Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bella Dowanna selami watak ‘tomboy’, bak cerminan diri

Turut ceburi bidang pengacaraan, jadi hos diari ‘Big Stage Alpha’
Aug 16, 2025 | 5:30 AM
Pelakon ‘cilik’ Bella Dowanna berpeluang menjayakan watak ‘tomboy’ bernama Mardhiah, dalam drama Viu terbaru ‘Abang Imam Minah Skuter’, hasil kerjasama pertama dengan Zeel Production.
Pelakon ‘cilik’ Bella Dowanna berpeluang menjayakan watak ‘tomboy’ bernama Mardhiah, dalam drama Viu terbaru ‘Abang Imam Minah Skuter’, hasil kerjasama pertama dengan Zeel Production. - Foto INSTAGRAM BELLA DOWANNA

Berdiri di hadapan lensa kamera bukan perkara asing dalam kehidupan pelakon Malaysia, Bella Dowanna, 22 tahun, kerana memang dari kecil beliau sudah terbiasa dengan perkataan, ‘action!’.

Ketika berusia enam tahun, kerjaya lakonan Bella atau nama sebenarnya, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, bermula melalui iklan komersial yang mana, ia turut membuka peluang berlakon dalam rantaian drama.

Kali pertama Bella muncul dalam layar kaca televisyen adalah menerusi telefilem berjudul, Begitulah Sayang, pada 2012.

Pada saat itu, beliau yang berusia sembilan tahun, diberi peluang menjadi anak kepada pelakon berpengalaman, Zamarul Hisham dan Norish Karman, dalam drama terbabit.

Dari pengalaman sulung itulah minat dalam bidang lakonan semakin bercambah.

Antara naskhah yang berhasil menonjolkan bakat lakonan beliau dan mengangkat namanya ke carta popular termasuk, Sebenarnya Saya Isteri Dia (2013), Cemburu Seorang Perempuan (2019), Budak Tebing (2020) serta Budak Tebing (2021).

Bahkan, pada 2020, Bella turut membintangi filem sulungnya iaitu M4M4 (disebut MAMA).

Ia merupakan sebuah filem ngeri jenayah psikologi yang diarahkan Eyra Rahman, dan turut melibatkan pelakon lain seperti Nabila Huda, Faizal Hussein dan Eyra Hazali.

Melebarkan sayapnya pula ke bidang pengacaraan, pelakon asal Perak itu  juga merupakan hos bagi pertandingan realiti nyanyian, Big Stage Alpha, dalam satu kandungan diari yang meliputi kegiatan harian peserta.

“Saya anggap ini suatu pengalaman baru meskipun pernah mengacarai beberapa rancangan sebelum ini.

“Apabila mendapat tawaran jadi hos diari Big Stage Alpha, Bella katakan tidak ingin melakukan tugasan tersebut kerana ‘end game’ (matlamat akhir) saya bukanlah untuk jadi hos.

“Bella tidak mahu mana-mana pihak ‘push’ (mendesak) saya, dan hanya akan lakukan pengacaraan bila Bella sudah lebih bersedia.

“Tapi, Bella katakan iya untuk jadi hos diari Big Stage Alpha kerana ia dirakam. 

“Kalau jadi hos siaran langsung, Bella agak keberatan disebabkan ada darah gemuruh,” katanya kepada Berita Harian (BH) ketika dihubungi melalui Zoom baru-baru ini.

Meskipun sebelum ini pernah mengacara rancangan kanak-kanak terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 2013 selama lima musim, Bella akur pengalaman menjadi hos diari Big Stage Alpha memberi satu kepuasan dek sambutan hangat yang diterima program tersebut daripada peminat di rantau ini.

“Seperti umum tahu, Big Stage ialah satu program besar di Malaysia dan dikelolakan oleh Astro untuk mengetengahkan bakat muda dari Malaysia, Brunei, Indonesia serta Singapura, dalam bidang nyanyian.

