas Shenty yang pernah menjadi wartawan hiburan di Malaysia bagi rancangan terbitan Astro, H Live dan membintangi filem Mael Lambong bersama pelawak, Zizan Razak.
BUTIRAN ACARA ‘SALAM FEST’
Tarikh: 21 hingga 23 November
Masa: 10 pagi hingga 10 malam
Tempat: Dewan 6B, Singapore Expo
Masuk percuma, 500 hadirin pertama setiap hari berpeluang mendapat cenderahati eksklusif yang ditaja oleh Deen Dunya, Vitagen, Marigold dan penaja lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg