Belum reda diuji dengan masalah kesihatan anak keduanya, pelakon Malaysia, Amyza Aznan kini berdepan pula ujian apabila suaminya jatuh sakit.

Suami Amyza, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51 tahun, kini masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil selepas terpaksa ditidurkan akibat masalah paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM), Khairil Izhar masih menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala keluarga sedang menunggu keputusan pemeriksaan daripada doktor.

Perkembangan terkini mengenai keadaan Khairil Izhar dikongsikan anak kedua pasangan itu, Adrian Adam, 18 tahun, yang turut menghidapi barah tanpa diketahui jenisnya, menerusi hantaran Instagram Story.

“Buat masa ini, keadaan ayah masih kritikal namun, stabil.

“Kami masih menunggu keputusan lanjut daripada doktor,” tulisnya ringkas.

Kemas kini tersebut turut dikongsikan semula oleh Amyza, 50 tahun, menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini dan memohon doa ramai agar kesihatan suaminya segera pulih.

Sebelum ini, peserta Kilauan Emas Selebriti berkenaan ada memuat naik foto suaminya yang sedang berada di dalam ambulans.

Amyza, yang sebelum ini diuji kehilangan anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail, 23 tahun, dek barah paru-paru tahap tiga pada Februari, turut mengesahkan suaminya berada dalam keadaan kritikal.

Suaminya terpaksa ditidurkan selepas mengalami sesak nafas yang teruk sejak hampir seminggu lalu.

Menurutnya, Khairil Izhar sebenarnya mula menunjukkan tanda kurang sihat kira-kira dua minggu lalu apabila mengalami batuk, namun pada awalnya mereka tidak menyangka keadaan itu akan menjadi serius.

Ini bukan kali pertama Khairil Izhar berdepan masalah kesihatan serius.

Pada Disember 2017, beliau pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta di Malaysia selepas mengalami serangan jantung.

Pada Disember 2023, Amyza sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila terpaksa membuat keputusan sukar untuk menyelamatkan nyawa suaminya selepas Khairil Izhar ditidurkan akibat sesak nafas.

Selepas dua hari ditidurkan, Khairil Izhar kembali sedar dan didapati dijangkiti Covid-19.