“Jadi hos dalam rancangan terbabit memberikan saya perspektif baru. Setiap minggu saya perlu datang ke hotel (tempat inap peserta) dan studio untuk sesi rakaman.

“Ibaratnya, saya harus liputi kegiatan harian dan persiapan para peserta di belakang tabir sebelum membuat persembahan setiap Ahad.

“Melalui pengalaman ini, saya perlu menghafal skrip yang mana melibatkan nama-nama jenama penting. 

“Ini turut memberi tekanan pada diri saya kerana setiap kali Bella hadirkan diri untuk rakaman, ada jenama baru yang perlu diketengahkan.

“Adakalanya, dialog yang sudah dihafal sejak minggu pertama berubah. Itu pun satu cabaran juga,” kata Bella.

Ketika Bella sibuk merakamkan diari Big Stage Alpha antara April dengan Jun lalu (2025), beliau turut terlibat dalam penggambaran drama terbaru iaitu Abang Imam Minah Skuter, hasil kerjasama sulung antara Viu Malaysia dengan Zeel Production.

Lebih meriah lagi, drama ini turut dibintangi Zulin Aziz, Usop Wilcha, Kazar Saisi, Acong Sweetchild, Man Rajalawak, Bella Hanna dan Khai Bahar.

Dalam drama terbabit, Bella memainkan watak seorang gadis ‘tomboy’ bernama Mardhiah, yang dikatakannya mirip dengan personaliti beliau dalam dunia nyata.

“Boleh dikatakan jiwa ‘tomboy’ atau abang-abang itu ada dalam diri Bella.

“Saya suka dengan watak Mardhiah, kerana dia seorang yang betul-betul selamba dan boleh bawa motor.

“Drama ini adalah drama yang dapat menenangkan dan merawat jiwa saya. Salah satu sebab adalah kerana pemandangan di set penggambaran di Perlis sangat indah.

“Tidak ada siapa yang mungkin sanggup ‘shoot’ jauh-jauh di Perlis, tetapi pemandangan di situ buatkan pengalaman ini berbaloi,” kata Bella yang berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Perlis, Malaysia, selama sebulan demi menunaikan tanggungjawab antara pengacaraan dan lakonan.

Drama komedi romantik Abang Imam Minah Skuter, arahan Helmi Yusof, menampilkan kisah Zarul (lakonan Zarif Ghazzi), seorang imam muda yang berperwatakan sopan dan tenang, bertemu secara tidak diduga dengan Mardhiah (lakonan Bella), gadis lincah dan penuh tenaga dari Kampung Ulu Banat. 

Pertemuan itu kemudian membuka lembaran cerita yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan menggarap kisah cinta yang unik di antara mereka.

Walaupun Mardhiah digambarkan sebagai seorang yang agak kasar dari segi perilakunya, Bella berkata watak tersebut sering memperjuangkan isu berkaitan wanita di kampungnya, dan itulah yang membuatkan beliau tertarik untuk membawakan peranan tersebut.

Menyentuh tentang rakan berlakon, Zarif, yang turut memulakan bidang lakonan pada usia setahun jagung, Bella akur sering ‘gaduh-gaduh sayang’ di set penggambaran, lantas membuat lakonan mereka terlihat semula jadi. 

Sebagai pelakon yang sudah merasai asam garam dunia lakonan sejak usia muda, Bella menitipkan pesanan penuh makna kepada pelakon baru dan muda yang sedang menapak dalam industri hiburan.

Katanya, kunci untuk bertahan bukan sekadar bakat, tetapi kerana adab, minat yang membara serta keikhlasan dalam setiap kerja seni.

“Kalau nak bertahan dalam industri hiburan, kena ada adab, minat yang mendalam dan keikhlasan dalam bekerja. 

“Tidak semua orang bernasib baik dapat peluang dan pendedahan, jadi bila peluang datang, hargailah dan curahkan sepenuh jiwa dalam setiap karya,” kata Bella.

Drama ‘Abang Imam Minah Skuter’ boleh ditonton di laman penstriman VIU.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg